Categories
NASIONAL

Tiada Perubahan : Stadium Merdeka Tetap Jadi Tapak HKR112

HKR Grafik

SHAH ALAM, 11 JAN : Stadium Merdeka tetap akan menjadi tapak Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 (HKR112) pada esok walaupun semalam pihak polis mencadangkan agar himpunan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil.

Pengerusi penganjur, Mohamad Sabu ketika dihubungi pada pagi ini berharap orang ramai daripada seluruh negara dapat hadir pada masa yang ditetapkan dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan pihak penganjur dari masa ke semasa.

“Kerjasama pihak polis…ok…,kita sudah membuat persiapan di Stadium Merdeka.

“Orang kita banyak datang dengan menggunakan pengangkutan awam dan Stadium Merdeka itu kedudukannya adalah dekat,” kata beliau.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang provokasi terhadap kelancaran himpunan itu dan berharap ia berterusan agar ia berjalan baik seperti yang dijadualkan.

“Harapan saya datanglah ke himpunan beramai-ramai yang akan berjalan dalam keadaan aman dan bersurai pada pukul 5 petang juga dalam keadaan aman, jadi semua jangan ada ketakutan.

“Tahap keselamatan akan diberikan daripada Unit Amal PAS, sukarelawan AMK dan DAPSY dan juga polis yang pada kali ini akan bergabung memberikan kawalan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh menyarankan penganjur HKR112 supaya menyemak semula hasrat mereka untuk menggunakan Stadium Merdeka.

Polis mencadangkan penganjur menggunakan Stadium Bukit Jalil memandangkan ia mampu menampung kapasiti yang lebih besar dengan kemudahan pengangkutan awam yang lengkap termasuk LRT dan memenuhi keperluan aspek keselamatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.