Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Taman Tun Perak Lega, Surau Al-Faizin 95 Peratus Siap

BALAKONG 18 SEPT: Masyarakat Islam di Taman Tun Perak hari ini lega apabila Surau Al-Faizin yang menelan kos pembinaan lebih RM900 ribu, kini berada di peringkat akhir pembinaannya.

Menurut Imam Masjid Nurul Ihsan, Asmawi Tijo pembinaan surau tersebut sudah lama dinantikan oleh penduduk setempat bagi memudahkan masyarakat Islam di sini beribadat.

Menurutnya lagi, sebelum ini masyarakat Islam di taman terbabit menggunakan Masjid Nurul Ihsan yang terletak kira-kira empat kilometer dari sini.

“Syukur, sekarang lebih mudah untuk penduduk Islam di sini nak berjemaah sebab dah dekat.

“Orang di taman ini juga dapat jalankan pelbagai aktiviti keugamaan dan secara tak langsung merapatkan hubungan siratulrahim sesama penduduk,” katanya kepada TV Selangor.

Bendahari Masjid Nurul Ihsan, Ezzaldin Yahya pula memberitahu surau yang kini sudah lebih 95 peratus siap itu mampu menampung kira-kira 200 jemaah pada satu masa.

“Sini juga adalah kariah Masjid Nurul Ihsan, cuma sekarang penduduk Islam taman ini dah ada surau sendiri.

“Insyaallah, penduduk sini akan dapat manfaatkan sepenuhnya,” kata Ezzaldin.

Sebelum itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mengadakan lawatan kerja rasmi di surau Surau Al-Faizin di sini.

Beliau yang diiringi Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat, Mohd Arif Abdul Samat turut menanam sepohoh kelapa sebagai simbolik lawatan beliau di surau terbabit.

Dalam program lawatan kerja yang sama, beliau turut melawat Sekolah Rendah Agama Taman Tun Perak yang terletak berhampiran surau terbabit.

Selain mengadakan lawatan kerjanya, Abdul Khalid juga sempat meluangkan masa dalam satu jamuan bersama kira-kira 1000 masyarakat di situ.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.