Categories
SELANGOR

Pemulihan air lebih 90 peratus di empat daerah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Gangguan bekalan air di empat daerah iaitu Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Petaling kini hampir pulih setakat jam 9 malam tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Abdul Raof Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan di sistem agihan, peratus pemulihan bekalan air mengikut Wilayah adalah hampir 100 peratus pulih.

“Laporan setakat jam 9 malam tadi, Hulu Langat dilaporkan sudah 99 peratus pulih; Sepang (91 peratus); Kuala Langat (96 peratus) dan Petaling (92 peratus).

“Bagaimanapun, pihak kami berusaha mengambil segala tindakan perlu bagi mempercepatkan pemulihan bekalan ke kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, bantuan bekalan air kecemasan melalui lori-lori tangki air masih digerakkan sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

Untuk bantuan bekalan air, hantar SMS Tanker <Nama><Alamat> ke 15300 atau WhatsApp ke: 019-281 6793 atau 019-280 0919.

Layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor”, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store untuk maklumat yang akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Categories
SELANGOR

9 PKS diaktifkan, bantu pengguna terputus bekalan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) komited mengaktifkan sembilan lokasi Pusat Khidmat Setempat (PKS) ekoran gangguan bekalan air berjadual yang dijangka berlaku di sekitar Lembah Klang bermula hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syabas, Abdul Raof Ahmad berkata, PKS mula diaktifkan mulai seawal 8 pagi tadi.

“Pihak kami bersiap-sedia dengan aset-aset dan bantuan sebanyak 79 lori tangki air dan 10 lori tangki air Jumbo bagi memberikan bantuan kepada pelanggan terjejas.

“PKS beroperasi 24 jam dilengkapi kaunter maklumat untuk membantu pengguna terjejas sepanjang gangguan berkenaan,” katanya memetik laporan MStar Online, hari ini.

Terdahulu, SYABAS menerusi laman Facebook berkata, 427 kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) bermula hari ini.

Antara kawasan terjejas termasuk Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Untuk senarai kawasan terlibat gangguan bekalan itu, orang ramai boleh melayari laman web www.syabas.com.my.

Categories
SELANGOR

SYABAS nafi kenakan caj RM3, waspada mesej viral

SHAH ALAM, 25 DIS: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menafikan mesej yang tersebar kononnya syarikat itu mengenakan caj RM3 jika pengguna ingin mendapatkan bil air melalui Pos Malaysia bermula 1 Januari 2018.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporatnya, Siti Zubaidah Zakaria berkata, sehingga kini SYABAS tidak mengenakan sebarang caj untuk penghantaran bil air melalui pos.

“SYABAS menyarankan pengguna berwaspada dengan mesej viral sebegini dan untuk maklumat lanjut pengguna boleh melayari www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar ‘mySyabas’ atau berhubung terus dengan Pusat Panggilan SYABAS di talian bebas tol 15300,” katanya.

Dalam pada itu, Siti turut mengingatkan pengguna bahawa SYABAS kini sedang menuju ke arah ‘Mesra Alam’ dengan memperkenalkan perkhidmatan e-bil yang baharu.

Katanya, pengguna boleh mendaftar dan kemaskini maklumat mereka di https://update.airselangor.com  untuk menerima e-bil bermula Januari 2018.

Categories
SELANGOR

Beberapa kawasan Klang alami gangguan air 18 Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MEI: Beberapa kawasan di Klang akan mengalami gangguan bekalan air sementara bermula 8 pagi pada 18 Mei hingga 12 tengah malam 19 Mei ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam kenyataannya memaklumkan bekalan air terganggu berikutan kerja-kerja pencucian dan penambahbaikan sistem bekalan air di Tangki Imbangan North Hummock.

Langkah itu adalah sebahagian daripada kerja penyelenggaraan berjadual dalam usaha mengekalkan kualiti air.

Kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air itu adalah Kawasan Industri Jalan Meru, Taman Meru Utama, Taman Mesra Meru, Pekan Meru, Pekan Meru 2, Taman Bayu Meru dan Taman Daya Maju.

Categories
SELANGOR

Hulu Langat alami gangguan bekalan air 28 Feb

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 FEB: Empat kawasan di Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air selama lapan jam, pada 28 Februari ini.

Dalam satu kenyataan, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengumumkan gangguan disebabkan kerja mengalih paip di sepanjang Jalan Perindustrian Balakong, Hulu Langat.

Katanya, antara kawasan terlibat termasuk Balakong Jaya, Taman Puncak Utama Balakong, Perusahaan Balakong Jaya dan Perusahaan Taman Balakong Jaya.

“Gangguan itu akan bermula 9 malam, 28 Februari dan berakhir pada 5 pagi hari berikutnya.

“Setiap usaha akan diambil bagi mempercepatkan penyelesaian kerja berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Syabas menasihatkan pengguna di kawasan terlibat menyimpan bekalan air secukupnya sebelum kerja pengalihan paip bermula.

Untuk maklumat terkini, pengguna boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar, ‘mySyabas’ atau Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter ‘air-selangor’.

-nR-

Categories
SELANGOR

Pinjaman SYABAS, tidak jejas usaha Selangor ambil alih industri air

air-syabas_MBaSHAH ALAM 23 OKT : Tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menandatangani dua perjanjian kemudahan pinjaman dan sampingan dengan Kementerian Kewangan tidak akan menjejaskan usaha Kerajaan Selangor mengambil alih industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Selangor membenarkan Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan itu bagi memastikan ketika SYABAS diambil alih ia dalam keadaan beroperasi.

“Proses pengambil alihan masih berjalan dan apa yang dilakukan SYABAS ialah yang ada kena mengenanya dengan operasi,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Puncak Niaga yang memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa pinjaman berjumlah RM75 juta akan digunakan untuk membiayai kerja membabitkan program pengurangan bekalan air termasuk penggantian paip lama dan kritikal di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pinjaman sebanyak RM76 juta pula akan digunakan untuk membiayai fasa kedua program yang membabitkan pengurangan air tidak berhasil sebagai satu daripada projek untuk mengurangkan masalah kekurangan air di kawasan sama.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KEMASKINI – Gantirugi tiada air: Tribunal nasihat failkan kes ke Mahkamah Sivil

Miter_air_SyabasSHAH ALAM, 3 OKT: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna memutuskan tribunal itu tidak mempunyai kuasa bagi mendengar perbicaraan tuntutan kerugian akibat masalah bekalan air terhadap Syabas.

Sebaliknya pihak penuntut gantirugi dinasihat agar memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna, Quaik Chong Yu dalam penghakimannya berkata tuntutan yang dibuat lapan pelanggan Syabas itu merupakan tuntutan gantirugi bukan wang.

“Kes ini bukan ditolak tetapi cuma dibatalkan, bermakna pengadu boleh failkan ke Mahkamah Sivil.

“Saya cadangkan agar ambil peguam dan failkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

“Saya memang ingin mendengar dan memutuskan kes ini tetapi dengan berat hati saya buat keputusan bahawa tribunal ini tiada kuasa,” ujar beliau.

Sementara itu beberapa penuntut ganti rugi menyifatkan keputusan itu sebagai mengecewakan.

“Kalau mahkamah tribunal batalkan, di mana lagi pengguna boleh dapat pembelaan?” Soal pelanggan Syabas yang hanya mahu diikenali sebagai Lee sahaja.

Selvamayahi yang menetap di Apartment 16 tingkat di Ampang pula menganggap keputusan itu mendorong Syabas berterusan mengabaikan penderitaan yang ditanggung sejak Ogos 2012 lagi.

“Saya buat tuntutan ini bukan kerana wang, tetapi supaya Syabas dan semua pihak mengambil teladan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” kata beliau.

Adamulhasza Mohd Noor pula berkata masalah ketiadaan air menyebabkan pengguna terpaksa menanggung kerugian bagi mendapatkan bekalan air.

“Kami terpaksa makan di luar, beli air mineral, menumpang rumah saudara dan ada yang terpaksa menyewa hotel,” ujar beliau.

Selain itu masalah itu turut menyebabkan pemilik hartanah kehilangan penyewa.

Hari ini Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna di sini mula mendengar lapan dari 300 kes yang difailkan terhadap Syabas yang gagal memberikan perkidmatan bekalan air dengan memuaskan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pencemar sungai Selangor hadapi 30 kesalahan

Pencemar Sungau

SHAH ALAM 17 SEPT : Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Shah Alam, bagi menghadapi lima pertuduhan kerana pencemaran minyak di Sungai Selangor, yang dilakukan tertuduh pada 30 Ogos lalu.

Tertuduh, Eng Kim Bok, 55, didakwa melakukan 30 kesalahan manakala isterinya, H’ng Soo Chiew, 56, didakwa melakukan 20 kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Eng merupakan pemilik tunggal bagi Ng Kim Bok Realty Sdn Bhd. dan pengarah bersama isterinya bagi Bengkel Muhibbah Mok dan Muhibbah Mok Sdn Bhd.

Bengkel Muhibbah Mok terletak di tempat di mana tumpahan berlaku manakala Muhibbah Mok Sdn Bhd merupakan syarikat induk bengkel dan Ng Kim Bok Realty syarikat yang memiliki tanah yang diduduki bengkel terbabit.

Setiap kesalahan dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohd Ashrof Adrin di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Lima pertuduhan itu melibatkan Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 iaitu mencemarkan tanah tani dengan buangan terjadual dan Seksyen 25(1) akta yang sama iaitu meletakkan buangan terjadual SW311 (buangan minyak) tanpa lesen ke dalam mana-mana perairan daratan yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh turut didakwa dibawah Seksyen 34(b) akta yang sama kerana melupuskan buangan secara haram. Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM 500,000.

Pencemar Sungai

Selain itu, Kim Book dan Soo Chiew turut didakwa dibawah Seksyen 79(1)(d) Enakmen LUAS kerana melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak ke dalam sumber air tanpa lesen daripada Pengarah LUAS. Jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga dikenakan Seksyen 41 Enakmen LUAS iaitu melepaskan bahan buangan melebihi had piawaian yang ditetapkan mengganggu aliran semulajadi air, jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM5,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu sekitar jam 9.50 hingga 11.40 pagi.

Keseluruhan jumlah denda dianggarkan lebih RM3 juta.

Hakim Mokhzani menetapkan semula kes pada 10 Oktober depan dan tertuduh diikat jamin RM150,000 bagi Kim Bok dan RM100,000 bagi Soo Chiew.

Dalam kejadian itu, hampir sejuta pengguna air di tujuh wilayah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bakal terjejas apabila empat loji dihentikan tugas selepas mengesan pencemaran air akibat tumpahan diesel di hulu Sungai Selangor kira-kira jam 8 pagi, 30 ogos lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bekalan Air Terawat Masih Mencukupi – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 04072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Air Selangor, Datuk Khusrin Munawi menyangkal dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bahawa rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air berada pada tahap membimbangkan.

2. Susulan kejadian tebing runtuh di tapak pembinaan Sierra Garden, Ukay Perdana pagi semalam, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan dengan serta merta.

3. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan penduduk Blok E PJS 1 sejurus selesai persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijangka tamat pada minggu hadapan.

4. Kerajaan Negeri akan memikirkan cara holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah kebanjiran premis judi di sekitar Selangor.

5. Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk membangunkan semula rumah-rumah rakyat yang sudah usang (Urban Renewal).

6. Kawasan-kawasan Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat hanya akan mendapat peruntukan antara RM0.3 juta hingga RM0.5 juta manakala kawasan BN akan diberikan RM1 juta hingga RM1.5 juta.

7. Pakatan Rakyat mengemukakan usul untuk merujuk Ahli Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Meng ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen atas kenyataan yang mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki wang ratusan juta ringgit di akaun bank luar negara.

Categories
SELANGOR

Bekalan Air Terawat Masih Mencukupi

Miter_air_Syabas

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Air Selangor, Datuk Khusrin Munawi hari ini menyangkal dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bahawa rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air berada pada tahap membimbangkan.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, bekalan air di semua loji rawatan air di Selangor masih berada pada tahap mencukupi.

Khusrin juga berkata kadar air tidak berhasil (NRW) iaitu air yang hilang akibat dicuri atau bocor telah meningkat daripada lebih 33 peratus.

Kadar NRW yang meningkat itu dikhuatiri menyumbang kepada penyaluran bekalan air terawat yang tidak efisen kepada pengguna.

“Setakat ini empangan kita masih penuh … Loji rawatan air setakat ini semua berjalan ikut pada kapasiti yang sebenar dan tiada masalah dari segi yang dikatakan pengurangan pengeluaran seperti yang didakwa oleh syabas.”

Khusrin berkata demikian ketika ditemui TV Selangor di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada 1 Julai, akhbar The Star melaporkan bahawa Syabas berkata
rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air Syabas kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Pegawai komunikasi korporat dan perhubungan awam Priscillia Alfred berkata rizab air di kesemua loji rawatannya berada pada tahap rendah, iaitu bawah 10 peratus.

Syarikat itu berkata bekalan air terawat berkurangan ekoran musim panas yang melanda lembah Klang dan Selangor.

Dalam kenyataan balasnya hari ini, Khusrin berkata kadar NRW telah meningkat daripada kadar 33 peratus seperti yang dilaporkan Mei lalu.

“Daripada data yang kita dapat dari segi ikut perjanjian konsesi sepatutnya kita dah dapat turunkan kepada 25 peratus, tetapi benda ini tak berlaku.

“Apa yang kita dapat bukan pengurangan tetapi peningkatan dari segi air terawat tak berhasil baru-baru ini.

?Sebab baru ini ada projek mitigasi yang telah pun siap dan bila kita masuk sistem, kita dapati tiada peningkatan dan ini menunjukkan kadar NRW kita memang tinggi,” kata beliau lagi.

Khusrin turut memberitahu, Negeri Selangor kehilangan air sebanyak 50 juta liter air bagi setiap satu peratus NRW dan pembaziran ini sangat merugikan semua pihak termasuk pengguna.

“Walaupun lima peratus pun sudah memberikan kesan besar terhadap kapasiti bekalan air Selangor ini,” ujar beliau lagi.

Khusrin turut berharap agar pihak Syabas dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada Kerajaan Negeri melalui mesyuarat pemantauan supaya pemantauan dapat dijalankan sekaligus membaiki perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

Categories
NASIONAL

Isu Air : Mohd Zin Jadikan 5 Juta Penduduk Selangor Sebagai Tebusan Politik

faekah

SHAH ALAM 18 JAN: Tuduhan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Kerajaan Selangor bermain politik dalam isu air seperti memperjudikan nasib dan kepentingan lebih 5 juta pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Jelas Faekah, usaha Kerajaan Negeri mengambilalih perkhidmatan air dengan niat semata-mata mahu menjaga kebajikan pengguna yang selama ini tidak mendapat pembelaan kerana kerajaan sebelum ini hanya mementingkan tembolok dan kroni sendiri.

Sehingga kini rakyat dipaksa menggunakan perkhidmatan syarikat konsesi yang langsung tiada kepakaran dalam industri air menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan tidak memuaskan seperti gangguan bekalan air serta kadar tarif yang tidak munasabah.

“Malangnya, selepas empat tahun berunding usaha pengambilalihan ini masih gagal kerana kerajaan Pusat tidak menyokong usaha ini lantaran lebih mementingkan syarikat konsesi daripada kebajikan rakyat.

“Bukan sekadar itu, syarikat konsesi ini mendapat sokongan kuat daripada pemimpin-pemimpin Umno yang turut melemparkan tuduhan tidak berasas mengenai isu air dan menghentam usaha Menteri Besar, Tan Sri Seri Abdul Khalid Ibrahim mengambilalih perkhidmatan air,”katanya dalam satu kenyataan media.

Faekah juga mempersoalkan siapa sebenarnya yang bermain politik dalam isu ini.

“Jika sememangnya kerajaan Persekutuan tidak setuju perkhidmatan air diambilalih kerajaan negeri, mengapa mereka meluluskan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membenarkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi? Mengapa penstrukturan air boleh dilaksanakan di Terengganu, Perak dan Melaka dan tidak Selangor,? soalnya.

Faekah juga yakin, sekiranya Kerajaan Negeri diberi peluang mengurus sendiri air ia akan membuktikan dasar penswastaan BN yang diberi kepada kroni adalah gagal.

Oleh itu, tidak hairan pemimpin Umno bermati-matian mempertahankan konsesi ini dan akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat Selangor di dalam isu air ini.
Ini kerana, BN percaya jika kerajaan Selangor dibenar mengambilalih perkhidmatan air maka peluang mereka untuk kembali menang di Selangor akan terus terkubur.

“Kita sebenarnya telah menerima maklumat risikan bahawa Umno akan menggunakan isu air untuk mengadu domba rakyat.

“Bagaimanapun Menteri Besar telah mengarahkan semua PBT bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan,”katanya.

Justeru, apabila lima buah pam di Wangsa Maju tiba-tiba rosak serentak maka semua PBT di Selangor terus bergerak membantu kawasan-kawasan terlibat termasuk di Wilayah Persekutuan. Kecekapan dan sikap tolong menolong semua pihak telah mengurangkan impak sabotaj yang dilancarkan BN.

Faekah juga membidas sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkali-kali merayu agar diberi peluang untuk BN kembali mentadbir Negeri Selangor dilihat begitu terdesak.

“Janji Najib untuk selesaikan isu air jika BN berjaya menawan semula Selangor menguatkan bukti bahawa BN menjadikan rakyat Selangor dan Lembah Klang sebagai tebusan politik. Janji berupa ugutan tersebut lebih menonjolkan sifat buruk pimpinan Umno apatah lagi datangnya dari pemimpin tertinggi.

“Md Zin sepatutnya malu untuk menuduh kerajaan hari ini berpolitik dalam isu air sedangkan pemimpin tertinggi Umno yang begitu jelas telah hilang wibawa semata-mata mahu mengambil semula Selangor,”tegasnya.

Tambahnya, sukar untuk mempercayai beliau boleh mengeluarkan hujah dangkal kononnya kerajaan negeri berkuasa sepenuhnya ke atas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana Syabas adalah anak syarikat Kerajaan Negeri. Jika Syabas anak syarikat kerajaan Selangor, kita tidak akan berdepan dengan masalah sebegini.

Hakikatnya Kerajaan Negeri hanya mempunyai saham 30 peratus dalam SYABAS manakala pemegang saham ter besar adalah Puncak Niaga dan Kementerian Kewangan Diperbadankan pemegang saham emas.

Golden Share atau saham emas dalam syarikat konsesi ini yang memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat keputusan sebagaimana termaktub di dalam WSIA. Malangnya Kerajaan Persekutuan lebih suka berpolitik dan mengutamakan kepentingan kroni berbanding rakyat teramai.

‘Jika Mohd Zin mahu menjadi jaguh dalam isu air ini, seloknya beliau membuat kajian dan penyelidikan yang lebih mendalam agar sekurang-kurangnya mempunyai sedikit kredibiliti ketika membuat tuduhan ke atas Pakatan Rakyat,”katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

BN ‘Bodoh’ Guna Isu Air Serang Selangor

KOMENTAR: Satu Fakta asas yang perlu di ketahui umum bahawa hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia, hal urus tadbir air kesemuanya berada dibawah kerajaan negeri masing-masing kecuali Selangor.

Persoalannya, mengapa bidang kuasa urus tadbir air di Selangor yang mewakili Selangor, Wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak diserahkan kepada kerajaan negeri tetapi di serahkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Syabas pula merupakan sebuah syarikat milik kroni yang mana Kerajaan Negeri Selangor hanya memiliki pegangan kecil. Tetapi inilah caturan yang telah dibuat sejak era BN menguasai Selangor dahulu.

Jawapannya amat mudah. Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merupakan kawasan elit. Hampir setiap hari ada sahaja bangunan kediaman, rumah kedai maupun rumah persendirian, kilang-kilang kecil dan besar yang baru didirikan.

Natijahnya semua pembangunan sedia ada, yang sedang dalam pembinaan dan yang dalam perancangan pembinaan akan menggunakan keperluan air.

Sejajar dengan kawasan elit ini setentunya juga kuasa membayar oleh penghuninya juga tidak menimbulkan masalah.

Justeru, air akan menjadi barangan paling berharga untuk diperniagakan kepada rakyat. Itulah antara agenda mengaut keuntungan berganda yang bersalut dalam benak pemimpin-pemimpin Umno-BN yang berkuasa di Selangor sebelum ini.

Atas perkiraan tersebut tidak hairanlah Kerajaan Negeri terdahulu sanggup membayar gaji paling lumayan kepada CEO Syabas. Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, CEO Syabas, Rozali Ismail menerima gaji lebih RM 5 juta setahun.

Air dagang jadi air percuma

Tindakan kerajan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil langkah pertama sejurus menguasai Selangor dari BN pada Mac 2008 dengan skim air percuma 20 meter padu pada rakyat negeri itu mengejudkan Kerajaan Pusat.

Serangan pertama dari Kerajaan Pusat dan pemimpin Umno Selangor terus dicanang menerusi media perdana eletronik dan cetak bahawa Selangor akan muflis berikutan usaha Abdul Khalid memberikan air percuma tersebut kepada rakyatnya.

Namun setelah empat tahun kerajaan pimpinan Abdul Khalid tidak juga muflis. Sebaliknya pendapatan kerajaan Selangor terus meningkat.

Bermula dengan RM300 juta yang di tinggalkan oleh BN pada 2008 pendapatan Kerajaan Negeri terus di jana oleh Abdul Khalid sehingga meningkat kepada RM 2.4 bilion pada 2012.

Tindakan Abdul Khalid tersebut juga amat dibimbangi oleh Kerajaan Pusat dan pemimpin Umno negeri kerana ia memberi kesan mendadak berhubung persepsi rakyat terhadap kerajaan baru PR.

Dasar negara berkebajikan yang menjadi agenda perjuangan semua negeri PR dan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dibawah Abdul Khalid juga berjaya menghala pemikiran rakyat membuat perbandingan antara BN dan PR dalam hal urus tadbir negara.

Namun bagi rakyat apa yang terpenting adalah sejauh manakah kerajaan tersebut mampu meringankan bebanan yang ditanggung mereka.

Umno-BN Selangor menyedari isu air percuma Selangor memberi tekanan besar kepada persepsi rakyat berhubung sokongan rakyat terhadap PR.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak terpaksa memberi peruntukan paling besar kepada kerajaan negeri khususnya kepada Umno Selangor iaitu RM 2.71 bilion pada penghujung 2011 lalu.

SYABAS Buat Onak

Pelbagai usaha dijalankan oleh Pemimpin Umno negeri, Syabas serta Kerajaan Pusat untuk cuba menggagalkan usaha Abdul Khalid.

Sejak itu Syabas dijadikan ‘pemain’ untuk memberi pelbagai onak kepada Abdul Khalid.

Pada 2009, Abdul Khalid tidak membenarkan Syabas menaikkan tarif air sehingga Syabas membawa kes tersebut ke mahkamah.

Walaupun pada asasnya Selangor akan mendapat manfaat dari kenaikan tarif tersebut berikutan Kerajaan Negeri juga mempunyai pegangan dalam konsesi air tersebut.

Tetapi Abdul Khalid tidak berbuat demikian kerana dianggap melanggar dasar negara berkebajikan yang di amalkan dalam PR.

Setelah isu kenaikan tarif dibawa kemahkamah, Kerajaan Pusat dan Syabas cuba memberi tekanan dengan isu kekurangan stok air di empangan takungan.

Begitu juga usaha merealisasikan projek membawa air dari Pahang ke Selangor melalui Projek Langat 2 yang menelan belanja hampir RM6 bilion.

Susulan itu, Abdul Khalid menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Air yang diketuai oleh setiausaha kerajaan Selangor, UPEN, ABBAS dan PUAS terhadap operasi Syabas.

Jawatankuasa tersebut mendapati Syabas beroperasi ‘di bawah keupayaan’.

Menurut Jawatankuasa Pemantau tersebut keupayaan pengeluaran semua 34 loji ialah 4,807 juta liter sehari berbanding keupayaan agihan Syabas 4,371 juta liter sehari iaitu lebihan 436 JLH.

Projek Mitigasi I yang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya Mac 2013 akan meningkatkan pengeluaran kepada 5, 139 JLH iaitu penambahan 332 JLH atau lebihan 768 JLH berbanding keupayaan agihan Syabas.

Fakta peratusan rizab air sebanyak 2 peratus yang dilaporkan Syabas tidak tepat dan mengelirukan. Rizab kapasiti pengeluaran sebenar pada masa ini adalah 11 peratus dan akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek mitigasi siap sepenuhnya.

Menurut jawatankuasa tersebut Syabas gagal memenuhi tanggungjawab untuk membekalkan air terawat yang secukupnya kepada pengguna seperti yang dipersetujui dalam Penjanjian Penswastaan Air 2004.

Susulan dari pemantauan tersebut serta kegagalan Syabas menyedia air terawat, kerajaan negeri pada pertengahan Julai lalu bertekad untuk mengambilalih konsesi air Selangor.

Seminggu selepas itu Kabinet membentuk sebuah Jawatankuasa Khas mengkaji isu air di Selangor. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai jawatankuasa tersebut sememangnya diduga berperanan menggagalkan usaha pengambilanalih tersebut.

Lebih melucukan apabila Muhyiddin tidak menjemput Abdul Khalid untuk berbincang hal tersebut sedangkan pihak Syabas dibenarkan untuk mengagih… satu untuk aku, satu untuk kamu.

Menurut Muhyiddin, Peguam Negara di arah untuk mengkaji pengambilan alih tersebut ekoran Keengganan Kerajaan Negeri membayar kepada Syabas kerana menghalang kenaikan kadar tarif air yang akan dilaksanakan Syabas.

Umno Selangor dan PRU-13

“Kalau you tanya sesiapa pun dalam dunia ni yang tahu isu sebenar hal air Selangor. Orang akan cakap BN paling ‘bodoh’ serang Selangor guna isu air.”

“You putar macam mana pun rakyat akan sokong Abdul Khalid kerana pertahan bagi air percuma. Umno Selangor paling bodoh,” kata seorang kawan bergelar Datuk yang juga seorang Ketua Umno Bahagian.

“Habis nak serang Selangor guna isu apa Datuk,” kata saya cuba memancing.

“Sepuluh kali lebih baik kalau guna isu pasir dan sampah,” tambah Datuk tersebut.

“Habis macam mana BN nak tarik balik isu air tu datuk,” balas saya.

“You kena tahu Cik Mat, cerita air Selangor tu supaya Langat 2 Najib cepat buat, ramai yang tengah nganga nak sambar projek,” katanya.

“Datuk tak masuk tender ke?”soal saya.

“Aku malas masuk sebab kena dua puluh persen,”

“Kena bayar pada siapa 20 persen tu datuk,”

“Sudahlah Cik Mat, You ni memang suka korek kalau hal macam ni. Kalau you nak tulis, takat tu aje yang I boleh bagi. dahlah jom kita mula di Second nine dulu,” kata Datuk sambil buggy kami menyusuri tapak Tee Off di sebuah Kelab Golf hujung minggu lalu.