Categories
SELANGOR

MB: SPR Bebas Tentukan PRU-13 Serentak Dengan Selangor

mb pecah tanah

SHAH ALAM 15 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengumumkan tarikh bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dalam tempoh 60 hari selepas beliau mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri(DUN) Selangor.

Sebelum ini, beliau mengumumkan akan membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Chap Goh Mei hujung bulan ini.

Menurut Abdul Khalid, menjadi tugas SPR untuk menyesuaikan tarikh yang bersesuaian dengan Kerajaan Pusat jika mahu PRU-13 diadakan secara serentak.

mb rasmiJelasnya, kesesuaian tarikh yang bakal diumumkan SPR itu yang menjadi penentu sama ada PRU-13 akan diadakan serentak atau berasingan.

“Apabila saya umumkan pembubaran, SPR mesti mengadakan PRU-13 dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN Selangor.

“Terpulang pada SPR untuk sesuaikan tarikh dengan Kerajaan Pusat, namun jika tidak sesuai saya buat pilihan raya dulu, dan jika sesuai kita buat pilihan raya sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Ketiga di Klang pagi tadi.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dipetik sebagai berkata, badan bebas itu mempunyai kuasa mutlak menentukan tarikh PRU-13 dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.

Menurut Abdul Khalid, rakyat kini sudah tidak sabar dan tertunggu-tunggu tarikh PRU-13 dan ia turut membantutkan perkembangan sektor ekonomi di negeri ini.

“Rakyat sudah tertanya-tanya bila PRU-13, jadi rakyat tak buat kerja, asyik tunggu pilihan raya, keputusan pelaburan pun tak buat, sektor peniagaan pun tunggu pilihan raya.

“Lagi lama pilihan raya hendak diadakan, lagi lambat ekonomi membangun,” ujarnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.