Categories
NASIONAL

Tuduhan Menghasut : Tian Chua Diikat jami RM 5,000

Tian Chua

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Naib Presiden PKR, Tian Chua dibebaskan dengan ikat jamin RM 5,000 hari ini selepas beliau dituduh membuat kenyataan berbaur hasutan melalui laman media sosial twitter berhubung isu Lahad Datu.

Ketika ditanya di dalam Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak, Tian Chua menjawab bahawa pertuduhan tersebut berbaur politik dan beliau akan membersihkan namanya.

Ahli Parlimen Batu itu dituduh dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Jika sabit kesalahan pertama, beliau boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan kedua, beliau boleh dipenjarakan tidak lebih daripada lima tahun.

Pertuduhan berkenaan menyatakan bahawa beliau pada 1 Mac 2013 telah menyebutkan perkataan menghasut iaitu :

a) Serangan tembak menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakutkan rakyat.

b) Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan disebalik wayang mainan kerajaan Umno.

c) Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

d) Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah dari isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Beliau dituduh mengeluarkan kenyataan-kenyataan tersebut pada jam 11.00 pagi di alamat No: 62-2-a, Fraser Business Park, Jalan Off Metro Pudu, Jalan Yew, Kuala Lumpur.

Kes tersebut dijalankan di hadapan hakim Mohamed Sekeri Mamat.

Tian Chua diwakili peguam N. Surendran dan Latheefa Koya, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Perbicaraan kes akan bermula pada 12 April 2013.

Tian Chua tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9 pagi sambil ditemani Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng dan penyokong lain.

Sebelum itu, pada sebelah pagi, pertelingkahan kecil berlaku di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di antara polis dan pihak Tian Chua semasa beliau hadir untuk mendengar tuduhan itu.
Pertelingkahan itu tercetus apabila dua anggota polis bertemu dengan Tian Chua dan peguamnya di kantin kompleks mahkamah tersebut sebelum kesnya bermula.

Kedua polis itu menyatakan hasrat untuk menahan Tian Chua di dalam lokap mahkamah, akan tetapi mereka dihalang Latheefa.

Menurutnya, Tian Chua tidak perlu ditahan di dalam lokap kerana beliau sendiri telah hadir dan bersedia untuk kes berkenaan.

?Tujuan untuk menahan seseorang sebelum di dakwa adalah memastikan dia hadir ke mahkamah. Dalam kes ini Tian sudah pun hadir ke mahkamah bersedia untuk didakwa.

?Jadi mengapa nak tahan dia di lokap, tidak ada keperluan,? katanya,? tegas Latheefa, sambil berkata pihaknya tidak membenarkan Tian Chua ditahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.