Categories
NASIONAL

Proton Perlu Bersaing Selepas ‘Dilindungi’ Lebih 25 Tahun

KUALA LUMPUR 14 SEPT:  Sekarang merupakan masa terbaik kepada Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) untuk bersaing secara kompetitif dalam industri automotif global setelah  25 tahun ‘dilindungi’ kerajaan.

Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata pengenalan cukai eksais merupakan satu usaha ‘melindungi’ Proton supaya terus bertahan.

Beliau yang menyambut baik cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menurunkan harga kereta menambah dan penghapusan cukai eksais.

“Walaupun Rafizi ada menyentuh sedikit sebanyak mengenai kerajaan banyak bergantung kepada cukai eksais dan sebagainya, saya rasa sedikit sebanyak asal usul cukai eksais tidak lari dari agenda melindungi Proton.

“Mungkin sebab ada label ‘Kereta Nasional’. Dengan label ini harga kereta lain dinaikkan dan sedikit sebanyak harga Proton sedikit okey.

“Kita perlu menerangkan kepada rakyat, Proton hanyalah sebuah syarikat. Mungkin menjadi sebuah syakirat yang dimiliki Malaysia tetapi mereka menghasilkan kereta.

“Apa yang penting kita mempunyai kereta yang berkualiti tinggi. Apa ertinya mempunyai harga kereta yang rendah tetapi mempunyai kualiti yang rendah,” katanya ketika menyampaikan pandangan dalam forum “Turunkan Harga Kereta’.

Jelasnya, cadangan menurunkan harga kereta dan menghapuskan cukai yang diilhamkan oleh PR merupakan satu langkah yang baik serta tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Meskipun idea yang dibawa oleh PR dilihat sebagai suatu yang populis, kerajaan sepatutnya berperanan untuk menurunkan harga kereta dan Umno-BN sepatutnya membalas cadangan ini dengan idea yang lebih baik.

Ujar Wan Saiful, jika PR benar-benar ingin meningkatkan taraf kehidupan rakyat, mereka perlu menilai dan menyemak semula struktur cukai dalam negara secara keseluruhan.

Menurutnya, meskipun penghapuskan cukai eksais ini akan mengakibatkan negara kehilangan RM7 bilion, kerajaan sepatutnya mengurangkan perbelanjaan terutama dalam beberapa perkara yang dirasakan tidak penting bagi menjimatkan kos kewangan.

Mengambil contoh Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai katanya, perkara ini sebenarnya boleh dilakukan kerana Langkawi kini mampu melaksanakan pembangunan dengan baik.

“Kadar cukai yang rendah boleh merangsang ekonomi dan boleh membantu rakyat secara umumnya. Jika cukai ditetapkan pada kadar yang sepatutnya, ini akan meingkatkan jumlah pembayar cukai begitu juga sebaliknya.

“Untuk membangunkan pulau-pulau di negara ini seperti Langkawi adalah kerajaan mengambil langkah mengurangkan cukai,” katanya.

Forum ‘Turunkan harga Kereta’ yang berlangsung di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dihadiri hampir 50 penonton yang menyaksikan Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak sebagai moderator.

Leave a Reply

Your email address will not be published.