Categories
SELANGOR

PADAT Minta Tambah Peruntukan

SHAH ALAM 20 NOV: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) meminta penambahan peruntukan tahunan dalam Belanjawan Negeri 2013 dalam usaha menjaga dan memartabatkan adat dan warisan di negeri ini.

Pengerusinya, Dr Shafie Abu Bakar berkata, pertambahan peruntukan diperlukan bagi meningkatkan usaha yang boleh dilakukan seperti menambah bilangan pekerja di muzium yang masih kekurangan pekerja dan melakukan proses memulihara beberapa tempat bersejarah yang diuruskan Padat.

Katanya, peruntukan itu boleh juga digunakan bagi meningkatkan kualiti muzium, menambahkan bahan sejarah di dalam muzium tersebut serta menggiatkan kegiatan yang boleh diadakan dari semasa ke semasa.

“Kita seharusnya menyedari kepentingan nilai muzium, adat budaya kita dan pemikiran kita supaya ianya sentiasa menjadi suatu warisan yang boleh dibanggakan,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2013 di Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini.

Sehingga kini, Padat yang sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Muzium Selangor menguruskan lebih 10 buah muzium dan tempat bersejarah di negeri ini sejak ditubuhkan pada tahun 2009.

Dr Shafie berkata, Padat hanya menerima peruntukan tahunan melalui geran daripada Kerajaan Pusat berjumlah RM8 juta dan RM3 juta daripada Kerajaan Negeri bagi perbelanjaan mengurus.

“Perbelanjaan yang diperlukan Padat tidak mencukupi kerana kekurangan peruntukan bagi perbelanjaan mengurus muzium dan tempat-tempat bersejarah di negeri ini,” katanya yang juga Adun Bangi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.