Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar air tidak berhasil turun, hampir capai sasaran 28 peratus

SHAH ALAM, 13 DIS: Kadar air tidak berhasil (NRW) bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencecah 28.1 peratus setakat November, kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman yakin kadar itu boleh menurun sehingga 28 peratus seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kita yakin mampu mencapainya dengan usaha lebih menjelang akhir tahun ini. Untuk menurunkan kadar NRW, terdapat beberapa aspek dibuat seperti penggantian paip bocor dan pecah,” katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar secara maya melalui aplikasi Zoom petang tadi, Air Selangor turut menyasarkan NRW bagi ketiga-tiga kawasan turun kepada 27 peratus tahun depan.

Sementara itu, Suhaimi berkata sepanjang 154km paip lama digantikan dengan rekod Indeks Paip Pecah (PBI) sekitar 6.73 kes bagi setiap 100km berbanding piawaian antarabangsa iaitu 13 kes.

“Penggantian ini melibatkan 60 kawasan kritikal yang memerlukan penggantian paip baharu walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya lagi.

Tahun lalu, syarikat itu berjaya mengurangkan kadar NRW kepada 28.6 peratus berbanding sasaran SPAN sebanyak 29.2 peratus.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menyasarkan NRW negeri turun kepada 25 peratus menjelang 2025 melalui perancangan rapi termasuk penggantian pelbagai komponen.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sasar turunkan 25 peratus lagi air tidak berhasil pada 2025

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri menerusi anak syarikat miliknya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyasarkan penurunan air tidak berhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang 2025.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata sehingga Oktober lalu, purata NRW bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berada pada tahap 28.2 peratus berbanding tahun lalu iaitu 28.5 peratus.

“Menjadi perancangan jangka panjang dan sederhana bagi Air Selangor untuk mengurangkan NRW kepada tahap paling rendah. Kita sasar satu peratus setiap tahun bagi kadar yang terbaik dan mencapai 25 peratus pada 2025.

“Perlu diingat penurunan NRW bukan kaedah mudah dan memerlukan banyak aspek perancangan seperti penggantian pelbagai komponen dan pengurusan logistik serta infrastruktur lain. Kita tidak boleh banding dengan negeri lain kerana Selangor mempunyai paip paling panjang berbanding negeri lain seperti Melaka,” katanya.

Izham menjawab soalan tambahan wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong yang bertanya mengapa Selangor tidak mampu mencapai NRW seperti di Melaka yang mencapai 20 peratus pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Izham, bagi proses penggantian paip, sejumlah RM174 juta diperuntuk merangkumi kos reka bentuk, penyeliaan tapak dan pelaksanaan kerja pada tahun depan.

“Sejumlah RM248.7 juta diperuntukkan melalui pinjaman oleh Kerajaan Negeri kepada Air Selangor pada 2017 dan ia digunakan bagi program penggantian paip bagi 2017 hingga 2019,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendapatan Air Selangor meningkat, catat RM2.18 bilion pada 2020

SHAH ALAM, 30 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatat pendapatan berjumlah RM2.18 bilion tahun lalu, meningkat 3.62 peratus berbanding RM2.10 bilion pada 2019.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata syarikat itu membuktikan kemampuan mencapai sasaran ditetapkan meskipun operasi sedikit terganggu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suhaimi Kamaralzaman turut memaklumkan kadar purata air tidak berhasil (NRW) berjaya dikurangkan dari 29.7 peratus pada 2019 kepada 28.53 peratus tahun lalu, melebihi sasaran ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Pengurangan NRW mengomptimumkan kos operasi sekali gus meningkatkan pendapatan kita,” katanya ketika membentangkan laporan kelestarian 2020 secara maya hari ini.

Beliau berkata Air Selangor juga merekod banyak kejayaan pada tahun lalu yang memberi impak positif kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Kejayaan itu meliputi:

1. Penyerahan pengurusan Empangan Kelau di Pahang menerusi projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor dengan kemampuan penyimpanan air sebanyak 147.10 juta meter padu yang memberi faedah kepada Loji Rawatan Air Langat 2

2. Pematuhan 100 peratus program jaminan kualiti Kementerian Kesihatan Malaysia tanpa sebarang insiden pelanggan mengalami jangkitan dalam usus akibat kuman dalam air serta bebas klorin.

3. Pelaksanaan tinjauan indeks kepuasan pelanggan 2020 bagi mengenal pasti jangkaan pengguna untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

4. Pelaksanaan pelbagai inisiatif akar umbi menerusi program tanggungjawab sosial korporat Sesama Mara Air Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor peruntuk RM186 juta ganti paip, meter lama

SHAH ALAM, 3 FEB: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memperuntuk sebanyak RM293 juta bagi mengurangkan kadar purata air tidak berhasil (NRW) sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM170 juta disalur untuk mengantikan paip lama sementara RM16 juta lagi bagi menukar meter lama dan rosak.

“Air Selangor juga akan menukar paip lama dan usang terutama dari jenis ‘asbestos cement’ sepanjang 150 kilometer menerusi Program Penggantian Paip Lama.

“Kami juga akan memasang 1,780 alat pengesan pada paip utama untuk mengesan kebocoran peringkat awal selain menggunakan 3,000 Alat Pengesan Kebocoran Kekal pada paip retikulasi di 60 zon pemeteran daerah,” katanya dalam kenyataan.

Suhaimi menjelaskan bagi memastikan usaha itu berjaya dilaksana, Pasukan Pakar Kebocoran dan Pemeriksa Kebocoran Air Selangor perlu mengesan sekurang-kurangnya 78,000 kes paip bocor.

Katanya, agensi berusaha untuk mengurangkan kadar NRW kepada 25 peratus pada 2025 dan 15 peratus menjelang 2049.

Beliau menambah sehingga kini pihaknya berjaya menurunkan kadar NRW kepada 28.6 peratus pada tahun lalu berbanding 29.7 peratus pada 2019.

“Kejayaan itu melebihi sasaran yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara iaitu pada kadar 29.2 peratus,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPAN pastikan operator bekalan air ganti paip bermasalah

PUTRAJAYA, 30 DIS: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), akan memastikan operator bekalan air menggantikan paip bermasalah secara berjadual, bagi mengelak berlakunya insiden paip bocor atau pecah yang akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

SPAN dalam satu kenyataan menyatakan, pihaknya memantau rapi perancangan setiap operator bekalan air termasuk meluluskan projek penggantian paip di setiap negeri termasuk di Selangor, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Program Penggantian Paip, merupakan salah satu aspek yang diberi perhatian oleh SPAN dalam semua perancangan Pelan Perniagaan operator bekalan air,” menurut SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk insiden gangguan bekalan air di 58 kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling, yang berpunca dari masalah pada paip utama milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), yang berlaku hari ini.

Untuk rekod, SPAN menyatakan pada November lepas, pihaknya meluluskan Pelan Perniagaan dikemukakan oleh Air Selangor, yang turut menyenaraikan aktiviti bagi program penggantian paip berjumlah lebih RM500 juta, yang akan dilaksanakan Air Selangor dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Program penggantian paip yang dirancang ini, akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2020 hingga 2022 secara berperingkat, melibatkan penggantian kira-kira 150 kilometer (km) panjang paip agihan setahun dan 4,260 paip penghubung,” menurut kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya itu menyatakan untuk rekod, jumlah panjang paip jenis Asbestos Cement (AC) yang masih digunakan dalam sistem agihan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sekitar 6,205km atau 21.4 peratus daripada panjang keseluruhan rangkaian paip agihan iaitu 29,044km.

“Program penggantian paip bagi paip-paip yang mencapai usia perkhidmatan maksimum adalah sesuatu yang dirancang secara berjadual, oleh setiap operator bekalan air.

“Ini kerana paip ini berisiko tinggi untuk bocor atau pecah, akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna, dan pada waktu sama menyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi,” katanya.

SPAN menyatakan, aktiviti menggantikan paip oleh operator akan mengambil masa dan dijalankan secara berperingkat, bagi tujuan mengelak gangguan bekalan skala besar dan kesabatan dan kefahaman pengguna amatlah diperlukan dan dihargai.

Sementara itu, SPAN menyatakan untuk rekod, kerajaan mensasarkan NRW pada paras 25 peratus untuk dicapai pada tahun 2030.

Berdasarkan rekod semasa, paras NRW Kebangsaan sehingga suku kedua 2020 adalah 36.9 peratus dan anggaran kerugian akibat NRW ini adalah sekitar RM2 billion setahun.

SPAN akan terus memantau aktiviti operator berdasarkan kelulusan diberi untuk pelan pembangunan dan penambah baikan terhadap kualiti perkhidmatan agar keperluan pengguna akan sentiasa dapat diutamakan.

Orang ramai juga diminta menggunakan air secara berhemat dan melaporkan kes disyaki melakukan kecurian bekalan air, serta sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan sumber air kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian +603-8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar air tidak berhasil turun lebih sasaran pada 2019

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berjaya menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 29.6 peratus tahun lalu berbanding 31.6 peratus pada 2018.

Dalam Laporan Prestasi 2019, Air Selangor memaklumkan penurunan dua peratus jauh lebih baik berbanding sasaran asal iaitu 30.6 peratus.

“Air Selangor meneruskan capaian positif mengurangkan purata NRW sekali gus mencatat rekod rendah dalam sejarah industri bekalan dan agihan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“(Kejayaan) ini dicapai melalui perancangan intensif dan pelaksanaan berterusan beberapa inisiatif dalaman sejak 2017,” menurut laporan itu.

Inisiatif tersebut merangkumi usaha mengurangkan kes paip pecah, pemasangan alat pengesanan pada paip utama, penggantian paip dan meter lama serta rosak.

“Air Selangor yakin inisiatif dan program untuk mengurangkan NRW akan berjaya dengan sasaran pengurangan satu peratus setiap tahun,” kata syarikat tersebut.

Tahun ini, kira-kira RM171.63 juta diperuntuk berbanding RM164 juta pada 2019 untuk pelaksanaan program menurunkan kadar NRW dan kerja penggantian meter.

Selain itu, sebanyak RM144.5 juta diagih untuk penggantian paip lama dan kerap pecah berbanding RM161.9 juta tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Sasar turunkan NRW 20% menjelang 2035

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri merancang serta mensasarkan untuk menurunkan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) ke paras 20 peratus menjelang 2035.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib berkata, berdasarkan pelan perniagaan yang dirancang, keseluruhan kos bagi kerja penurunan NRW dianggarkan sebanyak RM13.6 bilion selama 30 tahun termasuk kos kerja penukaran paip lama.

“Pelbagai program NRW dan inisiatif akan dilaksana berdasarkan pelan perniagaan termasuk Program Pengesahan Kebocoran Aktif pada paip retikulasi, paip utama dengan menggunakan alat pengesanan kebocoran berteknologi tinggi,” katanya menjawab soalan lisan ADN Sekinchan dan ADN Kampung Tunku di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan pembentukan Zon Permeteran Daerah, Kawasan Imbangan Air dengan Pengurusan Tekanan Air.

“Kita juga akan membuat penukaran paip komunikasi yang berselerak dan lama serta penukaran meter di Loji Rawatan Air (LRA) selain mengadakan program penukaran meter air pengguna, penukaran meter mekanikal kepada meter elektromagnetik dan pensaizan semula meter air pengguna,” katanya.

Manakala bagi membiayai kerja penurunan NRW, Zaidy berkata, selain peruntukan negeri, juga mencadangkan sumber kewangan daripada Selangor dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), geran dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan peruntukan dana dalaman Air Selangor.

=EZY=

Premium tanah semurah RM1 untuk kebajikan

Paparan menarik untuk hari ini :

1.Kerajaan negeri menyediakan insentif RM100,000 bagi setiap Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) yang cemerlang dengan hasil kutipan cukai dan premium melebihi 90 peratus.

2.Selangor hanya mengenakan bayaran premium tanah RM1 sahaja kepada syarikat atau badan yang menjalankan aktiviti perniagaan untuk kebajikan di atas tanah yang dimiliki.

3. Kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menurunkan air tidak berhasil (NRW) kepada 20 peratus seperti termaktub dalam perjanjian konsesi dianggap sebagai ‘dosa’ kepada rakyat Selangor.

4. Kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk tidak mengeluarkan lesen pendudukan sementara (TOL) sehingga kegunaan tanah itu dimanfaat sepenuhnya bakal pemilik.

5. Kerajaan negeri menjelaskan RM3.2 bilion daripada RM3.5 bilion peruntukan digunakan bagi perbelanjaan pembangunan, sejak 2008 hingga 2012.

6. Kerajaan negeri tidak akan meluluskan penempatan di kawasan rizab sungai bagi mengelakkan masalah banjir yang mampu memberi impak sosial kepada penduduk.

7. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan status kem tentera di Tebrau dan Plentong, Johor.

8. Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya membina 1,422 unit rumah bagi pembangunan semula perumahan Bukit Botak selepas projek itu gagal diselesaikan pemaju terdahulu.

9. Tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menjadi penawar menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke lembah kemuflisan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

CAPEX Duit Rakyat, Selangor Sekat Kerana Syabas Tak Guna Dengan Baik

Xavier 1 Semenyih Loji 01

 

SHAH ALAM 23 JAN : RM 325 juta yang hilang tanpa sebab dan gaji pengerusi eksekutif yang kian melambung adalah antara sebab Kerajaan Negeri memberhentikan Perbelanjaan Modal Pembangunan (capex) yang digunakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ini kerana capex adalah dana awam yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Syabas untuk kerja-kerja mengatasi masalah dalam sistem agihan air dan untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Mengikut perjanjian penswastaan air 2004, Capex diberikan kepada Syabas dengan rundingan Kerajaan Negeri, kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar.

Menurut risalah isu air Kerajaan Selangor, Syabas juga telah melanggar perjanjian 2004 dengan membeli paip gantian bernilai RM 375 juta daripada syarikat yang dipunyai oleh pengerusi eksekutifnya sendiri.

Syabas juga membelanjakan RM 51.2 juta untuk mengubahsuai pejabatnya sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor hanya meluluskan RM 23.3 juta.

Lebih dari itu, sekurang-kurangnya 72 peratus daripada kontrak yang bernilai RM 600 juta dianugerahkan melalui proses rundingan terus – kaedah yang telah dibuktikan boleh membawa kepada pembaziran dan penambahan harga.

Tindakan-tindakan ini kata, Dr Xavier menunjukkan bahawa Syabas tidak menggunakan duit tersebut dengan betul seperti yang ditetapkan perjanjian dengan Kerajaan Negeri.

Oleh itu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri, selaku pemilik aset perkhidmatan air dan pihak yang bertanggungjawab memastikan ia berjalan dengan baik untuk rakyat, berhak menyekat capex Syabas.

Dr Xavier menyangkal dakwaan yang dibuat Syabas di dalam beberapa iklan di surat khabar milik Umno-BN yang menyalahkan Kerajaan Negeri dalam masalah gangguan air di Lembah Klang baru-baru ini.

Dakwaan di dalam iklan tersebut adalah bahawa gangguan bekalan yang berpunca daripada kegagalan rumah pam wangsa maju yang terpaksa beroperasi lebih daripada kapasiti (overload).

Manakala penambahbaikan kepada sistem agihan air di kawasan itu tidak dapat dijalankan kerana Kerajaan Negeri telah menyekat perbelanjaan capex untuk tujuan itu.

“Syabas tak mahu terbuka dan berkerjasama dengan Kerajaan Negeri, sebab itu kita ambil keputusan untuk hentikan capex sementara sampai dia boleh setuju isytihar kerja yang akan dilakukan.

?Sebab itu kita mahukan satu audit terbuka dibuat dan tunjukkan kepada rakyat Selangor bagaimana peruntukan itu digunakan oleh Syabas. Sebab itu kita berhentikan Capex,? kata Dr Xavier ketika dihubungi.

MB Nafi Arahan Kepada SYABAS Beku Modal Capex

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan Negeri menafikan pernah mengeluarkan arahan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membekukan atau menghentikan perbelanjaan moda(Capex) kepada syarikat konsesi air itu untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian bagi menjawab soalan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Datuk Dr Karim Mansor (BN-Tanjung Sepat) yang mendakwa Kerajaan Negeri mengeluarkan surat arahan membekukan perkara itu pada 2009, 2011, 2012, dan 2014 dengan alasan sedang dalam proses menjalankan menstrukturkan semula pengambilan air.

Mereka mendakwa disebabkan pembekuan capex itu menyebabkan pembaikan paip tidak dapat dilaksanakan ekoran Kerajan Negeri tidak membantu Syabas dalam perkara itu.

Malah, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sememangnya tidak menyediakan Capex kepada Syabas.

Hal itu kerana modal Capex sepatutnya disediakan oleh Syabas sendiri atau pinjaman dari Kerajaan Pusat.

“Kalau Kerajaan Negeri menyediakan capex, jawapannya lebih baik saya buat. Bukan suruh Syabas buat, sebab dia ada komisyen untuk buat tersebut. Siapa yang bayar komisen tersebut? Sudah tentu rakyat Selangor,” katanya.

Jelas Abdul Khalid, berikutan kegagalan Syabas mengurangkan kadar NRW, satu kajian dibuat oleh audit negara mengenai penggunaan dana-dana ataupun capital yang dipinjamkan oleh Kerajaan Pusat kepada pemilik saham Syabas bagi tujuan pembangunan Syabas.

Namun, kajian itu mendapati bahawa sebahagian besar perbelanjaan awalnya adalah untuk memperbaiki satu pejabat dan membeli kereta baru. Jadi daripada situ kita nyatakan bahawa Syabas tidak fokus kepada pembetulan paip.

“Kedua, suka saya dapati, pembetulan paip-paip tidak dilakukan secara tender terbuka, kajian menunjukkan ia menyebabkan berlakunya undang-undang baru pada 2006. Pemilik saham Syabas dan Puncak Niaga termasuk pemilik saham utama, Tan Sri Rozali sangat berminat untuk menjadi ejen menyediakan paip air tersebut.

“Oleh kerana kerajaan audit menunjukan pinjaman yang dibuat kepada Syabas tak dibuat mengikut tatacara yang sepatutnya dan saya mencadangkan supaya perkara ini dibetulkan mengikut kelulusan undang-undang iaitu akta air yang mana penyusunan semula industri air dilakukan,” katanya.

Abdul Khalid menambah Syabas sebenarnya tidak memberi fokus kepada ‘water resources management’.

Sedangkan di bawah perjanjian konsesi yang ditandatangai oleh Syabas, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri terdapat sasaran untuk NRW disasarkan.

Antaranya pada tahun 2006, NRW dikurangkan kepada 37.78 peratus ; 2009 sebanyak 27 peratus ; 2012 kepada 19.98 peratus dan 2015 kepada 15.48 peratus.

“Seterusnya kepada targetnya kepada peringkat 15 peratus. Apa yang berlaku sekarang NRW yang dicapai oleh Syabas sehingga 0ktober 2012 ialah 32.68 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, jawapan daripada Menteri Besar itu, menimbulkan pertelingkahan antara kedua-dua Adun itu apabila Sulaiman bangun untuk mempertahankan Syabas.

“Saudara kena faham, saya nak beritahu?saudara tak boleh jadi wakil Syabas, jadi wakil rakyat lah. Jadi itu yang paling penting. Saudara tak boleh jadi wakil Syabas.

“Saya kata kalau syabas tak boleh buat, serah kepada Unit Perancangan Negeri (Upen),” kata Abdul Khalid.

Categories
SELANGOR

Selangor Terokai Penggunaan storm water Tingkatkan Sumber Air

SHAH ALAM, 19 NOV : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 100 juta bagi sistem tadahan ?Storm Water? atau air hujan di hiliran sungai sebagai sumber air bagi menggantikan projek mega pemindahan air dari Pahang.

Penadahan air hujan diharapkan dapat menampung air terawat yang hilang (NRW) sebanyak lebih 9,000 liter setiap hari akibat daripada sistem pengedaran air yang lemah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sistem storm water melibatkan beberapa komponen, antaranya penadahan air semasa hujan lebat di mana air yang mengalir ke sungai akan dipamkan dari muka sauk yang akan dibina di tepian sungai.

Selain itu, ujarnya, penakungan air juga dibuat sama ada melalui bekas-bekas lombong sedia ada atau kolam takungan yang dibina.

“Rawatan air boleh dibuat menggunakan teknik penurasan tebing sungai (River Bank Filtrations-RBF) dan seterusnya menggunapakai kaedah rawatan air konvensional bergantung pada kualiti air yang diperoleh daripada kolam takungan.

“Agihan air pula boleh dibuat menerusi sistem agihan sedia ada,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2013 di dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia untuk menerokai sistem itu di hiliran sungai terutama seperti Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih.

Katanya lagi, Kajian National Water Resources Study (NWRS) mendapati terdapat kuantiti air larian yang sangat besar iaitu 9,168 juta liter sehari dan perlu dimanfaatkan untuk dijadikan sumber bekalan air terawat.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri akan menunjukkan kepada Kerajaan Pusat bahawa Negeri Selangor mempunyai potensi untuk memanfaatkan penggunaan storm water di hiliran sungai sebagai sumber air terawat tanpa membiarkan ia terbuang begitu sahaja.

“Sebagai contoh, pada ketika musim hujan, Sungai Selangor mempunyai air hiliran hingga mencapai 21,000 juta liter sehari sedangkan penggunaan bagi seluruh Lembah Klang, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya pada masa ini hanyalah 7,832 juta liter sehari,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tetap Akan Guna Teknologi Membran

 

KUALA LUMPUR, 30 OKT : Kerajaan Selangor tetap akan membangunkan teknologi membran bagi meningkatkan penghasilan air terawat meskipun kerajaan pusat mahu meneruskan projek mega Loji Rawatan Air Langat 2.

Perkara ini ditegaskan sekali lagi oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegasnya, Selangor sebenarnya tidak berhadapan dengan krisis air dan pembinaan loji Langat 2 bukanlah satu keperluan yang perlu disegerakan.

Apa yang penting katanya, proses penstrukturan semula industri air perlu dilakukan segera bagi memastikan penduduk di Lembah Klang mendapat bekalan air terawat pada harga yang berpatutan.

“Kita tidak ada masalah kekurangan air mentah. Logiknya adalah air mentah cukup.

“Dari keluaran 4.8 juta liter sehari, kita dapati 33 peratus atau lebih 1.5 juta sehari air terawat tidak digunakan.

“Kalau kita selesaikan masalah air terawat, kita tidak memerlukan Loji Langat 2.

“Kerajaan persekutuan masih tidak menerima hakikat penyelesaian semula industri air adalah penstrukturan semula industri air di Selangor.

“Antara faktor adalah peratus air tidak berhasil (NRW) mesti dikurangkan sehingga 10-15 peratus kerana ianya termaktub dalam perjanjian dgn konsesi air pada tahun 2008,” katanya lagi.

Sebelum itu, pada sesi sidang Dewan Rakyat Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon, berkata kerajaan pusat berharap kerajaan Selangor akan memberikan peluang untuk Langat 2 dilaksanakan.

Kenyataan Noriah adalah jawapan kepada MP Rembau, Khairy Jamaluddin yang mengemukana soalan mengenai kuasa kerakaan pusat bagi membolehkan Langat 2 dilaksanakan di Selangor.

Selain itu, Abdul Khalid menyatakan, kos pembinaan Langat 2 lebih tinggi berbanding teknologi membran yang hanya memerlukan kos sebanyak RM 800 juta.

Ujarnya lagi, beliau akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi membincangkan perkara ini sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung pada 19 November ini.

“Oleh kerana jawapan Timbalan Menteri macam tidak percaya, saya bercadang untuk bertemu dengan TPM dan seluruh jawatankuasa untuk menerangkan teknologi dan cadangan kami.

“Kalau cadangan saya diterima pakar, saya akan buat penyusunan semula industri air.

“Saya boleh cuba masukkan program Langat 2 sebagai langkah jangka panjang dan bukannya jangka pendek,” jelasnya lagi.