Categories
SELANGOR

Hutang Talam Mesti Dikutip Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 20 NOV : Proses pengutipan hutang RM 392 juta daripada syarikat Talam Corporation harus dijalankan kerana ia boleh memberikan impak buruk kepada syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) sekiranya tidak dikutip.

Ini kerana, Talam, yang berhutang dengan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), menghadapi masalah kewangan yang serius.

Talam telah dikategorikan sebagai syarikat berstatus PN17 di antara September 2006 dan Jun 2010 kerana kegagalannya membuat bayaran bagi pinjaman dan bon.

Menurut laporan kertas putih tentang penstrukturan semula hutang Talam, proses tersebut bukan satu ?bailout? di mana wang awam dipakai untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang sakit.

Ini kerana tiada sebarang bayaran sama ada dalam bentuk tunai atau barangan, diberikan kepada Talam untuk mengutip hutang tersebut.

Kerajaan Selangor hanya membelanjakan RM 420,000 sahaja dalam bentuk yuran perundangan dan faedah yang dikenakan oleh pihak bank.

Ia jumlah yang kecil berbanding dengan jumlah kutipan hutang sebanyak RM 392 juta daripada syarikat Talam.

Laporan tersebut juga menyenaraikan penilaian yang dibuat terhadap tiga bidang tanah Talam yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Tanah tersebut di Bukit Beruntung, Bestari Jaya dan Danau Putra.

Bagi tanah Bukit Beruntung, penilaian oleh Sulaiman & Co menetapkan nilai tanah itu pada RM 375 juta manakala penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Jabatan Penilaian) menetapkan nilai tanah pada RM 113 juta.

“Perbezaan itu kerana Jabatan Penilaian mengambil kira status kategori kegunaan tanah sebagai ‘pertanian’ manakala nilaian Suleiman & Co mengambil kira kategori kegunaaan tanah terbabit sebagai ‘pembangunan bercampur’,” kata laporan itu.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa nilaian yang dibuat oleh Suleiman & Co. adalah lebih menepati nilai sebenar tanah Bukit Beruntung itu,” katanya.

Bagi tanah di Bestari Jaya, pula Mitra Valuers pada November 2009 telah menetapkan nilai RM 88,000 seekar kerana muka bumi yang tidak rata dan memerlukan penimbusan tanah kerana sebahagiannya adalah tasik bekas lombong.

Bagi tanah Danau Putra, Jabatan Penilaian pada Julai 2012 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM 17.66 kaki persegi (skp).

Jelas laporan itu, Kerajaan Negeri menyediakan pampasan tambahan kepada GLC sebagai balasan pelunasan hutang Talam walaupun hutang itu sudah dipindahkan kepada kerajaan.

Laporan itu juga menyebut, Unisel diberi pampasan berjumlah RM248.7 juta, KHSB, RM 115 juta dan bagi PNSB, satu geran yang bernilai RM 28 juta.

Lampiran:
Kertas Putih Talam (BM)
Kertas Putih Talam (Eng)
Kenyataan KPMG

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Talam : Teresa Dakwa MCA Sengaja Cipta Kontroversi

SHAH ALAM 9 OGOS : Teresa Kok menafikan dakwaan Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong yang kononnya anak syarikat Kerajaan Negeri dipaksa menjadi ‘pak sanggup’ untuk melunaskan hutang Talam Corporation Berhad (Talam).

Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, Teresa yang juga Exco Selangor turut menganggap Tee Yong sengaja mencipta kontroversi untuk meraih publisiti murahan.

Beliau berkata, tanah seluas 160 hektar di Bukit Ulu Yam itu diberikan Kerajaan Umno-BN terdahulu kepada Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) untuk diusahakan bersama Talam.

Namun katanya, disebabkan tanah itu terletak di lereng bukit, maka Kerajaan Negeri tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan itu dan mengarahkan ia diserahkan semula kepada KHSB.

“Di sini jelas membuktikan bahawa Tee Yong sengaja memutarbelitkan fakta dengan memberi penerangan mengelirukan. Tanah itu dipulangkan kepada KHSB tanpa membabitkan sebarang arahan pembelian tanah daripada Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) didakwa diarah oleh Kerajaan Selangor mengambil alih tanah milik Talam seluas 160 hektar di Bukit Ulu Yam, dengan harga RM18 juta walaupun ia mempunyai kecerunan kelas tiga dan empat iaitu melebihi 35 darjah.

Tee Yong mendakwa kononnya KHSB diarah membeli tanah tersebut walaupun pada 3 Mei 2010 syarikat terbabit sudah menolak ‘cadangan’ Kerajaan Selangor kerana hasil penilaian mendapati 55 peratus tanah berkenaan tidak boleh dibangunkan.

Dakwanya lagi, harga yang ditawarkan kepada KHSB juga RM5.3 juta lebih mahal berbanding harga pasaran iaitu RM12.7 juta.

Dalam pada itu, Teresa turut mempersoalkan kegagalan Tee Yong untuk menghadiri taklimat berhubung isu penyelesaian hutang Talam yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selasa lalu.

Berbanding mendengar penjelasan, Teresa berkata Tee Yong lebih memilih untuk membuat analisa sendiri dengan mendedahkan lebih banyak ‘kontroversi’ berhubung Talam.

“Adakah Tee Yong sudah menjadi penganalisa berdaftar sekarang? Beliau tidak mahu berdebat bersama Tony Pua mahupun menghadiri taklimat Talam walaupun sudah dijemput. Adakah Tee Yong takut untuk mengetahui kebenaran sebenar?” soalnya.