Categories
NASIONAL

Tanah KTMB Yang Tidak Dirizab Tetap Milik Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajaan Pusat diingatkan agar tidak membuat sebarang urusniaga atau sebarang urusan di atas tanah milik Kerajaan Negeri berhubung penswastaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata mana-mana tanah negeri yang pernah digunakan untuk tujuan perkhidmatan keretapi tetapi tidak dirizabkan atau diberi milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan atau diletakkan kepada Perbadanan Aset Keretapi (PAC) adalah milik Kerajaan Negeri Selangor.

“Begitu juga dengan tanah yang kini tidak diduduki atau digunakan bagi tujuan perkhidmatan keretapi adalah tanah negeri.

“Kita juga tidak perlu untuk kaveat tanah itu kerana sememangnya ia milik Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di SUK.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bimbang tindakan penswastaan itu akan menjadikan aset-aset milik rakyat akan jatuh ke tangan pihak swasta.

“Kerajaan Negeri memandang serius terhadap tindakan itu kerana ia akan mengakibatkan aset dan pegangan tanah milik KTMB bernilai RM50 bilion akan jatuh kepada syarikat Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary,” katanya.

Tambahan pula, keputusan penswastaan itu dibuat melalui rundingan terus.

Jelas Abdul Khalid, ia bertentangan dengan hasrat awal Kerajaan Negeri menyerahkan hartanah tersebut kepada KTMB memandangkan KTMB adalah syarikat utiliti milik penuh Kerajaan Pusat.

“Kita tidak mahu ada orang yang datang kepada Kerajaan Negeri kerana tidak tahu apa yang berlaku dan tidak faham mengenai perkara ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.