Categories
SELANGOR

Jumlah Mangsa Banjir Selangor Meningkat

SHAH ALAM 12 NOV: Selangor mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir sebanyak 1,327 mangsa di tiga daerah iaitu Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor berbanding 1,273 orang mangsa malam tadi.

Menurut laman portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), daerah Kuala Langat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 954 mangsa di tempatkan di empat pusat pemindahan sehingga pukul 9 pagi tadi.

Sebanyak tujuh pusat pemindahan mangsa banjir disediakan bagi menampung pertambahan jumlah mangsa banjir dengan jumlah tertinggi di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang iaitu sebanyak 772 mangsa.

Dalam pada itu, hujan lebat di Bestari Jaya sejak beberapa hari lepas menyebabkan jumlah mangsa banjir meningkat daripada 15 orang kepada 33 orang sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan di Kampung Seri Makmur, Bestari Jaya yang melibatkan lapan keluarga.

Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, paras air di dua sungai utama di Selangor iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang dan Sungai Selangor di Kuala Badong telah melebihi paras amaran dan orang ramai yang berada di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.

Leave a Reply

Your email address will not be published.