Categories
NASIONAL

Anwar Desak Siasat Sindiket Jenayah Libatkan Anggota Polis

anwar rafizi

SHAH ALAM 29 JULAI : PKR mendesak siasatan terperinci dijalankan ke atas dakwaan penglibatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sindiket jenayah dan kegiatan haram, tegas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gesaan dibuat susulan daripada insiden tembakan dan cubaan membunuh Pengerusi Badan Pemantau Jenayah MyWatch, R. Sri Sanjeevan dua hari lepas; beberapa jam selepas beliau memuatnaik tulisan di Twitter miliknya bahawa beliau menerima ugutan bunuh dipercayai dibuat anggota polis.

Tidak menolak kaitan langsung cubaan tersebut dengan hasrat Sanjeevan mendedahkan penglibatan anggota polis dalam sindiket dan kegiatan haram, Anwar yang juga Ketua Pembangkang memohon agar kawalan keselamatan yang ketat ke atas Sanjevan yang kini sedang dirawat di hospital dapat ditingkatkan.

“Keadilan juga menyambut baik tindakan pantas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berjanji untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap kes ini.

“Keadilan menuntut supaya pendedahan Sanjeevan berkaitan penglibatan anggota polis dan pegawai PDRM dengan sindiket jenayah dan kegiatan haram turut disiasat seterusnya membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli turut mendakwa beliau ditemui Sanjeevan sehari sebelum kejadian tembakan, dan Sanjeevan meminta bantuan untuk mendedahkan nama anggota polis yang didakwa terbabit dengan sindiket dadah.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau tidak pasti sama ada rancangan untuk mendedahkan senarai nama tersebut ada kaitan dengan cubaan membunuh Sanjeewan.

Sanjeevan mendapat perhatian umum akhir tahun lepas apabila beliau muncul bersama mantan KPN, Tan Sri Musa Hassan dalam satu sidang media mendedahkan terdapat pegawai polis berpangkat tinggi terlibat dalam sindiket jenayah.

Musa semalam dalam kenyataannya berkata kemungkinan Sanjeevan diserang ekoran pendedahannya sebelum ini berhubung penglibatan anggota PDRM dengan sindiket jenayah.

Sanjeevan pernah menerima ancaman pada April lalu apabila diserang empat lelaki bersenjatakan parang di aras bawah tanah di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Beberapa minggu lalu, beliau didakwa diekori beberapa lelaki mencurigakan di Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Dua hari lepas, beliau yang sedang berhenti di sebuah simpang di Jempol, didakwa ditembak dari jarak dekat oleh pembonceng sebuah motosikal; menyebabkan beliau cedera di bahagian dada kanannya.

Beliau kini dilaporkan dalam keadaan stabil tetapi kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Pilah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.