Categories
NASIONAL

Tiada Perubahan : Stadium Merdeka Tetap Jadi Tapak HKR112

HKR Grafik

SHAH ALAM, 11 JAN : Stadium Merdeka tetap akan menjadi tapak Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 (HKR112) pada esok walaupun semalam pihak polis mencadangkan agar himpunan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil.

Pengerusi penganjur, Mohamad Sabu ketika dihubungi pada pagi ini berharap orang ramai daripada seluruh negara dapat hadir pada masa yang ditetapkan dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan pihak penganjur dari masa ke semasa.

“Kerjasama pihak polis…ok…,kita sudah membuat persiapan di Stadium Merdeka.

“Orang kita banyak datang dengan menggunakan pengangkutan awam dan Stadium Merdeka itu kedudukannya adalah dekat,” kata beliau.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang provokasi terhadap kelancaran himpunan itu dan berharap ia berterusan agar ia berjalan baik seperti yang dijadualkan.

“Harapan saya datanglah ke himpunan beramai-ramai yang akan berjalan dalam keadaan aman dan bersurai pada pukul 5 petang juga dalam keadaan aman, jadi semua jangan ada ketakutan.

“Tahap keselamatan akan diberikan daripada Unit Amal PAS, sukarelawan AMK dan DAPSY dan juga polis yang pada kali ini akan bergabung memberikan kawalan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh menyarankan penganjur HKR112 supaya menyemak semula hasrat mereka untuk menggunakan Stadium Merdeka.

Polis mencadangkan penganjur menggunakan Stadium Bukit Jalil memandangkan ia mampu menampung kapasiti yang lebih besar dengan kemudahan pengangkutan awam yang lengkap termasuk LRT dan memenuhi keperluan aspek keselamatan.

Categories
NASIONAL

Penganjur Minta Peserta HKR112 Patuhi Arahan Pimpinan

himpunan rakyat

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR 112) perlu mematuhi semua arahan yang diberikan pimpinan semasa berkumpul dan bergerak ke Stadium Merdeka Sabtu ini.

Ini kerana, Penganjur HKR 112 dan polis sudah menyatakan persetujuan bersama bagi menetapkan beberapa lokasi yang akan dijadikan lokasi awal berkumpul.

Perkara ini dinyatakan Ahli Jawtankuasa Penganjur HKR 112, Hishamuddin Rais dalam satu sidang media di perkarangan IPD Dang Wangi selepas perbincangan bersama lebih satu jam bersama pihak polis.

Lokasi dan pimpinan Pakatan Rakyat yang terlibat adalah seperti berikut:

Brickfields – Aruchelvan, Maria Chin Abdullah dan Faizal Yusof.

Universiti Malaya – Nurul Izzah, Ng Suee Lim dan Raja Iskandar, Adam Adli, Safwan Anang.

KLCC – Mazlan Aliman, Datuk Husam Musa, Datuk Teng Chang Kim.

Jalan Sultan – Ronnie Liu, Fuziah Salleh

Pasar Seni – Dr Siti Mariah, Taresa Kok, Elizabeth Wong

Padang Sultan Sulaiman – Chegu Bard

Selain itu, penganjur juga turut menyatakan empat jalan utama akan ditutup bagi memastikan perhimpunan dan pergerakkan peserta berlangsung lancar.

Empat jalan tersebut adalah Jalan Hang Jebat, Jalan Changkat Stadium, Jalan Stadium dan Jalan Maharajalela.

Menurut Hishamuddin lagi, peserta turut diingatkan supaya menggunakan kenderaan awam bagi mengelakkan kesesakkan pada hari himpunan.

“Kami daripada pihak penganjur juga meminta peniaga-peniaga berniaga kalau boleh di seberang jalan berhampiran Chinese Assambly Hall (KLCAH).

“Ini merupakan sebahagian daripada perkara yang dipersetujui bersama  polis tadi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur HKR, Mohammad Sabu menyatakan, perbincangan bersama pihak pengurusan Stadium Merdeka pagi tadi berlangsung positif.

Selain itu, pihaknya juga bersedia mematuhi 27 peraturan yang ditetapkan seperti yang dinyatakan di dalam Akta Himpunan Aman 2012.

“Perbincangan stadium cukup positif di mana perkara tentang keselamatan dan teknikal,” katanya.

Beliau menambah, penganjur juga akan menyediakan 10,000 anggota keselamatan yang terdiri daripada Unit Amal dan  anggota Pakatan Rakyat bagi membantu perjalanan himpunan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis tidak membenarkan sebarang kain rentang dan pelekat berunsur hasutan, dan memecah belahkan keamanan dibawa semasa himpunan bagi mengelakkan perasaan gusar masyarakat dan orang awam.

KLCC

KLCC – Mazlan Aliman, Datuk Husam Musa, Datuk Teng Chang Kim

Jalan Sultan

Jalan Sultan – Ronnie Liu, Fuziah Salleh

Brickfields

Brickfields – Aruchelvan, Maria Chin Abdullah dan Faizal Yusof

Padang Sultan Sulaiman

Padang Sultan Sulaiman – Chegu Bard

Pasar Seni

Pasar Seni – Dr Siti Mariah, Taresa Kok, Elizabeth Wong

Universiti Malaya

Universiti Malaya – Nurul Izzah, Ng Suee Lim dan Raja Iskandar, Adam Adli, Safwan Anang

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lokasi Terakhir Himpunan Kebangkitan Rakyat Diumumkan Esok

Himpunan Kebangkitan Rakyat 02

PETALING JAYA, 8 JAN: Lokasi terakhir Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Sabtu ini akan ditentukan esok petang sekiranya pihak pengurusan Stadium Merdeka masih tidak memberikan sebarang maklum balas.

Pengerusi Jawatankuasa HKR, Mohammad Sabu berkata, pihaknya turut akan berbincang dengan Ketua Polis Negara bagi menerangkan perancangan himpunan bagi memastikan ianya berlangsung secara aman.

“Setakat ini pihak stadium masih belum menyatakan ya atau tidak.

“Esok pada jam 4.00 petang kita akan memberikan maklumat terakhir lokasi himpunan,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Turut hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Anwar menggesa semua penyokong dan ahli Pakatan Rakyat hadir pada himpunan yang akan diadakan pada Sabtu, 12 Januari ini.

Jelasnya pimpinan Pakatan Rakyat menyokong penuh himpunan tersebut dan meminta pihak polis memberikan kerjasama agar ia berlangsung dengan aman.