Categories
SELANGOR

Insentif Kerajaan Negeri Bakar Semangat Atlet SUKMA 2012

SHAH ALAM 22 SEPT : Atlet renang Selangor, Caroline Chan,17, gembira apabila pencapaian pingat emas ketika Sukan Malaysia 2012 (SUKMA2012) di Kuantan baru-baru ini mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri.

Ditemui dalam Majlis Penyerahan Insentif Kontinjen Selangor SUKMA 2012  di Kediaman Rasmi Menteri Besar pagi tadi berkata pemberian insentif seumpama ini mampu memberi semangat kepada para atlet untuk lebih berusaha keras di masa akan datang.

Beliau menerima RM13,000 daripada insentif keseluruhan RM872,000 yang diperuntukan Kerajaan Negeri.

“Seperti hari ini, dengan insentif yang diterima, secara automatik semangat saya untuk mencapai kejayaan lebih besar pada kejohanan lain melonjak naik,” ujarnya yang berjaya memecah rekod SUKMA dalam acara 50 meter kuak lentang dengan catatan masa 30.34 saat.

Beliau yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini turut berjaya memperolehi dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa pada SUKMA lepas.

Sementara itu, rakannya, Shaun Yak Kah Choon,17, juga seorang atlet renang turut menerima insentif berjumlah RM13, 000 selain mencatat rekod baru SUKMA dalam acara 50 meter kuak dada dengan catatan masa 29.94 saat.

“Sebagai peserta yang pertama kali menyertai SUKMA, memenangi pingat, mencipta rekod baru seterusnya mendapat insentif hari ini, ternyata semua ini adalah amat manis buat saya.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dengan pemberian insentif kepada kami para atlet, kami rasa penat lelah kami dihargai,” jelas Shaun yang turut berjaya memperoleh dua pingat emas dan dua pingat gangsa.

Dalam majlis ini sebanyak 23 pasukan dan sepuluh atlet diraikan Kerajaan Negeri.

Kontinjen Selangor berjaya bergelar Naib Johan pada Kejohanan SUKMA 2012 yang lalu dengan kutipan 47 pingat emas, 54 pingat perak dan 60 pingat gangsa.

Selain kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, majlis turut dihadiri Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi selain Pegawai Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Shamsul Sharil Badliza Mohd Noor.

Categories
SELANGOR

MB: Jadikan Sukan Selangor Sebagai Industri

SHAH ALAM 22 SEPT : Industri sukan negeri ini perlu melalui proses anjakan paradigma dalam usaha menjadikan sebagai satu industri yang kompetitif dan berdaya saing selaras dengan status Selangor sebagai sebuah negeri maju.

Amanat itu disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya sewaktu menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Kontinjen Selangor SUKMA 2012 yang diadakan di Dewan Megawati, kediaman Rasmi beliau di sini pagi tadi.

“Sukan seharusnya dibangunkan, diolah semula dan bukan sekadar satu aktiviti sampingan sahaja seperti yang kita lihat (sukan) dalam 25 tahun sebelum ini.

“Kita mesti ubah cara pengurusan, ubah cara kita bermula daripada persekolahan anak-anak sehingga ke peringkat universiti,” ujarnya di hadapan kira-kira 200 hadirin yang hadir.

Mengambil contoh pencapaian industri sukan luar negara, beliau berkata industri sukan jika dijaga dan diuruskan dengan baik mampu memberi pulangan yang besar dari segi ekonomi.

“Lihat pemain-pemain bolasepak yang dibayar dengan harga tinggi, bukan sekadar untuk perkhidmatan professional tetapi juga bagi menjana sumber pendapatan lain seperti model iklan kasut dan sebagainya.

“Begitu juga dengan penganjuran Sukan Olimpik London baru-baru ini, bidaan tayangan televisyen sahaja melebihi US 1 Bilion, dari situ saja pulangan begitu lumayan,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menggesa agar pihak yang berkaitan memainkan peranan dengan lebih inovatif dan proaktif dalam usaha merealisasikan visi tersebut.

Majlis penyampaian insentif pagi tadi menyaksikan sejumlah RM 872, 000 diberikan kepada 23 pasukan dan sepuluh atlet yang cemerlang dalam SUKMA 2012 yang diadakan di Kuantan Pahang pada bulan Julai lepas.