Suruhanjaya Penyiasatan Bebas Siasat Salahlaku Menteri KDN

SHAH ALAM, 4 DIS : Suruhanjaya Penyiasatan Bebas perlu diwujud segera untuk menyiasat dakwaan terhadap campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein terhadap pasukan polis.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, isu itu merupakan kejadian serius yang memerlukan tindakan segera.

Ia dibongkarkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan untuk membongkar segala kemungkinan penyelewangan dan salah laku yang berlaku.

Beliau berharap agar polis bertindak menjaga rakyat mengikut arus perundangan bukan menjaga parti politik serta mengikut arahan mereka semata-mata.

“Pendedahan tersebut tidak boleh dianggap satu pengkhianatan oleh bekas ketua polis itu tetapi maklumat yang wajar didedahkan dan disiasat dengan segera kerana ia melibatkan persoalan integriti Pasukan Polis Malaysia,” kata Nasrudin dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, tindakan Hishamuddin itu bertentangan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967) yang membenarkan hanya Ketua Polis Negara sahaja yang boleh memberi arahan kepada pegawai bawahannya.

“Pemuda PAS juga mendesak agar Hishammuddin bercuti sehingga siasatan yang di buat selesai.

“Hishammuddin perlu bersikap ‘gentleman’ dan mengikut jejak langkah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan mengambil cuti ekoran skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.