Categories
SELANGOR

PKR : “Wang Umno” RM 40 Juta Langgar Undang-Undang

KUALA LUMPUR, 25 OKT : PKR mahu Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat pemindahan wang bernilai RM 40 juta dari sebuah akaun luar negara kepada pemimpin tinggi Umno Sabah kerana ada asas bahawa transaksi tersebut melanggar undang-undang pengubahan wang haram.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata terdapat empat asas bagi BNM untuk memulakan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Empat asas tersebut adalah dibawah Seksyen 3(1), Seksyen 14(b) dan Seksyen 16 (3), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 serta peraturan wang asingoleh BNM melalui ‘ECM4-Pembayaran Umum”.

Rafizi menyerahkan kertas laporan berhubung wang RM 40 juta tersebut kepada Pegawai Bahagian Komunikasi Strategik BNM Zoe Rai.

Seksyen 3(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 menetapkan seseorang perlu menetukan terlebih dahulu wang yang diterima tidak datang daripada hasil yang haram.

“Kalau tengok wang RM40 juta ini, jelas sudah ada siasatan yang dilakukan mengenai wang ini berkaitan dengan pembalakan dan juga salah laku rasuah yang dituduh melibatkan Ketua Menteri Sabah.

“Apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa wang itu adalah untuk Umno, secara automatik Umno juga dikira bersalah kerana tidak mengambil langkah munasabah untuk menentukan wang itu bukan wang haram.

“Siasatan ini bukan hanya berkait dengan Musa Aman, tetapi melibatkan Najib selaku Presiden Umno untuk menyiasat wang tersebut bukan dari sumber yang haram,” katanya di perkarangan BNM sambil ditemani Amizudin Ahmat, yang mengendalikan blog ?Sharpshooter?.

Manakala di bawah Seksyen 14 (b) akta tersebut, BNM bertanggungjawab menyiasat transaksi yang sumbernya dari akaun yang dibekukan dan menimbulkan keraguan bahawa ia bersabit dengan aktiviti haram.

Tambah Rafizi, dari Ogos 2008 sehingga 2010, sebarang transaksi melibatkan mata wang asing atau ringgit di antara pemastautin dan bukan pemastautin atautransaksi di antara akaun di Malaysia dan luar negara, adalah tertakluk kepada peraturan mata wang yang ditetapkan oleh BNM melalui pekeliling ECM4.

Mengikut ECM4, sebarang transaksi melibatkan mata wang asing atau ringgit di antara pemastautin dan bukan pemastautin (atau transaksi di antara akaun diMalaysia dan luar negara) yang melebihi RM 200,001 perlulah dilaporkan melalui borang khas kepada BNM.

Laporan sebelum ini menyatakan MP Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing mendakwa bahawa wang RM 40 juta itu dimasukkan terus ke akaun seorang pemimpin Umno dan bukannya ke akaun Umno.

Situasi ini membayangkan pemimpin tersebut yang digelar ‘Pemimpin Umno X’ oleh Rafizi mungkin bertindak selaku wakil Umno seperti yang dinyatakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Menteri Di Dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pernah berkata wang RM 40 juta itu hanya sumbangan kepada parti Umno dan tidak salah bagi parti menerima dana.

Justeru beliau mendesak BNM untuk memulakan siasatan terhadap penerima wang RM 40 juta yang dikenali sebagai ‘Pemimpin Umno X’, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Nazri, ahli perniagaan Michael Chia dan mana-mana pemimpin Umno lain bagi menentukan sama ada mereka telah bersalah melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.