Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sidang kemuncak perniagaan Selangor catat transaksi RM1.13 bilion

SHAH ALAM, 30 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) merekodkan nilai transaksi mencecah RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjurannya, kata EXCO pelaburan.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim sejak dianjurkan pada 2015, SIBS menyediakan 2,951 tapak pameran buat peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.

“SIBS berjaya menyediakan satu platform perbincangan dan perkongsian maklumat kepada usahawan PKS agar dapat bersaing di pasaran antarabangsa.

“Ia juga menjadi medan pertemuan antara peserta PKS dengan rakan dan pembeli perdagangan dari dalam dan luar negara,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Air Tawar Dato’ Rizam Ismail berhubung perkembangan SIBS.

Chang Khim berkata sidang kemuncak yang selesai dianjur secara fizikal pada 18 hingga 21 November lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyediakan 472 tapak pameran dengan 25,000 pengunjung.

Menurutnya, sidang tersebut turut diteruskan di portal perdagangan rasmi Selangor www.selangorbusinesshub.my selama setahun.

“Sidang ini kejayaan bagi Kerajaan Negeri dalam melonjakkan Selangor di persada antarabangsa. SIBS satu inisiatif dalam penjenamaan negeri sebagai hab perdagangan dunia serta gerbang bagi rantau asia tenggara.

“Justeru, kita akan meneruskan acara ini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor anjur pameran kerjaya, tawar 24,500 pekerjaan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Selangor bakal menganjurkan pameran kerjaya yang menawarkan 24,500 peluang pekerjaan dalam tempoh terdekat, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pemohon perlu mengisi borang menerusi laman web Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum dipilih menghadiri program tersebut serta ditemu duga di lokasi terpilih yang ditentukan kemudian.

“Kerjasama Kerajaan Negeri dengan Perkeso adalah antara usaha mengatasi isu pembuangan kerja selepas banyak sektor perniagaan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tatacara operasi piawai (SOP) lokasi pameran kerjaya di peringkat akhir penelitian. Kita cadangkan penganjuran di daerah atau di kawasan luas bagi memastikan penjarakan sosial,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 16 Jun, Mohd Khairuddin berkata kadar pengangguran di Selangor dijangka berada pada tahap 3.7 peratus tahun ini.

Pada Januari tahun ini Kerajaan Negeri meletak sasaran untuk menurunkan kadar pengangguran kepada 2.5 peratus. Kadar pengangguran di Selangor pada 2016 ialah 3.2 peratus sebelum turun kepada 2.8 peratus pada 2017, 2018 dan 2019.

Categories
SELANGOR

Selangor terima kunjungan 660,081 pelancong

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 NOV: Selangor menerima 660,081 pelancong dalam dan luar negara setakat Jun 2016, kata Exco Pelancongan, Elizabeth Wong.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar berkata, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sama pada 2015 dengan 516,001 pelancong.

Katanya, lima negara teratas adalah Singapura dengan 75, 200 pelancong, Indonesia (40,431), China (40,290), India (21,410) dan Thailand (18,360).

“Terdapat beberapa tema pelancongan semakin mendapat perhatian seperti pelancongan eko dan alam semulajadi, perniagaan (MICE – Meeting Incentive, Conference & Exhibition), kesihatan, taman tema dan agro serta homestay.

“Antara produk terbaru pelancongan Selangor termasuk Bangi Wonderland, Nickelodeon Lost Lagoon, Sky Mirror Pulau Angsa, District 21 dan 3D Art Museum,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berhubung perkembangan terkini industri pelancongan Selangor.

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri turut mengatur pelan strategik Promosi Pelancongan Tourism Selangor untuk tempoh lima tahun bermula 2016 hingga 2020.

“Kita akan melaksanakan penjenamaan kempen, meningkatkan permintaan dari China, India dan pasaran baru menerusi siri promosi, membina kapasiti digital, menggalakkan pelaburan dan perniagaan pelancongan serta pelbagai acara pelancongan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Hasnul Janji Selesai Masalah Terminal Teksi Kuala Langat

hasnul adun morib hentian teksi 01

BANTING 23 MEI : Pengusaha teksi di Terminal teksi Kuala Langat boleh menarik nafas lega apabila Adun Morib, Hasnul Baharuddin berusaha membantu menyelesaikan masalah kekurangan penumpang sejak sejak lima tahun lalu.

Kekurangan pelanggan ini ekoran kedudukan terminal yang agak terlindung dan jauh daripada hentian bas yang menurunkan penumpang.

Situasi ini mengundang kepada berleluasanya aktiviti kereta sapu yang mengambil penumpang sewenang-wenangnya.

Menurut Hasnul, beliau akan membawa perkara ini untuk dibincangkan ketika sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) supaya satu tindakan khusus dapat diambil pada kadar segera.

Jelasnya, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengambil semula tanah berkenaan daripada pemaju swasta, Ehsan Istimewa Sdn Bhd untuk dibangunkan semula.

“Kalau boleh, Kerajaan Negeri ambil semula tanah ini kerana pemaju ternyata gagal memenuhi janji yang akhirnya membebankan pengusaha teksi dan penduduk secara amnya,” ujarnya.

Sebelum ini, mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo menyerahkan tanah yang berkeluasan tiga ekar itu kepada syarikat swasta yang didakwa kroninya untuk dibangunkan.

Bagaimanapun, pemaju hanya membina sebuah bazar, beberapa buah kedai dan gerai namun tidak mengalihkan terminal teksi itu jauh daripada terminal bas berhampiran.

Dalam pada itu, wakil pengusaha Persatuan Teksi Kuala Langat, Anwar Sidek, 34, berkata, beliau dan pengusaha teksi lain sudah mengadakan beberapa sesi dialog bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta agensi lain namun tiada tindakan sehingga kini.

“Kalau dahulu, ahli persatuan kami 80 orang, tetapi kini hanya tinggal 50 orang kerana ramai yang tak dapat cari makan kerana masalah ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Bina Dua Masjid Setiap Daerah Setiap Tahun

SHAH ALAM 23 NOV : Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat pembangunan umat Islam dengan memperuntukkan dana pembinaan dua buah masjid di setiap daerah pada setiap tahun.

Menjawab di Sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) pagi tadi, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembinaan masjid-masjid tersebut bagaimanapun ditentukan oleh pihak pejabat daerah.

“Ia ditentukan berdasarkan keperluan dan keutamaan dan bukan berdasarkan kaedah melobi seperti amalan dahulu.

“Jadi, sekurang-kurangnya sudah 18 buah masjid dibina sehingga kini,” jelas beliau yang juga Adun Ijok.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, terdapat satu kelemahan perlaksanaan pembinaan masjid-masjid tersebut iaitu kelewatan memanggil tender.

“Kelulusan kita sudah bagi namun kelewatan ini menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan segera.

“Kita akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan dan mengeluarkan arahan tertentu mengatasi masalah ini,” ujarnya lagi menjawab soalan lisan daripada Adun Morib, Hasiman Sidom.

Mengulas kelewatan pembinaan Masjid Kampung Sungai Buaya, Abdul Khalid berkata jawapan berbeza diperolehi daripada pihak-pihak terbabit.

“Antaranya saya dimaklumkan pembinaan tersebut tidak termasuk dalam perancangan ke-10.

“Sebaliknya, ia akan dimasukkan ke dalam perancangan ke-11,” jelasnya.

Categories
NASIONAL

Elizabeth: Hutan Simpan Di Selangor Selamat

SHAH ALAM, 22 NOV : Bekas pemimpin Umno-BN didakwa memiliki tanah yang terdapat di Hutan Tampler.

Perkara ini didedahkan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong di mana terdapat nama-nama pemimpin Umno terlibat sudah dikenalpasti memiliki tanah di kawsan berkenaan.

“Saya terkejut banyak orang ternama dalam senarai pemilik banglo itu, antaranya bekas menteri, bekas Ahli Parlimen Gombak, bekas Adun Gombak Setia, bekas Adun Sungai Burong, bekas Adun Rawang dan lain-lain. Inilah antara orang-orang yang mengambil tanah di situ untuk membina rumah mewah,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini.

Isu ini timbul apabila pembangkang Umno-BN mendakwa Pakatan Rakyat (PR) Selangor membenarkan penebangan Hutan Simpan Taman Templer dibuat secara berleluasa bagi membina persimpangan bertingkat dan banglo mewah.

Akhbar The Star sebelum ini melaporkan kononnya Kerajaan Negeri meneroka Hutan Simpan Berkenaan dengan memaparkan gambar yang salah dan cuba mengelirukan pembaca.

Sebaliknya tegas Elizabeth, kawasan hutan rizab di Taman Templer itu diberi milik oleh Kerajaan Umno-BN pada 1987 kepada syarikat SAP Leisure and Resort Sdn Bhd.

Menurutnya, tanah seluas 454 ekar itu diberi kepada syarikat terbabit untuk dibangunkan sebagai Perangsang Templer Golf and Country Club (PTGC).

“Pada 2 Ogos 1990, majlis pecah tanah PTGC dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, kemudian pada 13 Disember 1992, 18 lubang golf dibuka dan akhirnya dirasmikan (kelab golf) oleh DYMM Sultan Selangor pada 4 November 1995.

“Plan ini diluluskan oleh Exco Kerajaan Negeri pada 17 Julai 1991. Ini cerita 20 tahun lalu, malah Taman Templer bukan lagi hutan simpan. Adakah Umno-BN cuba mengaburkan mata rakyat dengan mengatakan Kerajaan PR Selangor merampas hutan simpan? Kita tidak pernah berbuat demikian.

“Bagaimanapun, Hutan Simpan Templer seluas 853.30 hektar masih kekal dan tidak pernah disentuh sejak 2008, malah Kerajaan Negeri bertegas untuk tidak memberi hak milik kepada mana-mana pemaju bagi tujuan pembangunan perumahan,” katanya.

Laporan akhar The Star baru-baru ini mendakwa Kerajaan Negeri bertanggungjawab menghancurkan Hutan Simpan Taman Templer dengan pembinaan lebuh raya bertingkat, Rawang setinggi 60 meter dan 60 buah banglo mewah.

Dakwa akhbar itu lagi, projek itu bertentangan dengan tekad Kerajaan Negeri untuk menghentikan pembalakan di kawasan hutan simpan dan mengadakan rundingan sebelum melakukan apa-apa pembangunan di kawasan hijau.

“Bermula tahun 2008 hingga kini, Kerajaan Negeri tidak pernah memberi hutan simpan kepada sesiapa. Malah keluasan hutan simpan meningkat satu peratus di bawah PR,” katanya lagi.

 

Categories
NASIONAL

Kebijaksanaan Kerajaan Negeri Selamatkan PKNS Tanggung Subsidi Bukit Botak

SHAH ALAM 21 NOV : Kebijaksanaan Kerajaan Negeri membangunkan kembali projek perumahan terbengkalai di Bukit Botak bukan sahaja berjaya membela nasib lebih 700 keluarga malah berjaya mengurangkan jumlah subsidi yang terpaksa ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali ketika perbahasan belanjawan di Sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) berkata di bawah pemerintahan Umno-BN sebelum ini, PKNS terpaksa menanggung subsidi sehingga RM140 juta.

Pada tahun 2005, Umno-BN yang mengambilalih projek daripada swasta mengarahkan PKNS terlibat menyelesaikan projek tersebut dengan nilai jualan seunit pada kadar RM42, 000.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak membuat penilaian semasa di samping meningkatkan nilai hartanah perumahan tersebut sebanyak 52 peratus.

Hasilnya jumlah subsidi ditanggnung PKNS susut kepada RM80 juta bagi 1,422 unit rumah.

Projek Perumahan Bukit Botak yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember nanti dijual dengan kadar RM 99, 000 seunit walaupun nilai pasarannya adalah RM250, 000.

“Dengan skim baru ini, PKNS tidak perlu menanggung jumlah subsidi terlalu tinggi namun masih juga mampu menyiapkan projek perumahan tersebut.

“Pembeli juga sedar mereka mampu memperoleh keuntungan berganda andai rumah ini dijual semula,” jelas Azmin.

Pada April lalu, seramai 707 peneroka bandar yang dijanjikan tanah di dalam skim penempatan semula Bukit Botak oleh Kerajaan Selangor Umno-BN hampir 30 tahun lalu mengambil bahagian dalam cabutan untuk menentukan nombor rumah mereka.

 

Categories
SELANGOR

Chua Tee Yong Disaran Buka Kertas Putih Audit NFC

SHAH ALAM, 21 NOV: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 2, Datuk Seri Chua Yong disaran agar membuka kertas putih dalam isu National Feedlot Corporation NFC yang melibatkan kementeriannya.

Saranan tersebut dibuat oleh Adun Rawang, Gan Pei Nei apabila beliau mencelah ketika Adun Teratai, Lee Ying Ha sedang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 hari ini.

“Datuk Chua patutnya tidak menyibuk isu Talam (Corporation) sebab dia pun tak berani buka kertas putih isu NFC, saya minta dia buka kertas putih NFC,” kata Pei Nei.

Sebelum itu, Adun BN sekali lagi cuba menimbulkan isu Talam di Dewan Negeri Selangor(DNS) meskipun Kerajaan Negeri membentangkan Kertas Putih isu terbabit.

Dalam Kertas Putih tersebut, turut dijelaskan segala langkah Kerajaan Negeri untuk mengutip hutang lapuk Talam yang diabaikan Kerajaan Negeri ketika di bawah era BN sebelum ini.

Selain itu turut dikepilkan dalam laporan kertas putih tersebut termasuklah laporan (firma) juruaudit KMPG.

 

Categories
SELANGOR

PADAT Minta Tambah Peruntukan

SHAH ALAM 20 NOV: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) meminta penambahan peruntukan tahunan dalam Belanjawan Negeri 2013 dalam usaha menjaga dan memartabatkan adat dan warisan di negeri ini.

Pengerusinya, Dr Shafie Abu Bakar berkata, pertambahan peruntukan diperlukan bagi meningkatkan usaha yang boleh dilakukan seperti menambah bilangan pekerja di muzium yang masih kekurangan pekerja dan melakukan proses memulihara beberapa tempat bersejarah yang diuruskan Padat.

Katanya, peruntukan itu boleh juga digunakan bagi meningkatkan kualiti muzium, menambahkan bahan sejarah di dalam muzium tersebut serta menggiatkan kegiatan yang boleh diadakan dari semasa ke semasa.

“Kita seharusnya menyedari kepentingan nilai muzium, adat budaya kita dan pemikiran kita supaya ianya sentiasa menjadi suatu warisan yang boleh dibanggakan,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2013 di Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini.

Sehingga kini, Padat yang sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Muzium Selangor menguruskan lebih 10 buah muzium dan tempat bersejarah di negeri ini sejak ditubuhkan pada tahun 2009.

Dr Shafie berkata, Padat hanya menerima peruntukan tahunan melalui geran daripada Kerajaan Pusat berjumlah RM8 juta dan RM3 juta daripada Kerajaan Negeri bagi perbelanjaan mengurus.

“Perbelanjaan yang diperlukan Padat tidak mencukupi kerana kekurangan peruntukan bagi perbelanjaan mengurus muzium dan tempat-tempat bersejarah di negeri ini,” katanya yang juga Adun Bangi.