Categories
NASIONAL

Kematian Pegawai PTD, AMK Gesa Siasatan Menyeluruh

SHAH ALAM 17 SEPT : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Kerajaan Pusat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kematian seorang anggota pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) ketika menjalani latihan ketenteraan di Pekan, Pahang, semalam.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Kerajaan Pusat juga perlu mendedahkan hasil laporan siasatan berhubung insiden itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran bagi seorang PTD dikehendaki latihan ketenteraan dan kaitan latihan terbabit dengan tugas seorang pegawai PTD.

Semalam, Allahyarham Aldy Hasmi Abu, pegawai PTD meninggal dunia ketika menjalani latihan ketenteraan di Kem Wataniah Force 136 di Pekan, Pahang.

Sebelum ini di Banting, Selangor seorang PTD, Allahyarhamah Norhashimah Wahid maut ketika menjalani latihan ala-komando.

“Pegawai PTD dan seluruh anggota perkhidmatan awam merupakan aset penting dalam pentadbiran negara maka kerajaan seharusnya perlu bersikap tegas dalam menjamin keselamatan mereka tanpa mengira samada di premis kerja atau pun ketika sedang menjalani kursus dan program latihan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Shamsul menambah, AMK kesal dengan insiden itu memandangkan insiden sama pernah berlaku dua tahun lalu yang mana membabitkan kematian pegawai PTD ketika mengikuti kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA).

Difahamkan bahawa latihan ketenteraan wataniah kini merupakan sebahagian daripada modul kursus DPA yang wajib dijalani oleh setiap pegawai PTD bagi tujuan latihan dan sebahagian daripada proses pengesahan dalam perkhidmatan awam.

Namun demikian, AMK mengalu-alukan dan menyambut baik langkah serta-merta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang  mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menghentikan semua aktiviti lasak melibatkan kursus berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.