Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga pekerja swasta jual vaksin Covid-19 ditahan polis

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Polis menahan tiga warga tempatan di sekitar Putrajaya dan Brickfields, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan vaksin Covid-19 menerusi panggilan telefon secara rawak, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mereka yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berumur antara 23 dan 50 tahun itu, ditahan hasil siasatan polis berikutan laporan polis oleh seorang Pegawai Penyelidik Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), berhubung perkara itu.

Beliau berkata kesemua mereka yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta, didapati menawarkan serta menjual vaksin Covid-19 dan akan membuat panggilan telefon kepada orang awam.

“Mereka kemudian mengenakan harga sebanyak RM420 bagi dua dos vaksin yang akan disuntik. Bayaran bagaimanapun akan dibuat selepas pelanggan selesai menerima kedua-dua dos suntikan.

“Hasil serbuan di kediaman suspek, polis merampas enam telefon bimbit selain beberapa dokumen berkaitan kegiatan itu, dan kesemua mereka direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata, pengesahan turut dibuat oleh Ketua Sekretariat CITF Persekutuan bahawa, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 tidak memberi kelulusan mana-mana pihak untuk menjual vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis pantau keselamatan ibu kota

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata polis akan terus memantau dan bersiap sedia, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di sekitar ibu negara terus terjamin, susulan senario politik semasa dan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Orang ramai dinasihati supaya menghormati undang-undang dan proses demokrasi di negara ini.

“Pihak polis juga mengharapkan kerjasama yang berterusan dari penyokong parti-parti politik dan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi, mencetuskan provokasi serta menyebarkan berita atau maklumat tidak benar terutamanya berkaitan sensitiviti perkauman mahu pun agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta kehormanian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu ketenteraman awam.

Tun Mahathir semalam meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Tun Mahathir telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut kenyataan Ketua Setiausaha Negara semalam Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis teliti cctv kondo simpan beg ‘Birkin’ Rosmah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Polis sedang menjalankan siasatan rapi dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium yang dipercayai menyimpan beg berjenama mewah dipercayai milik isteri bekas Perdana Menteri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci dakwaan itu selepas menerima laporan daripada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tengah hari, semalam.

Bagaimanapun pihaknya menafikan laporan beberapa portal berita yang mendakwa pasukan polis sudahpun menyerbu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan, petang semalam.

“Pihak polis telah ke lokasi kejadian dan bukannya melakukan serbuan,” katanya dipetik laporan Bernama.

Mazlan berkata pihaknya juga telah merakam keterangan beberapa anggota polis bantuan di apartmen itu bagi membantu siasatan mengenai dakwaan terdapat maklumat dan rakaman video menunjukkan kira-kira 50 tas tangan Birkin dipindahkan daripada sebuah van ke beberapa unit apartmen itu.

Terdahulu, Pemuda PPBM mengutuk cubaan menyembunyikan beg tangan berjenama milik isteri bekas pemimpin negara.

Exco Pemuda PPBM Nasional, Ben Ali berkata, pihaknya menerima maklumat dan rakaman video menunjukkan lebih 50 beg tangan jenama ‘Birkin’ sedang dipindahkan secara rahsia daripada sebuah van milik Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke kondominium di Kuala Lumpur.

Katanya, dipercayai setiap satu beg berkenaan dianggarkan bernilai RM200,000.

Categories
NASIONAL

Tiada Perubahan : Stadium Merdeka Tetap Jadi Tapak HKR112

HKR Grafik

SHAH ALAM, 11 JAN : Stadium Merdeka tetap akan menjadi tapak Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 (HKR112) pada esok walaupun semalam pihak polis mencadangkan agar himpunan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil.

Pengerusi penganjur, Mohamad Sabu ketika dihubungi pada pagi ini berharap orang ramai daripada seluruh negara dapat hadir pada masa yang ditetapkan dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan pihak penganjur dari masa ke semasa.

“Kerjasama pihak polis…ok…,kita sudah membuat persiapan di Stadium Merdeka.

“Orang kita banyak datang dengan menggunakan pengangkutan awam dan Stadium Merdeka itu kedudukannya adalah dekat,” kata beliau.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang provokasi terhadap kelancaran himpunan itu dan berharap ia berterusan agar ia berjalan baik seperti yang dijadualkan.

“Harapan saya datanglah ke himpunan beramai-ramai yang akan berjalan dalam keadaan aman dan bersurai pada pukul 5 petang juga dalam keadaan aman, jadi semua jangan ada ketakutan.

“Tahap keselamatan akan diberikan daripada Unit Amal PAS, sukarelawan AMK dan DAPSY dan juga polis yang pada kali ini akan bergabung memberikan kawalan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh menyarankan penganjur HKR112 supaya menyemak semula hasrat mereka untuk menggunakan Stadium Merdeka.

Polis mencadangkan penganjur menggunakan Stadium Bukit Jalil memandangkan ia mampu menampung kapasiti yang lebih besar dengan kemudahan pengangkutan awam yang lengkap termasuk LRT dan memenuhi keperluan aspek keselamatan.