Categories
SELANGOR

MB: Jadikan Sukan Selangor Sebagai Industri

SHAH ALAM 22 SEPT : Industri sukan negeri ini perlu melalui proses anjakan paradigma dalam usaha menjadikan sebagai satu industri yang kompetitif dan berdaya saing selaras dengan status Selangor sebagai sebuah negeri maju.

Amanat itu disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya sewaktu menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Kontinjen Selangor SUKMA 2012 yang diadakan di Dewan Megawati, kediaman Rasmi beliau di sini pagi tadi.

“Sukan seharusnya dibangunkan, diolah semula dan bukan sekadar satu aktiviti sampingan sahaja seperti yang kita lihat (sukan) dalam 25 tahun sebelum ini.

“Kita mesti ubah cara pengurusan, ubah cara kita bermula daripada persekolahan anak-anak sehingga ke peringkat universiti,” ujarnya di hadapan kira-kira 200 hadirin yang hadir.

Mengambil contoh pencapaian industri sukan luar negara, beliau berkata industri sukan jika dijaga dan diuruskan dengan baik mampu memberi pulangan yang besar dari segi ekonomi.

“Lihat pemain-pemain bolasepak yang dibayar dengan harga tinggi, bukan sekadar untuk perkhidmatan professional tetapi juga bagi menjana sumber pendapatan lain seperti model iklan kasut dan sebagainya.

“Begitu juga dengan penganjuran Sukan Olimpik London baru-baru ini, bidaan tayangan televisyen sahaja melebihi US 1 Bilion, dari situ saja pulangan begitu lumayan,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menggesa agar pihak yang berkaitan memainkan peranan dengan lebih inovatif dan proaktif dalam usaha merealisasikan visi tersebut.

Majlis penyampaian insentif pagi tadi menyaksikan sejumlah RM 872, 000 diberikan kepada 23 pasukan dan sepuluh atlet yang cemerlang dalam SUKMA 2012 yang diadakan di Kuantan Pahang pada bulan Julai lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published.