Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas siasatan fitnah ketua pengarah bomba, bekas KPN dibuka

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis membuka satu kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang mendakwa Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid serta bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan terlibat dalam jenayah tipu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata ini susulan laporan polis dibuat Musa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada tengah hari semalam, serta Mohammad Hamdan di IPD Putrajaya pada hari sama yang mendakwa mereka difitnah individu berkenaan.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan Internet atau telefon untuk menyebar berita palsu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali juga mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada Mohammad Hamdan dan kes tersebut diserahkan kepada IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Tular dalam media sosial dua video masing-masing berdurasi kira-kira tiga dan empat minit memaparkan seorang lelaki mendakwa Musa dan Mohammad Hamdan terlibat kes penipuan termasuk skim cepat kaya.

Dalam pada itu, Musa dalam satu kenyataan berkata beliau membuat laporan itu kerana tuduhan berkenaan berniat jahat untuk menjatuhkan maruah beliau dan Mohammad Hamdan.

“Saya juga telah sertakan beberapa bahan bukti yang membuktikan tuduhan jahat ke atas diri saya adalah tidak benar dan berniat jahat untuk tindakan lanjut pihak polis,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Arab Spring: Musa Dangkal, Tidak bertanggungjawab – Teras

Cikgu-Azmi

SHAH ALAM 12 FEB : Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang membuat spekulasi bahawa haru-hara seperti Arab Spring akan berlaku apabila ada pihak yang kalah dalam pilihan raya nanti.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Musa harus lebih khuatir keselamatan negara yang ditadbir oleh pemimpin rasuah yang terlibat dengan jenayah, salahguna kuasa, pelindung jenayah dan menyalahgunakan kewangan negara .

“Kami kesal kenyataan seperti ini boleh keluar dari seorang yang sepatutnya lebih tahu implikasi dari spekulasi yang tidak bertanggungjawab dan merbahaya ini.

“Malah ini petanda negara akan memboleh pihak berkuasa bertindak hanya dengan kenyataan bersifat spekulasi semata-mata,” kata Azmi dalam kenyataan medianya.

Ujar beliau, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan berlaku Arab Spring kerana berpendapat bahawa rakyat sudah matang.

“Ternyata Musa sebagai orang yang telah lama tahu mengenai keselamatan dalam negeri hanya membuat spekulasi dangkal.

“Pada hakikatnya yang berlaku ialah betapa pihak pembangkanglah yang sering ditekan dan diperlakukan secara paling tidak demokratik dalam pilihanraya, namun masih tidak ada peristiwa ketegangan berlaku yang beliau katakan itu,” katanya.

Suruhanjaya Penyiasatan Bebas Siasat Salahlaku Menteri KDN

SHAH ALAM, 4 DIS : Suruhanjaya Penyiasatan Bebas perlu diwujud segera untuk menyiasat dakwaan terhadap campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein terhadap pasukan polis.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, isu itu merupakan kejadian serius yang memerlukan tindakan segera.

Ia dibongkarkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan untuk membongkar segala kemungkinan penyelewangan dan salah laku yang berlaku.

Beliau berharap agar polis bertindak menjaga rakyat mengikut arus perundangan bukan menjaga parti politik serta mengikut arahan mereka semata-mata.

“Pendedahan tersebut tidak boleh dianggap satu pengkhianatan oleh bekas ketua polis itu tetapi maklumat yang wajar didedahkan dan disiasat dengan segera kerana ia melibatkan persoalan integriti Pasukan Polis Malaysia,” kata Nasrudin dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, tindakan Hishamuddin itu bertentangan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967) yang membenarkan hanya Ketua Polis Negara sahaja yang boleh memberi arahan kepada pegawai bawahannya.

“Pemuda PAS juga mendesak agar Hishammuddin bercuti sehingga siasatan yang di buat selesai.

“Hishammuddin perlu bersikap ‘gentleman’ dan mengikut jejak langkah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan mengambil cuti ekoran skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC),” katanya.

Fenomena Pegawai Kerajaan Sertai PAS Buat Umno-BN Gerun

SHAH ALAM, 16 JULAI: Fenomena kemasukkan ramai bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS pada masa kini menggerunkan Umno-BN.

Tindakan tersebut juga membuktikan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk menakluki Putrajaya.

Demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramahnya dalam Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor, di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

“Bekas orang nombor tiga dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari sudah pun menyertai PAS, jadi ahli seumur hidup dan saya juga nampak bekas Ketua Polis, Tan Sri Musa Hassan sedang mengintai-intai untuk bersama kita.

“Hari ini Tan Sri Musa dah kata perangkaan jenayah yang dikeluarkan oleh PDRM tak boleh dipercayai sebenarnya jenayah meningkat dengan dahsyat,” katanya yang popular dengan panggilan Mat Sabu.

Dalam perhimpunan yang dihadiri kira-kira lebih 6,000 hadirin itu, tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan turut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS.

Mereka adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik(PTD) selama 33 tahun yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang, Abd Rahman Taib.

Manakala seorang lagi adalah bekas Pengarah Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Yusuf Hassan.

Menurut Yusuf, kemasukan golongan pesara kerajaan dalam PAS akan dapat membantu parti itu mengurus tadbir kerajaan apabila PR memenangi pilihan raya kelak.

“Saudara semua jangan takut kerana kita menyediakan pakar-pakar dari dalam kerajaan dari pelbagai bidang untuk membantu saudara-saudari semua mengurus tadbir negara ini dengan baik.

“Pengalaman yang kami ada, akan kami curahkan untuk membantu rakyat dan menjadi negara yang paling baik,” ujar beliau.