Categories
NASIONAL SELANGOR

Elizabeth : RM 2.4 Juta Atasi Jenayah Luar Bandar

Elizabeth Wong

SHAH ALAM 5 APRIL : Dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan luar bandar, Kerajaan Negeri meluluskan bajet tambahan sejumlah RM12.4 juta untuk menjayakan Program Pasukan Kejiranan Keselamatan.

Sebanyak 492 buah kampung yang terlibat di bawah program sulung tersebut, merangkumi kampung-kampung tradisi, kampung baru dan bagan serta perkampungan komuniti India di seluruh Selangor.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata inisiatif program ini antara lain adalah untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan mengawal kadar jenayah yang dilihat semakin meruncing saban hari.

“Kejadian jenayah ini semakin serius bukan sahaja di kawasan bandar, malah luar bandar juga.

“Dengan bidang kuasa yang terhad, ini merupakan antara usaha yang dapat Kerajaan Negeri lakukan untuk bersama-sama PDRM membanteras jenayah,” ujar Elizabeth.

Jelasnya, program tersebut juga merupakan program perintis yang dilaksanakan terlebih dahulu di bawah pemantauan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada tahun lepas.

“Kita dapat lihat ia berjaya dan kita rasakan adalah wajar untuk program tersebut dilaksanakan di seluruh negeri,” tambah Elizabeth.

Program yang dilaksanakan di bawah peruntukan Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah ini akan dimasukkan ke dalam bajet akan datang.

Bagi menyertai program ini, setiap kampung yang terlibat perlu menubuhkan pasukan keselamatan atau jawatankuasa penduduk kampung terlebih dahulu.

Pasukan ini juga dikehendaki menggunakan balai raya atau dewan yang terdapat di kawasan mereka sebagai bilik gerakan selain perlu menghantar laporan aktiviti kepada pejabat daerah masing-masing.

Untuk program sulung kali ini, terdapat 358 buah kampung tradisi, 78 kampung baru dan bagan selain 46 buah perkampungan komuniti India yang terlibat dengan setiap kampung akan memperoleh peruntukan sebanyak RM 5, 000.

Peruntukan yang diberi pula hanya boleh digunakan untuk membeli kelengkapan bagi membantu rondaan seperti lampu suluh, wisel, jaket keselamatan, cota dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.