Categories
SELANGOR

Warga Emas Pelbagai Bangsa Teruja Dirai MBPJ

PETALING JAYA 14 OKT : Rata-rata warga emas yang ditemui melahirkan rasa seronok dan teruja dengan penganjuran Program Warga Emas oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pagi ini.

Seorang warga emas berbangsa Cina, Dr Ng Kok Han,60, berkata, beliau berbangga menjadi sebahagian daripada program yang bertemakan “Warga Emas Sihat, Aktif, Ceria: Hidup Sejahtera” itu.

“Kita ada acara sukan, senaman, kita ada program tari-menari, kita ada nyanyian patriotik, nasyid dan sebagainya menjadikan program hari ini begitu sempurna.

“Lebih menarik lagi ia disertai berbilang bangsa yang hari ini kelihatan gembira dan harmoni dapat meluangkan hujung minggu bersama-sama.

“Sayalah warga emas paling gembira pagi ini,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Presiden Warga Emas Damansara Jaya.

Sementara itu, Tan Pei Ling,44, yang juga mengambil bahagian dalam acara Larian Terbuka Wanita berharap agar program tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Namun saya harap agar jadual program dapat disusun dengan lebih teratur agar peserta program terutama warga tua tidak menunggu terlalu lama untuk menerima hadiah kemenangan.

“Selain daripada itu, saya rasa seronok dan sangat menikmati program hari ini,” jelasnya yang berjaya menggungguli kategori larian yang disertainya.

Program pagi tadi turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman selain disertai kira-kira 500 warga emas.

Program bermula seawal jam 6 pagi dengan acara larian, pemeriksaan kesihatan, diikuti dengan pelbagai persembahan menarik oleh warga emas dan juga artis jemputan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.