Categories
NASIONAL

TPPA : Larangan Cukai Eksport Bahan Mentah Lumpuh Ekonomi Malaysia

Wong-Chen

PETALING JAYA, 30 JUL : Larangan cukai ekspot ke atas bahan mentah yang bakal disyaratkan di dalam perjanjian perdagangan bebas TPPA antara Malaysia dengan negara lain boleh melumpuhkan ekonomi negara ini.

Ini kerana cukai ekspot yang dikenakan ke atas bahan mentah seperti bahan api dan minyak sawit, menjana pembangunan industri hiliran bagi memproses bahan itu.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, sekiranya Malaysia bersetuju dengan larangan itu di dalam TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik), ekonomi Malaysia akan merudum sehingga ia hanya tertumpu kepada perladangan asas dan pengeksportan komoditi.

Wong Chen berkata larangan itu akan menimbulkan kesan dahsyat kepada sektor pengilangan hiliran seperti petrokimia, produk kayu, getah dan minyak sawit.

Industri-industri tersebut menyumbang sebanyak RM 2.4 bilion tahun lalu kepada ekonomi negara dan menyediakan beribu peluang pekerjaan.

“Seperti negara-negara membangun yang lain, cukai eksport digunakan Malaysia untuk mengelakkan eksport bahan-bahan mentah yang tidak diproses.

“Tujuannya adalah untuk mengalakkan pembangunan industri hiliran tempatan yang menghasilkan penambahan nilai ekonomi dan menjana pekerjaan untuk warganegara Malaysia.

“Cukai ini sangat penting untuk memupuk perindustrian tempatan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi.

Isu TPPA mendapat perhatian serius Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang mendakwa perjanjian itu akan memberi hak yang lebih kepada pelabur asing dan boleh memudaratkan kepentingan rakyat.

Tambah Wong Chen, empat industri yang bakal terjejas mempunyai pendapatan bergabung yang dianggarkan berjumlah RM 225 bilion dengan hasil petroleum sebanyak RM 109 bilion, minyak sawit RM 80 bilion manakala getah dan kayu masing-masing RM18 bilion.

Wong Chen juga berkata walaupun teks perjanjian itu masih dirahsiakan Kerajaan Persekutuan, berdasarkan Perkara 2.11 FTA Peru-US ada menyebut bahawa perjanjian ini tidak membenarkan mana-mana pihak mengamalkan atau mengekalkan barang duti atau cukai ke atas barangan yang dieskport.

Katanya lagi, PKR akan mengadakan rundingan dengan sektor produk kayu, getah dan minyak sawit selain mendesak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menjelaskan bagaimana mereka hendak melindungi perniagaan Malaysia yang akan terjejas dengan TPPA.

Leave a Reply

Your email address will not be published.