Pondok Polis Bantu Tingkat Keselamatan Kawasan Perindustrian

KLANG, 4 DIS: Kerajaan Selangor melalui Selangor State Investment Center Berhad (SSIC) menyerahkan Pondok Polis Kawasan Perindustrian Bukit Raja Klang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Ia adalah usaha meningkatkan keyakinan dan keselamatan para pelabur dan pekilang dalam negara dan antarabangsa untuk terus menanam modal dan menyumbang aktiviti ekonomi di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, Pondok Polis yang berharga RM150,000 itu adalah sebagai langkah mengurangkan jenayah khususnya di kawasan perindustrian di negeri Selangor.

“Dengan usaha ini maka lebih ramai lagi para pelabur akan datang ke Negeri Selangor dengan adanya jaminan keselamatan yang disediakan polis dan Kerajaan Negeri,” kata Khusrin semasa sidang media.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Pondok Polis Kawasan Perindustrian Bukit Raja Klang oleh Kerajaan Selangor kepada polis.

Tambah beliau, jumlah pelaburan di kawasan Perindustrian Bukit Raja di sini setakat Ogos 2012 adalah RM384 juta yang memberi sumbangan penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru, langkah keselamatan perlu dipertingkatkan di kawasan itu yang juga memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Selangor membantu polis menangani masalah jenayah di kawasan perindustrian.

“Sebahagian kos pembinaan pondok ini dibiayai oleh pekilang-pekilang dan saya ucapkan terima kasih kepada yang menyumbang,” katanya.

Pondok Polis yang pertama dibina di kawasan perindustrian di Selangor itu akan beroperasi 24 jam sehari bertujuan untuk memudahkan para pekilang berhubung terus kepada polis.

 

Replika kunci Pondok Polis itu diserahkan oleh Khusrin mewakili Kerajaan Selangor kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Seramai enam anggota polis akan ditugaskan di Pondok Polis itu yang terletak di hadapan Kilang Nestle Products Sdn Bhd dengan dilengkapi Sistem Laporan Polis (PRS) bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.

Cadangan pembinaan pondok itu diutarakan pihak pekilang ekoran telah beberapa kali berlaku masalah pecah kilang dan rampasan kontena yang melibatkan kerugian jutaan ringgit yang mengganggu operasi kilang.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.