Categories
NASIONAL

Perjanjian Dagangan Antarabangsa TPP Gugat Kepentingan Negara

nurul izzah ipad 01

SHAH ALAM 6 JUN : Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), sebuah perjanjian dagangan bebas antarabangsa yang bakal ditandatangani Malaysia, didakwa mampu menggugat kepentingan awam ekoran terma-termanya yang berat sebelah.

Menurut MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, melalui TPP syarikat asing berupaya mencabar undang-undang negara dan peraturan-peraturan mahkamah domestik dengan kaedah ISDS (penyelesaian pertikaian pelabur-kerajaan).

Keadaan ini membolehkan mereka memintas undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal oleh kerajaan Malaysia terutamanya dalam isu kepentingan awam seperti sumber semula jadi, perlindungan alam sekitar dan dasar kesihatan.

Selain itu, TPP juga mempunyai peruntukan khas mengenai pelanggaran undang-undang Perdagangan Berkaitan Hak Harta Intelek (TRIPS) yang turut meliputi sektor perubatan.

Perkara ini, ujar Nurul Izzah, boleh meningkatkan kos pembelian ubat samada oleh kerajaan mahupun pengguna persendirian.

“Selain itu, terdapat juga peruntukan tambahan yang membolehkan pemantauan dilakukan terhadap pengguna internet oleh Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP).

“Malah tindakan juga boleh diambil terhadap pengguna dengan melumpuhkan akses internet mereka, dan ini semestinya menyekat kebebasan dan hak bersuara orang awam,” jelas Nurul Izzah dalam satu kenyataan medianya.

Tambah Nurul Izzah, kerajaan harus melaksanakan undang-undang yang menjadi beberapa aspek kepentingan awam sebelum meneruskan perjanjian ini.

“Undang-undang berkaitan alam sekitar yang sedia ada perlu diperkasakan selari dengan standard antarabangsa bagi menyekat sebarang penyalahgunaan sumber alam.

“Contohi amalan terbaik antarabangsa untuk menentang sekeras-kerasnya ISDS, di samping menggabungkan amalan-amalan terbaik dalam Penyata Dasar Perdagangan,” kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR.

Beliau juga turut menggesa penggubalan undang-undang bagiĀ  melindungi kepentingan pengguna internet tempatan, seterusnya mengekalkan kebebasan maklumat selagi ia tidak melanggar undang-undang keselamatan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu jawatankuasa khas parlimen; yang terdiri daripada golongan profesional dan pakar, ditubuhkan untuk mengkaji dan meneliti semula terma-terma TPP ini.

“Perjanjian TPP ini mungkin mempunyai semangat ‘free trade’ (perdagangan bebas), tetapi adakah ianya ‘fair trade’ (perdagangan adil) untuk kita dan negara ini?,” kata Nurul Izzah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.