Categories
NASIONAL

Tingkatkan Hab Pengangkutan Bas Atasi Masalah Trafik

KUALA LUMPUR 14 SEPT: Malaysia memerlukan lebih banyak hab perkhidmatan bas khususnya kawasan Lembah Klang dan bukannya satu terminal pengangkutan awam besar seperti yang sedia ada di Terminal Bas Bersepadu (TBS), Bandar Tasik Selatan.

Pengarah Publisiti DAP, Tony Pua pada satu forum ‘Turunkan Harga Kereta’ berkata sistem pengangkutan awam seperti bas yang beroperasi secara efisyen mampu menjana ekonomi negara di samping meringankan bebas kos kehidupan rakyat yang terpaksa bergantung kepada kenderaan sendiri untuk bergerak.

Jelas Tony, cadangan pengurangan harga kereta bukanlah perkara pokok yang perlu dinafikan oleh pihak kerajaan sebaliknya sistem pengangkutan awam yang sekian lama berada di tahap yang kurang memuaskan perlu dipertingkatkan.

“Kita perlukan Projek Aliran Transit Massa (MRT) untuk jangka panjang dengan syarat keadaan operasi pengangkutan bas berjalan lancar kerana ia saling berkait.

“Saiz Singapura lebih kecil dari Lembah Klang. Lebih kurang tiga kali lebih kecil dari Lembah Klang. Mereka mempunyai sistem MRT yang sangat baik.

“3,300 bas awam disediakan. Di Lembah Klang jika tahun lepas 800, tahun ini ditambah sikit jadi 1,000.

“Katakan kita ingin meningktakan jumlah bas dari 1,000 sehingga 4,000, baik, buatlah.

“Katakan kos semua satu bas dalam RM500,000 dikalikan dengan 3,000 bas, kos baru RM1.5 bilion. Kita boleh buat.

“Tapi mereka (kerajaan) lebih berminat untuk melaksanakan RM50 bilion projek MRT sedangkan bas boleh bergerak dengan pantas,” kata Tony Pua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menambah, pembinaan lebih banyak hab pengangkutan bas di setiap kawasan misalnya di Gombak, Serdang dan Petaling Jaya dapat memberikan manfaat kepada orang awam terutamanya golongan berpendapatan rendah yang ditinggal di bandaraya.

Tegasnya, meskipun berlakunya penurunan harga kereta, jumlah kenderaan di jalan raya tetap akan sama meskipun setiap pemandu memiliki lebih daripada satu kenderaan.

“Adakah bila berlakunya pengurangan harga kereta, kita akan membeli lebih banyak kereta? Berapa banyak kereta yang kita pandu dalam satu masa?

“Walaupun kita memiliki lebih daripada satu kereta, kita tetap akan pandu hanya satu kereta. Maka jumlah kenderaan di jalan tetap akan sama. Jumlah kereta tidak boleh meningkat,” katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa langkah melaksanakan tender terbuka atau bidaan untuk permit import (AP) merupakan satu usaha yang efektif sekaligus memberikan pendapatan kepada ekonomi negara.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak sebagai moderator forum “Turunkan Harga Kereta’ selain penyertaan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad dan Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.