Categories
NASIONAL

Kerajaan Didesak Bebaskan Senator Nick Xenophon Serta Merta

Anwar Convention SACC PKR

SHAH ALAM 16 FEB : Kerajaan didesak membebaskan serta merta Senator Bebas Australia, Nick Xenophon yang ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pagi ini dan membenarkan beliau masuk ke negara ini tanpa halangan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan medianya berkata penahanan Nick Xenophon melanggar protokol antarabangsa.

“Saya mengecam dengan keras penahanan senator Australia Nick Xenophon di LCCT yang dikatakan mengancam keselamatan nasional dan dilabel sebagai ‘musuh negara’ dengan tuduhan-tuduhan itu adalah tidak berasas.

“Saya mengingatkan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Najib Razak bahawa beliau tiada hak untuk memperlaku tetamu sebagai musuh negara hanya kerana mereka kritikal kepada pentadbiran Umno.

“Malaysia bukan dimiliki Umno. Ia kepunyaan rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik,” tegas Anwar.

Menurut Anwar, Xenophon yang melahirkan kebimbangan terhadap pilihan raya akan datang, tidak melanggar sebarang undang-undang mahupun mengancam keselamatan negara.

“Tambahan pula, beliau disertai penggubal undang-undang Australia untuk bercakap kepada kami, serta pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan raya. Ini bukan sebab untuk menyenarai hitamkan beliau,” katanya.

Menurut Anwar, tindakan menahan dan menghantar pulang Nick Xenophon bermotifkan politik dan merupakan salahguna kuasa.

Sebelum ini, Nick Xenophon adalah sebahagian daripada delegasi empat anggota Australia yang mengambil inisiatif untuk meneliti sistem pilihan raya Malaysia.

Tiga lagi anggota delegasi itu ialah Ahli Parlimen Mal Washer, Senator John Williams, dan Steve Georganas.

Delegasi itu dijadualkan bertemu dengan Anwar pada hari Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada hari Selasa, serta NGO lain dan ahli parlimen pembangkang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.