MB Nafi Arahan Kepada SYABAS Beku Modal Capex

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan Negeri menafikan pernah mengeluarkan arahan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membekukan atau menghentikan perbelanjaan moda(Capex) kepada syarikat konsesi air itu untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian bagi menjawab soalan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Datuk Dr Karim Mansor (BN-Tanjung Sepat) yang mendakwa Kerajaan Negeri mengeluarkan surat arahan membekukan perkara itu pada 2009, 2011, 2012, dan 2014 dengan alasan sedang dalam proses menjalankan menstrukturkan semula pengambilan air.

Mereka mendakwa disebabkan pembekuan capex itu menyebabkan pembaikan paip tidak dapat dilaksanakan ekoran Kerajan Negeri tidak membantu Syabas dalam perkara itu.

Malah, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sememangnya tidak menyediakan Capex kepada Syabas.

Hal itu kerana modal Capex sepatutnya disediakan oleh Syabas sendiri atau pinjaman dari Kerajaan Pusat.

“Kalau Kerajaan Negeri menyediakan capex, jawapannya lebih baik saya buat. Bukan suruh Syabas buat, sebab dia ada komisyen untuk buat tersebut. Siapa yang bayar komisen tersebut? Sudah tentu rakyat Selangor,” katanya.

Jelas Abdul Khalid, berikutan kegagalan Syabas mengurangkan kadar NRW, satu kajian dibuat oleh audit negara mengenai penggunaan dana-dana ataupun capital yang dipinjamkan oleh Kerajaan Pusat kepada pemilik saham Syabas bagi tujuan pembangunan Syabas.

Namun, kajian itu mendapati bahawa sebahagian besar perbelanjaan awalnya adalah untuk memperbaiki satu pejabat dan membeli kereta baru. Jadi daripada situ kita nyatakan bahawa Syabas tidak fokus kepada pembetulan paip.

“Kedua, suka saya dapati, pembetulan paip-paip tidak dilakukan secara tender terbuka, kajian menunjukkan ia menyebabkan berlakunya undang-undang baru pada 2006. Pemilik saham Syabas dan Puncak Niaga termasuk pemilik saham utama, Tan Sri Rozali sangat berminat untuk menjadi ejen menyediakan paip air tersebut.

“Oleh kerana kerajaan audit menunjukan pinjaman yang dibuat kepada Syabas tak dibuat mengikut tatacara yang sepatutnya dan saya mencadangkan supaya perkara ini dibetulkan mengikut kelulusan undang-undang iaitu akta air yang mana penyusunan semula industri air dilakukan,” katanya.

Abdul Khalid menambah Syabas sebenarnya tidak memberi fokus kepada ‘water resources management’.

Sedangkan di bawah perjanjian konsesi yang ditandatangai oleh Syabas, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri terdapat sasaran untuk NRW disasarkan.

Antaranya pada tahun 2006, NRW dikurangkan kepada 37.78 peratus ; 2009 sebanyak 27 peratus ; 2012 kepada 19.98 peratus dan 2015 kepada 15.48 peratus.

“Seterusnya kepada targetnya kepada peringkat 15 peratus. Apa yang berlaku sekarang NRW yang dicapai oleh Syabas sehingga 0ktober 2012 ialah 32.68 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, jawapan daripada Menteri Besar itu, menimbulkan pertelingkahan antara kedua-dua Adun itu apabila Sulaiman bangun untuk mempertahankan Syabas.

“Saudara kena faham, saya nak beritahu?saudara tak boleh jadi wakil Syabas, jadi wakil rakyat lah. Jadi itu yang paling penting. Saudara tak boleh jadi wakil Syabas.

“Saya kata kalau syabas tak boleh buat, serah kepada Unit Perancangan Negeri (Upen),” kata Abdul Khalid.

Leave a Reply

Your email address will not be published.