Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: 49 Saksi Beri Keterangan Kepada Suhakam

suhakam_1

SHAH ALAM, 11 JAN: Sejumlah 49 saksi termasuk 19 orang awam, empat anggota media, 18 anggota polis dan lapan pakar profesional dipanggil memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung Siasatan Awam ke atas kejadian semasa dan selepas Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April tahun lalu.

Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee menjelaskan, kebanyakan orang awam dan media hadir atas kehendak sendiri manakala anggota polis dipanggil berdasarkan senarai nama yang  diserahkan oleh Polis Diraja Malaysia atau keterangan saksi semasa pendengaran awam.

“Pendengaran pada hari ini, tiga pemerhati mewakili Polis Diraja Malaysia, Majlis Peguam dan Perhimpunan Bersih 3.0, dijemput membuat penghujahan mereka kepada Panel untuk dipertimbangkan.

“Panel akan menimbang semua keterangan dan penghujahan dalam penyediaan laporan yang dijangka siap dan dikemukakan awal Februari,” katanya dalam satu kenyataan media kepada TV Selangor.

Pendengaran selama 29 hari bermula 5 Julai tahun lalu menyaksikan mereka memberikan keterangan di hadapan tiga anggota Panel Siasatan yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Suhakam mula mengumumkan siasatan awam pada 21 Mei lalu susulan daripada aduan dan memorandum yang diterima atas dakwaan penggunaan tenaga yang tidak seimbang oleh pegawai penguatkuasa ke arah peserta dan anggota media semasa dan selepas perhimpunan awam 28 April.

Selain itu, Suhakam juga menurunkan pasukan pemantau semasa perhimpunan tersebut.

Ini adalah siasatan awam kali ke sembilan yang dijalankan oleh Suruhanjaya sejak penubuhannya, di mana separuh daripada jumlah yang dijalankan berikutan aduan dan memorandum mengenai penyalahgunaan kuasa dan penggunaan kekerasan yang tidak seimbang dalam menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan awam.

“Dalam melaksanakan perlindungan dan promosi hak asasi manusia, Suhakam mempunyai kuasa untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia dan sekiranya mewajarkan sebuah siasatan diadakan, Suruhanjaya, di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), mempunyai kuasa untuk memperoleh dan menerima semua keterangan dan memanggil mana-mana orang untuk memberikan keterangan.

“Suhakam ingin menegaskan bahawa kuasa untuk menjalankan siasatan awam terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia ini berasal dari Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

“Dalam menjalankan siasatan ini, Suhakam menunaikan kewajipan sebagai badan berkanun dan tanggungjawabnya untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia di negara ini seperti yang dimandatkan oleh Akta 597,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.