Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Halang Penyeludupan Kayu Bakau

SHAH ALAM 27 NOV : Kerajaan Selangor menggunakan sistem satelit bagi memantau dan mengawal usaha pencerobohan di kawasan hutan paya bakau Selangor serta percubaan untuk menyeludup kayu bakau.

Exco Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata perlaksanaan kawalan sistem satelit tersebut bermula sejak setahun lalu dan telah menolong membanteras aktiviti-aktiviti tersebut.

“Itu adalah sistem terbaru dan terkini serta memudahkan proses pemantauan diadakan.

“Selain itu, kita juga ada para pegawai yang akan turun padang memantau kawasan serta mengadakan kawalan udara dari semasa ke semasa,” ujarnya ketika ditemui di Sidang Dewan Negeri hari ini.

Mengulas kejadian penyeludupan kayu bakau di sekitar Klang, beliau menjelaskan pendakwaan undang-undang telah dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

“Kebiasannya apabila terdapat kes penyeludupan, orang awam akan segera mengadu kepada kita (jabatan perhutanan).

“Kesemua kes tersebut berjaya kita ambil tindakan dan mereka yang bersalah menyeludup juga telah dijatuhkan hukuman,” tegas Elizabeth yang juga Adun Bukit Lanjan.

Tambah beliau, kebanyakan penyeludupan dilakukan warga asing Indonesia yang menceroboh dengan menggunakan bot-bot kecil.

“Justeru, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan merangka gerakan bersepadu kerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan membendung gejala ini,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.