Categories
NASIONAL

Anwar Ulangi Cabar Najib Berdebat

PC DSAI HQ PKR 04032013 01

PETALING JAYA 3 APRIL : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mempelawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat menyentuh dasar parti masing-masing supaya rakyat boleh menilai dan membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum ke13 (PRU13) ini.

Beliau mengulangi gesaan itu dalam sidang media khas sempena pilihan raya diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

“Pakatan Rakyat mengulangi pelawaan kepada Datuk Seri Najib untuk mempertahankan rekod BN dan kepada kami untuk membentangkan kebijakan dasar Pakatan Rakyat(PR) dalam sebuah debat supaya rakyat boleh membuat pilihan yang bermaklumat dan adil,” katanya.

Beliau berkata, pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan yang berwibawa, bertanggungjawab, bersih dari rasuah dan beriltizam kuat mahu memastikan Malaysia yang gagah.

“Kami menyeru semua pihak terutama rakan dari BN untuk memastikan etika pilihan raya dan amalan prinsip demokrasi dipatuhi sepanjang masa.

“Kami mengalu-alukan kenyataan Najib yang menjamin peralihan kuasa yang aman sekiranya PR memenangi PRU13,” kata Anwar yakin PR berpeluang besar menawan Putrajaya.

Katanya, PR menaruh keyakinan pasukan keselamatan akan bertindak secara profesional dan adil demi menjaga ketenteraman awam sepanjang tempoh kempen.

Leave a Reply

Your email address will not be published.