KLANG 7 SEPT: Jawatankuasa Penganjur Piala Sultan Selangor hari ini menerima sumbangan sebanyak RM950,000 dari pelbagai syarikat korporat bagi menjayakan pertandingan bola sepak yang bakal berlangsung pada 29 September nanti.
Sumbangan tersebut diserahkan dalam satu Majlis Minum Petang dan Penyampaian Cek yang diadakan di Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Cek Sumbangan tersebut diterima oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mencemar duli untuk turut serta dalam majlis minum petang itu.
Turut mengiringi baginda Sultan Sharafuddin dalam majlis itu adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Antara syarikat yang menghulurkan sumbangannya hari ini adalah Naza Group of Companies dengan sumbangan sebanyak RM300,000, B&G Capital Resources Berhad dan Permodalan Negeri Selangor Berhad yang masing-masing menyumbang sebanyak RM100,000.
Sementara itu, saluran televisyen, Astro Arena pula dipilih untuk menjadi penyiar rasmi pertandingan itu.
Selain itu Sultan Sharafuddin juga turut berkenan membawa wakil syarikat yang memberikan sumbangan dan VIP yang ada untuk melawat Muzium Mini Bola Sepak baginda.
Bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan ketika ditemui TV Selangor berkata Piala Sultan Selangor yang hanya melibatkan pasukan Selangor dan Singapura berikutan ke dua-dua pasukan ini paling kerap bertemu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.
“Ia memang pertembungan penuh nostalgia bagi peminat bolasepak tanah air,” kata Zainal.
Pemain kebangsaan, Safee Sali pula memberitahu Pasukan Selangor mempunyai peluang yang baik kerana memiliki kekuatan yang seimbang di semua bahagian dan gandingan pemain tempatan dan import yang baik.
Piala Sultan Selangor yang diadakan setiap tahun itu hanya melibatkan dua perlawanan, pasukan semasa Selangor menentang Singapura dan pasukan veteran Selangor menetang veteren Singapura.
Perlawanan-perlawanan tersebut akan diadakan di Stadium Shah Alam.