Categories
SELANGOR

Tiada Jemputan Rasmi Daripada KJ, PAS Teruskan Demo Jumaat Ini

SHAH ALAM 18 SEPT: Pemuda PAS tetap akan meneruskan himpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat Jumaat ini walaupun tidak menyertai Pemuda Umno dalam menyatakan bantahan terhadap penghinaan Nabi Muhammad SAW.

Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi dalam satu pesanan ringkas kepada Tv Selangor berkata, beliau tidak dihubungi mahupun mendapat sebarang jemputan rasmi daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk mengadakan’demonstrasi bantahan bersama’ tersebut.

“Tidak ada pula saya dapat jemputan dari pihak lain. KJ (Khairy Jamaluddin) buat kenyataan dia jemput Pemuda PAS demo sekali .

“Saya tidak terima sebarang jemputan daripada beliau. Beliau pun tidak pernah hubungi saya.

“Ada ke kita nak jemput orang pakai kenyataan media umum begitu sahaja. Saudara buat kenduri kahwin, lepas itu jemput jiran tetangga dengan buat kenyataan akhbar dalam Utusan. Macam itu ke?” soal beliau.

Tegas beliau, Pemuda PAS akan turun mengemukakan bantahan demi mempertahankan Rasulullah SAW tercinta.

Beliau menyeru semua umat Islam untuk turut sama hadir sebagai di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dan berkumpul di perkarangan Masjid Tabung Haji selepas selesai solat Jumaat.

Jumaat lalu, Pemuda PAS menggerakkan satu demonstrasi di seluruh negara bagi mendesak kepimpinan Amerika Syarikat supaya menarik balik trailer filem Innocence of Muslims oleh karyawan negara tersebut yang cuba menggambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang hina, lemah dan gila seks.

Hasil karya biadap Nakoula Basseley Nakoula dimuat naik di laman sosial Youtube ternyata mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia sehingga mengakibatkan duta Amerika Syarikat di Libya Chris Stevens terbunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published.