Categories
SELANGOR

Hutang Talam Mesti Dikutip Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 20 NOV : Proses pengutipan hutang RM 392 juta daripada syarikat Talam Corporation harus dijalankan kerana ia boleh memberikan impak buruk kepada syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) sekiranya tidak dikutip.

Ini kerana, Talam, yang berhutang dengan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), menghadapi masalah kewangan yang serius.

Talam telah dikategorikan sebagai syarikat berstatus PN17 di antara September 2006 dan Jun 2010 kerana kegagalannya membuat bayaran bagi pinjaman dan bon.

Menurut laporan kertas putih tentang penstrukturan semula hutang Talam, proses tersebut bukan satu ?bailout? di mana wang awam dipakai untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang sakit.

Ini kerana tiada sebarang bayaran sama ada dalam bentuk tunai atau barangan, diberikan kepada Talam untuk mengutip hutang tersebut.

Kerajaan Selangor hanya membelanjakan RM 420,000 sahaja dalam bentuk yuran perundangan dan faedah yang dikenakan oleh pihak bank.

Ia jumlah yang kecil berbanding dengan jumlah kutipan hutang sebanyak RM 392 juta daripada syarikat Talam.

Laporan tersebut juga menyenaraikan penilaian yang dibuat terhadap tiga bidang tanah Talam yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Tanah tersebut di Bukit Beruntung, Bestari Jaya dan Danau Putra.

Bagi tanah Bukit Beruntung, penilaian oleh Sulaiman & Co menetapkan nilai tanah itu pada RM 375 juta manakala penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Jabatan Penilaian) menetapkan nilai tanah pada RM 113 juta.

“Perbezaan itu kerana Jabatan Penilaian mengambil kira status kategori kegunaan tanah sebagai ‘pertanian’ manakala nilaian Suleiman & Co mengambil kira kategori kegunaaan tanah terbabit sebagai ‘pembangunan bercampur’,” kata laporan itu.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa nilaian yang dibuat oleh Suleiman & Co. adalah lebih menepati nilai sebenar tanah Bukit Beruntung itu,” katanya.

Bagi tanah di Bestari Jaya, pula Mitra Valuers pada November 2009 telah menetapkan nilai RM 88,000 seekar kerana muka bumi yang tidak rata dan memerlukan penimbusan tanah kerana sebahagiannya adalah tasik bekas lombong.

Bagi tanah Danau Putra, Jabatan Penilaian pada Julai 2012 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM 17.66 kaki persegi (skp).

Jelas laporan itu, Kerajaan Negeri menyediakan pampasan tambahan kepada GLC sebagai balasan pelunasan hutang Talam walaupun hutang itu sudah dipindahkan kepada kerajaan.

Laporan itu juga menyebut, Unisel diberi pampasan berjumlah RM248.7 juta, KHSB, RM 115 juta dan bagi PNSB, satu geran yang bernilai RM 28 juta.

Lampiran:
Kertas Putih Talam (BM)
Kertas Putih Talam (Eng)
Kenyataan KPMG

Leave a Reply

Your email address will not be published.