Categories
SELANGOR

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Diminta Siasat Penipuan Bon Babitkan Melewar Leisure

 

SELAYANG 11 SEPT : Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) diminta untuk menyiasat satu kes penipuan yang membabitkan bon pelaburan terhadap syarikat Melewar Leisure Sdn Bhd.

Ini kerana beberapa pelabur hari ini tampil bagi menuntut hak bon pelaburan mereka selepas syarikat berkenaan menjual bon pelaburan berjumlah RM54,165,000 kepada syarikat Riverfront Wealth Capital Corporation.

Difahamkan Melewar Leisure berbuat demikian pada 13 Jun 2012 pada kadar RM0.24 seunit manakala pelabur hanya akan dibayar sebanyar 25 peratus dari jumlah pelaburan mereka dan bukannya 100 peratus seperti yang dijanjikan.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong dalam sidang media di pejabatnya hari ini memaklumkan, keadaan ini mengakibatkan pelabur kerugian sebanyak 75 peratus.

Katanya, pelabur ini melabur dalam projek menambah baik Kompleks Pasar Seni pada tahun 1994.

Mengikut perjanjian bon, pelabur akan mendapat faedah sebanyak enam peratus setiap tahun sehingga tempoh matang 29 Julai 1999.

“Dalam tempoh lima tahun berkenaan mereka sepatutnya mendapat faedah seperti yang dijanjikan. Namun ada antara mereka yang hanya mendapat faedah sebanyak empat peratus dan bukan penuh seperti yang dijanjikan,” katanya.

Menurut beliau, sejak tahun 2005 pelabur ini tidak mendapat sebarang bayaran faedah dan kes ini berlarutan lebih 10 tahun.

Jelasnya, ada di antara mereka yang melabur lebih RM1 juta, sementara yang lain dalam kadar RM30,000 disebabkan beberapa penyertaan syarikat besar termasuk Bank Standard Chartered pada ketika itu.

Ujar beliau lagi, satu perbincangan akan diadakan pada 30 September bertempat di Dewan Selayang Utama untuk mengambil tindakan undang-undang sementara mana-mana individu yang turut menjadi mangsa kes ini boleh tampil memberikan kerjasama.

Leave a Reply

Your email address will not be published.