Categories
SELANGOR

‘Kali Inilah’ Selangor Kembali Juarai Sukma XVI

SUKMA XVI 01

SHAH ALAM 8 JULAI: Selepas enam tahun, Selangor kembali menguasai pentas sukan negara apabila dinobatkan sebagai juara Sukan Malaysia XVI (Sukma XVI) yang berlangsung dari 28 Julai hingga semalam.

Kejuaraan tersebut diraih selepas kontinjen Sukma XVI Selangor berjaya menggondol 23 emas, 17 perak dan 30 gangsa dalam temasya sukan yang berlangsung di Kuala Lumpur itu.

Sementara Terengganu yang meraih 19 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa pula bergelar naib juara, sekaligus gagal mempertahankan kejuaraan yang disandang selama empat kejohanan Sukma berturut-turut.

Manakala Selangor yang menjuarai kejohanan Sukma buat kali ke lapan kali ini, muncul sebagai negeri paling banyak bergelar juara dalam sejarah Sukma.

SUKMA XVI 02Kontinjen Selangor dengan slogannya, “Kali Inilah Selangor Juara” pertama kali bergelar juara pada 1988, diikuti enam kali berturut-turut dari 1996 hingga 2006.

“Tahniah kepada ‘chief de mission’, Dr Ahmad Yunus, Timbalan, Amiruddin Shari, Majlis Sukan Negeri Selangor dan para atlit yang berkerja keras,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Dr Ahmad Yunus ketika ditemui sejurus selesai perasmian penutupan Sukma XVI di Stadium Mini Bukit Jalil malam tadi berharap kemenangan ini akan menjadi pencetus semangat baru kepada semua pihak untuk membangunkan mutu sukan di Selangor.

“Selain daripada meraih kemenangan, saya harap atlit-atlit yang dibentuk dalam pembangunan itu nanti bukan sahaja menuju kepada kejuaraan diperingkat Sukan Malaysia, tetapi cemerlang di peringkat kebangsaan dan akan melahirkan atlit sukan peringkat antarabangsa,” kata Dr Ahmad Yunus.

Dr Ahmad Yunus juga menyifatkan kejayaan ini dicapai dari hasil usaha semua pihak terlibat dan keprihatinan DYMM Sultan Selangor dan Menteri Besar Selangor.

Dr Ahmad Yunus berharap agar peruntukan sukan di Selangor dapat dipertingkatkan bagi pembangunan sukan dan sekaligus berjaya mempertahankan kejuaraan Sukma yang bakal diadakan di Perlis tahun depan.

“Walaupun peruntukan kita cuma RM 5 juta berbanding negeri lain kira-kira RM 10 juta, natijahnya dengan semangat atlit, kita mampu menjadi juara.

?Sungguh pun begitu, untuk lebih maju lagi, kita perlukan satu peruntukkan sukan lebih besar lagi untuk majukan sukan Negeri Selangor,” katanya lagi.

Timbalan Ketua Kontinjen, Amiruddin Shari berkata beliau sudah pun membawa perkara ini dalam Dewan Negeri Selangor dengan menggesa agar peruntukan pembangunan sukan di Selangor ditambah sekurang-kurangnya ke hampir RM 10 juta setahun.

Categories
SELANGOR

Bekalan Air Terawat Masih Mencukupi

Miter_air_Syabas

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Air Selangor, Datuk Khusrin Munawi hari ini menyangkal dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bahawa rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air berada pada tahap membimbangkan.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, bekalan air di semua loji rawatan air di Selangor masih berada pada tahap mencukupi.

Khusrin juga berkata kadar air tidak berhasil (NRW) iaitu air yang hilang akibat dicuri atau bocor telah meningkat daripada lebih 33 peratus.

Kadar NRW yang meningkat itu dikhuatiri menyumbang kepada penyaluran bekalan air terawat yang tidak efisen kepada pengguna.

“Setakat ini empangan kita masih penuh … Loji rawatan air setakat ini semua berjalan ikut pada kapasiti yang sebenar dan tiada masalah dari segi yang dikatakan pengurangan pengeluaran seperti yang didakwa oleh syabas.”

Khusrin berkata demikian ketika ditemui TV Selangor di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada 1 Julai, akhbar The Star melaporkan bahawa Syabas berkata
rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air Syabas kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Pegawai komunikasi korporat dan perhubungan awam Priscillia Alfred berkata rizab air di kesemua loji rawatannya berada pada tahap rendah, iaitu bawah 10 peratus.

Syarikat itu berkata bekalan air terawat berkurangan ekoran musim panas yang melanda lembah Klang dan Selangor.

Dalam kenyataan balasnya hari ini, Khusrin berkata kadar NRW telah meningkat daripada kadar 33 peratus seperti yang dilaporkan Mei lalu.

“Daripada data yang kita dapat dari segi ikut perjanjian konsesi sepatutnya kita dah dapat turunkan kepada 25 peratus, tetapi benda ini tak berlaku.

“Apa yang kita dapat bukan pengurangan tetapi peningkatan dari segi air terawat tak berhasil baru-baru ini.

?Sebab baru ini ada projek mitigasi yang telah pun siap dan bila kita masuk sistem, kita dapati tiada peningkatan dan ini menunjukkan kadar NRW kita memang tinggi,” kata beliau lagi.

Khusrin turut memberitahu, Negeri Selangor kehilangan air sebanyak 50 juta liter air bagi setiap satu peratus NRW dan pembaziran ini sangat merugikan semua pihak termasuk pengguna.

“Walaupun lima peratus pun sudah memberikan kesan besar terhadap kapasiti bekalan air Selangor ini,” ujar beliau lagi.

Khusrin turut berharap agar pihak Syabas dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada Kerajaan Negeri melalui mesyuarat pemantauan supaya pemantauan dapat dijalankan sekaligus membaiki perkhidmatan bekalan air di negeri ini.