Categories
NASIONAL SELANGOR

Dua Bentuk Pinjaman Peneroka, Anak Mohon Penjelasan Felda

KUALA LUMPUR 11 SEPT : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menuntut penjelasan Felda berhubung penemuan kes peneroka mempunyai dua bentuk pinjaman daripada dua bank berbeza.

Pengerusinya, Mazlan Aliman mendakwa, wujudnya dua bentuk pinjaman ini setelah beliau mendapat aduan daripada seorang waris peneroka yang cuba untuk menyelesaikan baki pinjaman bapa mertuanya.

Jelasnya, pihak Felda cuba berbohong dengan menyatakan terdapat bentuk pembayaran secara potongan pendapatan pada kadar RM50 namun hakikatnya perkara ini tidak diketahui oleh pihak bank dan ibu pejabat Felda sendiri.

“Perkara ini dibuktikan apabila anak peneroka telefon HQ(ibu pejabat) Felda sambil disaksikan pengurus bank. Pegawai Felda beritahu mereka tidak menerima sebarang arahan mengenai pemotongan ini.

“Apa yang digembar-gemburkan merupakan satu gimik untuk meredakan kemarahan peneroka dimana dahulunya dikatakan percuma kini mereka terpaksa bayar,” katanya.

Beliau menambah, dalam keadaan isu pinjaman tidak selesai, spesifik kepada dua kes atas permohonan peneroka untuk menarik balik pinjaman mereka.

“Bank buat semakan dan mereka terkejut sekarang bukan satu pinjaman tetapi ada satu lagi pinjaman di bank lain.

“Jadi peneroka kena bukan satu tapi dua. Pinjaman kedua tidak tahu berapa jumlahnya. Bank sendiri tidak faham.

“Peguam kita beranggapan berdasarkan dokumen awal yang dibekalkan bank, disyaki satu penipuan sedang dibuat kepada peneroka. Mungkin saham yang diuruskan tidak mencukupi.

“Jadi secara senyap-senyap FGVH berurusan dengan bank tertentu diluar pengetahuan peneroka untuk masukkan satu lagi pinjaman.

“Dan sekarang ini jumlah yang telah diserahkan oleh bank kepada peguam kita dah hampir 40 orang

“40 orang ini adalah peneroka yang telah menarik balik pinjaman mereka. Yang 85 peratus peneroka yang telah tandatangan dari awal telah terkena dua kali pinjaman,” jelas beliau.

TV Selangor turut menghubungi Penasihat Undang-undang ANAK, Haris Abdullah bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.

Ketika dihubungi, beliau mengesahkan perkara berkenaan dan setakat ini empat orang peneroka tampil mengemukakan aduan berkenaan.

Menurut Haris, pihaknya sedang mengumpul bukti dan satu sidang media mengenainya akan dibuat dalam minggu ini.

“Sekarang saya sudah dapat kesan empat kes. Dari empat kes melibatkan asalnya bank Maybank dan CIMB. Saya akan melihat adakah perkara ini satu kesilapan atau tidak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.