Categories
NASIONAL

Perjanjian Dagangan Antarabangsa TPP Gugat Kepentingan Negara

nurul izzah ipad 01

SHAH ALAM 6 JUN : Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), sebuah perjanjian dagangan bebas antarabangsa yang bakal ditandatangani Malaysia, didakwa mampu menggugat kepentingan awam ekoran terma-termanya yang berat sebelah.

Menurut MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, melalui TPP syarikat asing berupaya mencabar undang-undang negara dan peraturan-peraturan mahkamah domestik dengan kaedah ISDS (penyelesaian pertikaian pelabur-kerajaan).

Keadaan ini membolehkan mereka memintas undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal oleh kerajaan Malaysia terutamanya dalam isu kepentingan awam seperti sumber semula jadi, perlindungan alam sekitar dan dasar kesihatan.

Selain itu, TPP juga mempunyai peruntukan khas mengenai pelanggaran undang-undang Perdagangan Berkaitan Hak Harta Intelek (TRIPS) yang turut meliputi sektor perubatan.

Perkara ini, ujar Nurul Izzah, boleh meningkatkan kos pembelian ubat samada oleh kerajaan mahupun pengguna persendirian.

“Selain itu, terdapat juga peruntukan tambahan yang membolehkan pemantauan dilakukan terhadap pengguna internet oleh Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP).

“Malah tindakan juga boleh diambil terhadap pengguna dengan melumpuhkan akses internet mereka, dan ini semestinya menyekat kebebasan dan hak bersuara orang awam,” jelas Nurul Izzah dalam satu kenyataan medianya.

Tambah Nurul Izzah, kerajaan harus melaksanakan undang-undang yang menjadi beberapa aspek kepentingan awam sebelum meneruskan perjanjian ini.

“Undang-undang berkaitan alam sekitar yang sedia ada perlu diperkasakan selari dengan standard antarabangsa bagi menyekat sebarang penyalahgunaan sumber alam.

“Contohi amalan terbaik antarabangsa untuk menentang sekeras-kerasnya ISDS, di samping menggabungkan amalan-amalan terbaik dalam Penyata Dasar Perdagangan,” kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR.

Beliau juga turut menggesa penggubalan undang-undang bagiĀ  melindungi kepentingan pengguna internet tempatan, seterusnya mengekalkan kebebasan maklumat selagi ia tidak melanggar undang-undang keselamatan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu jawatankuasa khas parlimen; yang terdiri daripada golongan profesional dan pakar, ditubuhkan untuk mengkaji dan meneliti semula terma-terma TPP ini.

“Perjanjian TPP ini mungkin mempunyai semangat ‘free trade’ (perdagangan bebas), tetapi adakah ianya ‘fair trade’ (perdagangan adil) untuk kita dan negara ini?,” kata Nurul Izzah.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah Akan Saman Kerajaan Sabah, Ketua Menteri

nurul izzah KLSCAH 01

SHAH ALAM 31 MEI : MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar akan mengheret Kerajaan Sabah ke mahkamah bagi mencabar tindakannya yang menghalang beliau daripada memasuki negeri bawah bayu itu semalam.

MP Penampang, Darrell Leiking, akan mengetuai sebuah jawatankuasa guaman di Sabah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri yang akan difailkan di Kota Kinabalu kelak.

PKR juga akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengemukakan aduan rasmi serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai tindakan itu.

Parti itu juga akan meminta senarai nama-nama mereka yang dihalang memasuki Sabah, serta sebab-sebab mereka dihalang, kata Nurul Izzah di sebuah sidang media di sini.

“Isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.

?Tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan.

?Termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini,

?Bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan UMNO mahupun BN,? kata Nurul Izzah.

Nurul Izzah ditahan di pintu masuk imegresen di Lapangan Terbang Kota Kinabalu semalam apabila beliau tiba di Sabah. Kad pengenalannya dirampas dan beliau diarah pulang.

Nurul Izzah mendakwa tindakan tersebut adalah arahan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Beliau pergi ke Sabah bagi meraikan pesta menuai Kaamatan bersama warga tempatan yang akan berlangsung Sabtu ini.

Nurul Izzah berkata Kerajaan Sabah telah melanggar undang-undang negara kerana menghalang seorang warganegara memasuki negeri mengikut Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/1963.

Categories
SELANGOR

Kementerian Pelajaran Perlu Jelaskan Perbelanjaan Tak Konsisten

KUALA LUMPUR, 6 NOV : Jawatankuasa Kerja Pendidikan Pakatan Rakyat (PET) menggesa Kementerian Pelajaran menjelaskan percanggahan perbelanjaan di antara Pelan Pembangunan Pendidikan (NEB) dan perbelanjaan pembangunan 2006 ? 2010 Kementerian Pelajaran.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata percanggahan tersebut perlu dijelaskan kerana ia akan menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan NEB.

Dalam satu sidang media, di lobi parlimen, hari ini, Nurul Izzah menjelaskan, jangkaan perbelanjaan pembangunan dari 2006 hingga 2010 pada awalnya adalah RM 17.9 bilion, tetapi perbelanjaan sebenar adalah RM 8.6 bilion.

“Lebih malang lagi, angka ini tidak konsisten dengan RM 19.771 bilion yang diberikan sebagai perbelanjaan pembangunan dan perkara ini wajib dijelaskan kementerian bertanggungjawab,” tegas beliau.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan kegagalan mengawal pembaziran dan perbelanjaan lebih di bawah perbelanjaan pengurusan.

Tambah beliau, berdasarkan Laporan Perbelanjaan Bank Dunia 2011, perbelanjaan pengurusan melebihi perbelanjaan pembangunan pada purata 10 peratus dari tahun 2006 ke tahun 2010.

Justeru, katanya NEB tidak langsung menyatakan tindakan khusus untuk mengatasi isu ini iaitu kurang belanja dalam perbelanjaan pembangunan dan lebih belanja dalam perbelanjaan pengurusan.