Categories
SELANGOR

Bekalan Air Terawat Masih Mencukupi

Miter_air_Syabas

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Air Selangor, Datuk Khusrin Munawi hari ini menyangkal dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bahawa rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air berada pada tahap membimbangkan.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, bekalan air di semua loji rawatan air di Selangor masih berada pada tahap mencukupi.

Khusrin juga berkata kadar air tidak berhasil (NRW) iaitu air yang hilang akibat dicuri atau bocor telah meningkat daripada lebih 33 peratus.

Kadar NRW yang meningkat itu dikhuatiri menyumbang kepada penyaluran bekalan air terawat yang tidak efisen kepada pengguna.

“Setakat ini empangan kita masih penuh … Loji rawatan air setakat ini semua berjalan ikut pada kapasiti yang sebenar dan tiada masalah dari segi yang dikatakan pengurangan pengeluaran seperti yang didakwa oleh syabas.”

Khusrin berkata demikian ketika ditemui TV Selangor di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada 1 Julai, akhbar The Star melaporkan bahawa Syabas berkata
rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air Syabas kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Pegawai komunikasi korporat dan perhubungan awam Priscillia Alfred berkata rizab air di kesemua loji rawatannya berada pada tahap rendah, iaitu bawah 10 peratus.

Syarikat itu berkata bekalan air terawat berkurangan ekoran musim panas yang melanda lembah Klang dan Selangor.

Dalam kenyataan balasnya hari ini, Khusrin berkata kadar NRW telah meningkat daripada kadar 33 peratus seperti yang dilaporkan Mei lalu.

“Daripada data yang kita dapat dari segi ikut perjanjian konsesi sepatutnya kita dah dapat turunkan kepada 25 peratus, tetapi benda ini tak berlaku.

“Apa yang kita dapat bukan pengurangan tetapi peningkatan dari segi air terawat tak berhasil baru-baru ini.

?Sebab baru ini ada projek mitigasi yang telah pun siap dan bila kita masuk sistem, kita dapati tiada peningkatan dan ini menunjukkan kadar NRW kita memang tinggi,” kata beliau lagi.

Khusrin turut memberitahu, Negeri Selangor kehilangan air sebanyak 50 juta liter air bagi setiap satu peratus NRW dan pembaziran ini sangat merugikan semua pihak termasuk pengguna.

“Walaupun lima peratus pun sudah memberikan kesan besar terhadap kapasiti bekalan air Selangor ini,” ujar beliau lagi.

Khusrin turut berharap agar pihak Syabas dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada Kerajaan Negeri melalui mesyuarat pemantauan supaya pemantauan dapat dijalankan sekaligus membaiki perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.