Categories
SELANGOR

Rodziah : Program Kebajikan Bantu Golongan Sasaran, Jana Pendapatan

rodziah sikembar 02

SHAH ALAM : Program kebajikan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan diperluaskan supaya lebih ramai lagi golongan OKU, kanak-kanak, warga emas dan miskin akan mendapat pembelaan.

Kerajaan Selangor kini telah mengenalpasti 10,000 yang tergolong sebagai kumpulan sasaran di atas dan sedang berusaha untuk menaikkan taraf hidup mereka.

Setakat ini 538 daripada jumlah tersebut telah mendapat bantuan daripada kerajaan negeri dan dapat dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan, kata Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail.

“Kita akan terus giatkan supaya peratusan golongan bebas masalah ini bertambah dari masa ke semasa,” katanya di dalam satu temuramah eksklusif bersama Selangorkini baru-baru ini.

“Saya ingin melihat kebajikan kanak-kanak terjamin menerusi dasar atau akta di negara ini khususnya di Selangor. Kita hanya memberi tumpuan bila berlaku kes seperti pembuangan bayi, kanak-kanak hilang atau rogol.

“OKU juga perlu mendapat hak mereka dan menjalani kehidupan dengan lebih kondusif di Selangor. Ianya dari sudut infrastruktur dan kita juga menyentuh bagaimana golongan ini boleh dibantu dengan diberi peluang untuk bekerja dan meraih pendapatan.

“Golongan warga emas pula di mana salah satu tumpuan akan diberikan dengan penubuhan Pusat Warga Emas (PWE) yang mengambilkira bukan setakat pusat jagaan semata-mata tetapi bagaimama warga emas yang masih produktif boleh memainkan peranan di dalam masyarakat.

“Yang terakhir golongan terpinggir seperti mereka yang terlibat dalam penagihan dadah atau pengidap HIV, kita ceriakan dan bahagiakan mereka dengan langkah awal supaya mereka tidak terus dipinggirkan dalam kehidupan masyarakat,” katanya.

rodziah eksklusif pink 01Rodziah, yang juga Adun Batu Tiga, telah dilantik semula sebagai exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio hal ehwal wanita dan kebajikan.

Bagi penggal kedua ini program di bawah MES seperti SiTunas, SiKembar dan Tawas akan dipergiatkan dan dipromosikan dengan lebih meluas supaya mendapat penglibatan umum.

Katanya program seperti SiTunas dan Sikembar yang masing-masing menyediakan bantuan tadika dan taska bagi ibubapa berpendapatan rendah, boleh juga menolong golongan ibu tunggal menjana pendapatan.

“Program SiKembar ini juga mementingkan kualiti penjagaan di mana dalam masa yang sama kita membuka peluang kepada golongan wanita seperti surirumah dan ibu tunggal membuka pusat jagaan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Rodziah juga menambah, memelihara kebajikan memerlukan pengilabatan semua pihak seperti badan korporat dan NGO dan bukan sahaja Kerajaan Negeri.

Tegasnya, usaha kebajikan tersebut perlu ke arah memastikan pebasmian kemsikinan dapat dijayakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.