Categories
SELANGOR

Dakwa Rampas Tanah : Kerajaan Negeri Panggil SPNB Beri Penjelasan

khalid ibrahim

SHAH ALAM 7 MAC : Kerajaan Negeri dalam satu kenyataan hari ini menegaskan tidak pernah menghalang proses penyerahan kunci bagi 2,500 unit rumah kos rendah Taman Alam Perdana sepertimana didakwa Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh.

Sebaliknya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa komited menyiapkan projek terbengkalai rumah kos rendah Taman Alam Perdana walaupun berdepan beberapa masalah teknikal.

Pemulihan projek terbengkalai Alam Perdana melibatkan 3,819 unit rumah yang terdiri daripada 2,500 unit rumah kos rendah di bawah pemulihan SPNB dan 1,319 unit rumah teres di bawah pemulihan Kerajaan Negeri Selangor.

Walaubagaimanapun, permohonan mendapatkan Sijil Layak Menduduki bagi rumah teres tertangguh mengikut perancangan Kerajaan Negeri akibat kegagalan SPNB menyelesaikan isu teknikal seperti Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) dan Indah Water Konsortium(IWK).

“Sebagai penyelesaian kepada kegagalan itu, Kerajaan Negeri bertindak menanggung kos pembaikan cerun yang runtuh di tapak tangki air dan menjelaskan bayaran Jaminan Bayaran sejumlah hampir RM1 juta kepada Syabas.

“Di atas kesungguhan Kerajaan Negeri juga, akhirnya projek dapat disiapkan dan serahkan kepada pembeli rumah teres berserta Sijil Layak Menduduki Sementara (TCF) yang diperolehi pada 26 April 2012 tertakluk kepada sokongan IWK,” ujar Abdul Khalid.

Jelasnya lagi, Kelulusan TCF ini adalah merangkumi kelulusan pembangunan Alam Perdana yang melibatkan 2,500 unit rumah kos rendah yang diserahkan pada pemilik dalam satu majlis pada 28 April 2012.

“Sebelum majlis berlangsung, Kerajaan Negeri mengeluarkan surat jemputan kepada SPNB untuk diadakan bersekali dengan Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah namun SPNB tidak memberikan kerjasama,” tambahnya lagi.

Dakwaan Kamarul juga dilihat tidak selari dengan kenyataannya sendiri dalam satu laporan media bahawa Kerajaan Negeri bercadang menyerahkan kunci rumah tanpa ada Sijil Layak Menduduki sehari sebelum majlis penyerahan berlangsung.

“Kerajaan Negeri kesal dengan sikap Pengarah Urusan SPNB yang tidak bertanggungjawab sehingga mengeluarkan kenyataan yang jelas tidak benar,” kata Abdul Khalid.

Susulan itu, Kerajaan Negeri akan memanggil SPNB untuk memberi penjelasan lanjut dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.