Peniaga : Pindah Aset Jadikan PKNS Berdaya Saing

SHAH ALAM, 27 NOV : Tindakan pindah milik lima aset komersil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada anak syarikat milik penuh PKNS, Private Real Estate Company (PREC) dipersetujui pihak PKNS dan Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam.

Dalam satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Ketua Unit, Pelaburan & Pengurusan Hartanah, Bahagian Korporat PKNS, Fakru Razi Ab Ghani dan Presiden Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam, Amran Yahya menyatakan pemindahan milikan lima aset ini memberikan penekanan kepada meningkatkan tahap daya saing Kompleks PKNS Shah Alam dan bangunan-bangunan yang lain.

“Dengan kualiti bangunan ditingkatkan, Kompleks PKNS Shah Alam akan dapat menarik lebih ramai pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat untuk membeli-belah di kompleks ini dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada prestasi jualan peniaga-peniaga kompleks,” katanya.

Dengan cara ini juga, PKNS dan PREC akan menjalankan kerja-kerja penambahbaikan dan menaiktaraf kemudahan Kompleks PKNS Shah Alam untuk kepentingan peniaga dan pengunjung kompleks.

Sementara itu, Amran memperakui komitmen PKNS menerusi program-program pembangunan usahawan dan subsidi kepada para peniaga Melayu dan Bumiputra yang layak di Kompleks PKNS dan di seluruh Negeri Selangor.

“PKNS menerusi PREC akan merancakkan aktiviti-aktiviti promosi menerusi pelbagai program bagi menarik orang awam membeli belah di Kompleks PKNS. Ini dapat membantu meningkatkan pendapatan peniaga di kompleks yang majoritinya adalah peniaga Melayu dan Bumiputra.

“Persatuan dan PKNS akan mempergiatkan kerja usahasama untuk meningkatkan daya saing Kompleks PKNS Shah Alam untuk faedah bersama dan juga untuk memberi keselesaan dan memenuhi keperluan masyarakat sekeliling Shah Alam yang berkunjung ke Kompleks PKNS,” katanya.

PREC merupakan anak syarikat milik penuh PKNS yang khusus dalam pengurusan dan pelaburan hartanah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.