Categories
NASIONAL

Dua Lagi Penduduk Ditahan Berhubung Kes Penahanan Bas Warga Asing di Klang

charles pc pandamaran kena tahan 01

KLANG, 8 MEI : Dua lagi penduduk Klang ditahan polis hari ini dalam insiden penahanan dua buah bas yang dipercayai membawa warga asing untuk mengundi di Pandamaran semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Penahan dua individu terbabit menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan setakat ini adalah seramai 7 orang sejak kelmarin kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Beliau telah menerima panggilan telefon daripada penduduk yang memintanya untuk campur tangan berhubung penahanan tersebut.

Katanya, polis juga merancang untuk menahan 150 individu secara keseluruhannya di Klang yang didakwa terlibat dengan insiden di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pandamaran B itu.

“Perkara itu sudah pun dirujuk kepada peguam dan kesannya tiga daripada individu yang ditahan telah pun dibebaskan malam semalam dengan ikat jamin polis.

“Saya minta pihak polis untuk berhenti menakut-nakutkan orang ramai dan menggunakan anggota mereka untuk memerangi jenayah dan bukan menangkap individu tidak bersalah.

“Sebelum ini pelbagai aduan jenayah dilaporkan tetapi polis mengambil masa lama untuk menyelesaikan kes.

?Tetapi apabila berhubung penangkapan individu yang didakwa terlibat dengan insiden ini, polis boleh lakukan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan DAP Klang, pagi tadi.

Sebelum ini, Charles pernah memfailkan aduan sebanyak empat kali kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pengundi hantu, pemindahan pengundi keluar dan masuk ke Klang tetapi tiada maklumbalas sehingga PRU-13 berakhir.

Dalam pada itu, Charles mahu polis menjelaskan apa yang berlaku kepada dua warga asing yang ditahan kerana disyaki cuba mengundu pada hari itu.

Tegasnya, semasa insiden itu, polis dilihat seakan-akan memberi perlindungan kepada dua individu tersebut dengan membawa mereka pergi menaiki van.

“Kita mahu tahu adakah polis telah membuat laporan berhubung penangkapan ini? Adakah mereka yang ditangkap ini pengundi hantu? Adakah mereka memiliki kad pengenalan yang sah atau sebaliknya? Dan mengapa polis memberi perlindungan kepada mereka.

“Dalam kes ini polis dilihat melindungi pihak yang secara terang-terangan melanggar undang-undang dan menahan individu yang mempertahankan demokrasi negara,” katanya lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.