Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar ijazah pertama dipelawa mohon tajaan JPA

SHAH ALAM, 15 FEB: Pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama dipelawa untuk memohon penajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan permohonan itu boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan http://esilav2.jpa.gov.my dan ia dibuka mulai 14 Februari hingga 27 Februari ini.

Penajaan menerusi Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) 2022 itu dibuka kepada pelajar yang sedang menuntut di Universiti Awam (UA), Politeknik Premier dan universiti berkaitan kerajaan (GLU).

Antara syarat permohonan adalah pemohon mestilah warganegara, ibu atau bapa tidak disenarai hitam JPA, tidak menerima tajaan dari pihak lain bagi peringkat pengajian yang sama dan telah memulakan pengajian peringkat ijazah pertama sebelum tarikh iklan ditutup.

Maklumat lanjut boleh menghubungi 03-8885 3297 atau e-mel [email protected]

Maklumat permohonan Program Ijazah Dalam Negara 2022.
Categories
SELANGOR

MB terima kunjungan hormat KP JPA

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Borhan Dolah di pejabatnya, semalam.

Amirudin berkata, beliau teruja dengan kesediaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bekerjasama lebih erat bersama Kerajaan Selangor.

“Semoga jalinan kerjasama dan sinergi antara JPA dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor akan terus mantap demi kelangsungan perkhidmatan awam Selangor dan Persekutuan.

“Ia juga demi ke arah merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” tulisnya di facebook.

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

 

Categories
NASIONAL

PM, SPA Digesa Pastikan Penjawat Awam Bebas Politik

SHAH ALAM 16 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) digesa mengambil tindakan segera bagi memastikan penjawat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bebas daripada campurtangan politik.

Gesaan tersebut dibuat Ahli Parlimen Selayang, William Leong berikutan tindakan terbaru JPA mengeluarkan notis pemindahan 24 jam kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala yang ditukarkan ke INTAN.

“Tindakan ini bukan saja tidak professional tetapi juga secara langsung menyekat penjawat awam daripada melakukan kerja mereka dengan bebas, telus dan amanah.

“Ia akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada pentadbiran Kerajaan Negeri, kredibiliti Kerajaan Pusat malah lebih teruk lagi adalah kesan kepada rakyat,” tegas beliau dalam satu kenyataan medianya.

Baru-baru ini, Zainal mendedahkan kelulusan bagi Projek Dolomite Park Avenue bersebelahan dengan Kuil Batu Caves diberikan pada 30 November 2007 ketika pemerintahan Umno-BN.

Beliau juga melepaskan minit Mesyuarat Penuh MPS yang mendedahkan tiga Ahli Majlis MIC, Rajakupal Sinnathamby, Jayakumaran Govindasamy dan Rajandran Muniandy dan A. Kohilan Pillay (kini Senator dan Timbalan Menteri Luar) merupakan antara ahli majlis yang meluluskan projek tersebut.

Sebelum ini, pihak JPA juga didapati membuat lantikan dan pertukaran tanpa berbincang dahulu dengan Kerajaan Negeri.

Awal Oktober lalu, JPA mengumumkan pemindahan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri.

Selain itu, pada 2011 perlantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri juga dibuat JPA tanpa persetujuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Justeru, saya menyeru agar Perdana Menteri dan SPA mengambil tindakan segera membetulkan keadaan ini.

“Jika mereka gagal, ini akan mengesahkan bahawa Program Transformasi Kerajaan sememangnya satu slogan kosong dan lebih teruk lagi ianya juga satu penghinaan kepada laungan janji Perdana Menteri sendiri,” tegas beliau.

 

Categories
NASIONAL

Kematian Pegawai PTD, AMK Gesa Siasatan Menyeluruh

SHAH ALAM 17 SEPT : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Kerajaan Pusat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kematian seorang anggota pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) ketika menjalani latihan ketenteraan di Pekan, Pahang, semalam.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Kerajaan Pusat juga perlu mendedahkan hasil laporan siasatan berhubung insiden itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran bagi seorang PTD dikehendaki latihan ketenteraan dan kaitan latihan terbabit dengan tugas seorang pegawai PTD.

Semalam, Allahyarham Aldy Hasmi Abu, pegawai PTD meninggal dunia ketika menjalani latihan ketenteraan di Kem Wataniah Force 136 di Pekan, Pahang.

Sebelum ini di Banting, Selangor seorang PTD, Allahyarhamah Norhashimah Wahid maut ketika menjalani latihan ala-komando.

“Pegawai PTD dan seluruh anggota perkhidmatan awam merupakan aset penting dalam pentadbiran negara maka kerajaan seharusnya perlu bersikap tegas dalam menjamin keselamatan mereka tanpa mengira samada di premis kerja atau pun ketika sedang menjalani kursus dan program latihan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Shamsul menambah, AMK kesal dengan insiden itu memandangkan insiden sama pernah berlaku dua tahun lalu yang mana membabitkan kematian pegawai PTD ketika mengikuti kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA).

Difahamkan bahawa latihan ketenteraan wataniah kini merupakan sebahagian daripada modul kursus DPA yang wajib dijalani oleh setiap pegawai PTD bagi tujuan latihan dan sebahagian daripada proses pengesahan dalam perkhidmatan awam.

Namun demikian, AMK mengalu-alukan dan menyambut baik langkah serta-merta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang  mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menghentikan semua aktiviti lasak melibatkan kursus berkenaan.