Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Konsep Keempunyaan Untuk Pembangunan Luar Bandar

padi_sabak_01

SHAH ALAM 22 JULAI : Strategi pembangunan luar bandar Kerajaan Selangor akan menekankan konsep ‘keempunyaan’ atau ?ownership? bagi menjayakan objektif meningkatkan pendapatan penduduk dan membangunkan luar bandar.

Konsep tersebut bermaksud setiap individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam satu projek, program atau dasar harus mempunyai keinginan untuk lihat usaha itu berjaya kerana ia adalah ?kepunyaan? individu itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata suatu stategi menyeluruh sedang digubal bagi menterjemahkan konsep tersebut di dalam perancangan pembangunan desa.

Abdul Khalid berkata, kajian perancangan strategi sedang diljalankan meliputi sumber ekonomi, jumlah penduduk, keperluan infrastruktur dan pembiayaan kawasan-kawasan luar bandar.

Katanya, aspek berkenaan perlu diambil kira bagi memastikan kampung-kampung terpilih nanti akan dimajukan mengikut keunikan serta ciri-ciri kelainan kampung berkenaan.

“Bagi melaksanakan konsep pembangunan ini, sistem sokongan yang kukuh melibatkan jaringan keselamatan, pembaharuan khidmat pemproses tanah, khidmat sokongan jabatan berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan sokongan pentadbiran dari segi kewangan amat diperlukan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberi ucapan di Majlis Berbuka Puasa Bersama JKK, Pengerak Belai Tempatan dan Penghulu-Penghulu Negeri Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, kewujudan pelbagai kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan untuk membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar ternyata masih gagal dilaksanakan.

“Beberapa kementerian diwujudkan khususnya untuk pembangunan luar bandar, namun nampaknya pembangunan luar bandar di sembilan daerah di Selangor ternyata masih jauh dari memuaskan,” katanya lagi.

Abdul Khalid turut melakukan kajian terhadap program pembangunan luar bandar yang gagal dilaksanakan Kerajaan Pusat supaya kesilapan itu tidak diulangi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Elizabeth : RM 2.4 Juta Atasi Jenayah Luar Bandar

Elizabeth Wong

SHAH ALAM 5 APRIL : Dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan luar bandar, Kerajaan Negeri meluluskan bajet tambahan sejumlah RM12.4 juta untuk menjayakan Program Pasukan Kejiranan Keselamatan.

Sebanyak 492 buah kampung yang terlibat di bawah program sulung tersebut, merangkumi kampung-kampung tradisi, kampung baru dan bagan serta perkampungan komuniti India di seluruh Selangor.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata inisiatif program ini antara lain adalah untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan mengawal kadar jenayah yang dilihat semakin meruncing saban hari.

“Kejadian jenayah ini semakin serius bukan sahaja di kawasan bandar, malah luar bandar juga.

“Dengan bidang kuasa yang terhad, ini merupakan antara usaha yang dapat Kerajaan Negeri lakukan untuk bersama-sama PDRM membanteras jenayah,” ujar Elizabeth.

Jelasnya, program tersebut juga merupakan program perintis yang dilaksanakan terlebih dahulu di bawah pemantauan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada tahun lepas.

“Kita dapat lihat ia berjaya dan kita rasakan adalah wajar untuk program tersebut dilaksanakan di seluruh negeri,” tambah Elizabeth.

Program yang dilaksanakan di bawah peruntukan Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah ini akan dimasukkan ke dalam bajet akan datang.

Bagi menyertai program ini, setiap kampung yang terlibat perlu menubuhkan pasukan keselamatan atau jawatankuasa penduduk kampung terlebih dahulu.

Pasukan ini juga dikehendaki menggunakan balai raya atau dewan yang terdapat di kawasan mereka sebagai bilik gerakan selain perlu menghantar laporan aktiviti kepada pejabat daerah masing-masing.

Untuk program sulung kali ini, terdapat 358 buah kampung tradisi, 78 kampung baru dan bagan selain 46 buah perkampungan komuniti India yang terlibat dengan setiap kampung akan memperoleh peruntukan sebanyak RM 5, 000.

Peruntukan yang diberi pula hanya boleh digunakan untuk membeli kelengkapan bagi membantu rondaan seperti lampu suluh, wisel, jaket keselamatan, cota dan sebagainya.