Categories
NASIONAL

PM, dengarlah rintihan pemandu teksi

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa supaya berjumpa dan mendengar suara pemandu teksi di Lembah Klang bagi menyelesaikan masalah mereka.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan Tantawi, berkata industri teksi di negara ini semakin tenat ekoran kegagalan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menangani aplikasi ‘Uberteksi’ dan ‘Grabcar’.

nasaruddin hasan tantawiKatanya, ia menyebabkan pendapatan pemandu teksi dilaporkan terjejas teruk sehingga 50 peratus di sebalik kenaikan kos bahan api dan sara hidup.

“Keadaan ini parah untuk mereka ekoran perkhidmatan Uber dan Grabcar yang menyalahguna kuasa dengan menggunakan pengangkutan sendiri sebagai kenderaan awam seperti teksi bermeter dan bajet di negara ini.

“Kebanyakan teksi bermeter juga disenarai hitam ekoran gagal membayar sewa beli teksi yang semakin tinggi dengan kosnya antara RM65 hingga RM75 sehari,” katanya dalam sidang media lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Nasruddin berkata pemandu juga semakin terkesan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan syarikat teksi.

Katanya, ia ditambah dengan kenaikan kecil tambang meter berbanding beban yang terpaksa ditampung pemandu teksi saban hari.

“Keadaan ini sangat membebankan apabila mereka dikenakan GST berantai tetapi tidak boleh mengenakan cukai sama kepada pelanggan. Kerajaan perlu bertindak segera kerana kebanyakan negara luar mengharamkan Uber seperti Perancis,” katanya.

Pemandu Teksi Lembah Kelang hari ini berkumpul di Padang Merbok bagi membuat bantahan terhadap SPAD serta menggesa kerajaan mengharamkan Uber dan Grabcar.

Mereka mendakwa perkhidmatan aplikasi itu menjejaskan periuk nasi pemandu teksi.

Dianggarkan tidak kurang 500 pemandu teksi berbaris sepanjang Jalan Parlimen sambil terus meniup vuvuzela dan mengangkat sepanduk.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PAS Umum Bertanding 76 Parlimen, 237 DUN

PAS Umum Bertanding 01

KUALA LUMPUR, 2 APR: PAS akan bertanding 76 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekaligus menyaksikan pertambahan 10 kerusi berbanding tahun 2008.

Di samping itu, PAS turut bertanding di 237 kerusi DUN seluruh Malaysia.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media sempena pelancaran Pusat Media PAS sempena PRU-13.

Menurut Abdul Hadi, PAS turut bertanding di kerusi campuran memandangkan sambutan positif terutama dalam kalangan kaum Cina dan India.

“Kita memecahkan benteng pemisah perkauman sehingga rakyat menolak MCA dan MIC,” katanya.

Antara calon PAS yang menang pada PRU-12 di kerusi campuran adalah Dr Siti Mariah Mahmood, kawasan Parlimen Kota Raja.

Selain itu, PAS turut mengumumkan calon yang bakal bertanding di tiga kerusi Parlimen.

Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi akan bertanding di Parlimen Temerloh sekaligus menyaksikan pertukaran semula kerusi bersama PKR yang bertanding pada PRU-12.

Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Juham), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi diletakkan sebagai calon Parlimen Titiwangsa yang dahulunya diwakili Allahyarhamah Dr Lo’ Lo Ghazali.

Sementara itu, bekas Pengarah Kor Agama, Angkatan Tentera Malaysia, Briged Jeneral (B), Datuk Najmi Ahmad akan bertanding di Parlimen Baling.

Jelas Abdul Hadi, Datuk Taib Azamuddeen Taib selaku penyandang kerusi Baling tidak akan bertanding kerana mengalami masalah kesihatan

Categories
SELANGOR

Tiada Jemputan Rasmi Daripada KJ, PAS Teruskan Demo Jumaat Ini

SHAH ALAM 18 SEPT: Pemuda PAS tetap akan meneruskan himpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat Jumaat ini walaupun tidak menyertai Pemuda Umno dalam menyatakan bantahan terhadap penghinaan Nabi Muhammad SAW.

Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi dalam satu pesanan ringkas kepada Tv Selangor berkata, beliau tidak dihubungi mahupun mendapat sebarang jemputan rasmi daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk mengadakan’demonstrasi bantahan bersama’ tersebut.

“Tidak ada pula saya dapat jemputan dari pihak lain. KJ (Khairy Jamaluddin) buat kenyataan dia jemput Pemuda PAS demo sekali .

“Saya tidak terima sebarang jemputan daripada beliau. Beliau pun tidak pernah hubungi saya.

“Ada ke kita nak jemput orang pakai kenyataan media umum begitu sahaja. Saudara buat kenduri kahwin, lepas itu jemput jiran tetangga dengan buat kenyataan akhbar dalam Utusan. Macam itu ke?” soal beliau.

Tegas beliau, Pemuda PAS akan turun mengemukakan bantahan demi mempertahankan Rasulullah SAW tercinta.

Beliau menyeru semua umat Islam untuk turut sama hadir sebagai di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dan berkumpul di perkarangan Masjid Tabung Haji selepas selesai solat Jumaat.

Jumaat lalu, Pemuda PAS menggerakkan satu demonstrasi di seluruh negara bagi mendesak kepimpinan Amerika Syarikat supaya menarik balik trailer filem Innocence of Muslims oleh karyawan negara tersebut yang cuba menggambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang hina, lemah dan gila seks.

Hasil karya biadap Nakoula Basseley Nakoula dimuat naik di laman sosial Youtube ternyata mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia sehingga mengakibatkan duta Amerika Syarikat di Libya Chris Stevens terbunuh.