Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Miti perlu rujuk PBT sebelum beri syarikat kelulusan beroperasi

PELABUHAN KLANG, 6 JULAI: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (​Miti) diminta merujuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum kebenaran beroperasi diberi kepada mana-mana pihak ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata PBT mempunyai maklumat lengkap setiap syarikat atau kilang selain mengetahui tahap kepentingan untuk pihak terbabit beroperasi.

“Sebelum luluskan permohonan, Miti atau Majlis Keselamatan Negara perlu minta bukti daripada syarikat kerana ada pihak tidak jujur ketika memohon. Pastikan dasar, polisi dan garis panduan jelas.

“Kalau perkara ini tidak diberi perhatian, masalah akan kekal berlaku. Kluster tempat kerja semakin meningkat dan tak akan selesai,” kata Azmizam Zaman Huri.

Terdahulu beliau melancarkan program bantuan bakul makanan untuk penduduk terjejas sekitar DUN Pelabuhan Klang semalam.

Bermula Selasa lalu hingga 16 Julai ini, kerajaan menguatkuasakan PKPD di 34 mukim dalam lapan daerah di Selangor bagi membendung Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.

Selain itu bukan pekerja perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Proses mohon operasi syarikat semasa PKP ambil masa lima hari

 

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengambil masa lima hari bagi memproses permohonan operasi syarikat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam soalan lazim berkaitan PKP, bilangan tiga yang dikeluarkan hari ini, MITI berkata sekiranya permohonan itu berjaya, surat kelulusan akan dikeluarkan oleh Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 2.0. melalui pautan laman sesawang https://application.miti.gov.my

“Syarikat disaran untuk menyemak status permohonan mereka di sistem tersebut dari semasa ke semasa.

“Mereka hanya boleh memulakan operasi selepas mendapat kelulusan daripada MITI,”menurut kementerian.

Menurut MITI, adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 sekiranya syarikat yang diluluskan untuk beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP telah melanggar syarat-syarat beroperasi.

“Mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Syarikat juga boleh dikenakan tindakan undang-undang, tertakluk kepada undang-undang, peraturan, atau undang-undang kecil berkaitan dengan bidang,” katanya.

Bagi syarikat yang ingin menambah kapasiti tenaga kerja walaupun telah memperoleh kebenaran MITI untuk beroperasi semasa fasa pertama dan kedua PKP, MITI berkata mereka perlu mengemukakan semula permohonan di CIMS 2.0.

Sekiranya permohonan ditolak, syarikat boleh membuat rayuan di CIMS 2.0 dan menyemak status permohonan mereka di sistem berkenaan.

“Disebabkan kekangan teknikal, semakan permohonan melalui panggilan telefon tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Soalan lazim sebanyak 17 muka surat ini boleh diperolehi di laman web MITI di https://www.miti.gov.my/miti/resources/FAQ_MITI_BIL_3.pdf

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 April, 2020 berkata kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Pada hari yang sama, MITI berkata industri lain yang turut dibenarkan beroperasi ialah mesin dan peralatan, industri aeroangkasa dan perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terhad kepada guaman, minyak & gas dan aktiviti berkaitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kurangkan kerenah birokrasi, selaras proses pelaburan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Malaysia akan melakukan pembaharuan proses pelaburan yang menyeluruh untuk menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan untuk pelabur asing dan domestik, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Pelabur boleh menjangka kerenah birokrasi akan dikurangkan dan proses kelulusan akan diselaraskan untuk mempercepatkan proses merealisasikan pelaburan,” kata Menterinya, Datuk Darell Leiking.

Penambahbaikan itu berdasarkan maklum balas membina yang ditawarkan oleh pelabur dan pihak berkepentingan lain tentang cara untuk menambah baik proses pelaburan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 Malaysia, menurut MITI.

MITI menyatakan pelaburan yang tertangguh bermakna kemakmuran tertunda.

“Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik berikutan kestabilannya, tadbir urus yang baik, kos yang berdaya saing dan lokasi yang strategik di tengah-tengah ASEAN. Pembaharuan akan membantu memastikan Malaysia mengekalkan lokasinya sebagai destinasi utama dan tempat kepada pelaburan berkualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia berusaha untuk kekal kepada hasratnya menjadi destinasi pelaburan pilihan untuk pelaburan yang inovatif dan berteraskan pengetahuan dalam sektor dengan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

Kerajaan akan terus mencari Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berkualiti dengan ciri-ciri teknologi tinggi dan nilai tambah tinggi. Pada masa sama, berdasarkan contoh ekonomi Jepun, Korea Selatan dan China, Malaysia cuba mendapatkan tumpuan baharu kepada menjadikan syarikat domestik kepada penggiat global.

Memandangkan pasaran Malaysia sendiri terlalu kecil untuk menawarkan skala yang diperlukan untuk daya saing global, syarikat perlu melihat kepada serantau dan pasaran dunia serta produk eksport dengan nilai tambah yang lebih baik.

MITI, bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), mempertimbangkan untuk mempelbagaikan eksport ke Afrika, Asia Tengah dan Amerika Latin pada tahun-tahun akan datang.

Kerajaan juga akan meningkatkan usahanya untuk memudahkan lebih banyak pelaburan langsung domestik dengan pengkhususan yang lebih besar dalam subsektor pemangkin, iaitu kimia dan produk kimia, elektrik dan elektronik, industri jentera dan peralatan, aeroangkasa dan peranti perubatan.

MITI akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), dan semua agensi pelaburan untuk memastikan langkah-langkah yang relevan dan khusus untuk meningkatkan pelaburan domestik dimasukkan dalam pakej rangsangan yang akan diumumkan pada 27 Februari 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertemuan dapatkan input kesan koronavirus ke atas industri

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan pertemuan dengan persatuan industri utama khususnya pembuatan dan perkhidmatan bagi mendapatkan input selain mengenal pasti sejauh mana penularan jangkitan koronavirus 2019 memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI Norazman Ayob berkata pertemuan yang diadakan esok itu juga akan mendapatkan cadangan daripada pihak industri mengenai langkah menangani impak koronavirus bagi jangka pendek dan sederhana.

“Apabila kita mempunyai semua maklumat ini, kita akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), untuk mereka memperkenalkan pakej rangsangan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan perdana MITI dan agensi di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan sebelum ini berkata pihaknya akan melihat impak penularan koronavirus ke atas negara sebelum menentukan jumlah pakej rangsangan ekonomi bagi membantu sektor yang terjejas.

Norazman berkata ketika ini MITI, MoF dan MEA sedang merangka langkah yang boleh diperkenalkan bertujuan membantu pihak industri dalam usaha menangani impak koronavirus terhadap perniagaan mereka.

“Ia bertujuan menangani kos perniagaan atau cuba mengurangkan kos perniagaan manakala yang kedua memperkenalkan langkah yang boleh membantu pihak industri menangani kemungkinan kemerosotan perniagaan atau dari segi kesukaran mendapatkan bahan komponen atau import khususnya dari China,” katanya.

Mengulas pertemuan MoF dengan pihak industri yang diadakan hari ini bagi mendapatkan input kesan penularan koronavirus, Norazman berkata masih terlalu awal untuk menyatakan cadangan yang akan dikemukakan oleh pihak industri.

“Perbincangan yang akan diadakan di antara MoF dengan pihak industri adalah lebih bersifat mendengar untuk mendapatkan pandangan pihak industri,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaburan dilulus naik kepada RM92 bilion dalam separuh pertama

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Malaysia merekodkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM92 bilion dalam sektor-sektor utama, perkhidmatan dan pembuatan bagi separuh pertama 2019, naik 7.6 peratus daripada RM85.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelum ini, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

MIDA dalam satu kenyataan bersama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam berkata, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, RM49.5 bilion merupakan pelaburan asing manakala baki sebanyak RM42.5 bilion adalah pelaburan domestik.

“Pelaburan asing dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan yang diluluskan pada separuh pertama 2019 melonjak 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion daripada RM25.1 bilion yang direkod pada separuh pertama 2018.

“Ini menggambarkan kelebihan daya saing dan komparatif Malaysia dalam menarik pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin memuncak dalam pasaran global termasuk ketegangan perang perdagangan,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Angka pelaburan yang diluluskan dalam separuh pertama 2019 merangkumi 2,554 projek dan akan mewujudkan 59,542 peluang pekerjaan di negara ini.

“Sektor perkhidmatan menyumbang peratusan terbesar iaitu sebanyak 59.8 peratus atau RM55.0 bilion, daripada jumlah pelaburan, diikuti dengan sektor pembuatan (RM33.1 bilion atau 36.0 peratus) serta sektor utama (RM3.9 bilion atau 4.2 peratus),” katanya lagi.

Bagi sektor perkhidmatan, pelaburan domestik membentuk sebahagian besar iaitu sebanyak RM32.6 bilion atau 59.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2019, manakala baki RM22.4 bilion adalah daripada sumber-sumber asing.

Sejumlah 2,150 projek perkhidmatan telah diluluskan pada separuh pertama 2019 dan ini mampu mewujudkan lebih 28,650 pekerjaan.

MIDA ketika mengulas mengenai sektor pembuatan memberitahu sektor itu mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM33.1 bilion daripada 366 projek pembuatan dalam separuh pertama 2019 berbanding dengan RM19.0 bilion daripada 288 projek pembuatan yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Lebih kurang 75.8 peratus atau RM25.1 bilion datang daripada pelaburan asing dan baki RM8 bilion adalah daripada sumber domestik,” katanya sambil menambah bahawa projek-projek perkilangan yang diluluskan akan mewujudkan kira-kira 30,449 pekerjaan.

Sumber-sumber asing yang membuat pelaburan terbanyak adalah Amerika Syarikat dengan pelaburan berjumlah RM11.7 bilion, diikuti oleh China (RM4.8 bilion), Singapura (RM3.1 bilion), Jepun (RM2.1 bilion) dan Kepulauan Virgin British (RM1.4 bilion).

“Lima negara ini secara bersama menyumbang sebanyak 92.0 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan semasa tempoh berkenaan,” katanya.

Mengenai sektor utama, MIDA berkata ia menyumbang sebanyak RM3.9 bilion atau 4.2 peratus kepada jumlah projek yang diluluskan dalam separuh pertama 2019 dengan subsektor perlombongan terus mendahului melalui kelulusan pelaburan sebanyak RM3.6 bilion, diikuti perladangan dan komoditi (RM257.3 juta) serta pertanian (RM48.6 juta).

“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan 443 peluang pekerjaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia catat lebihan dagangan RM10.26 bilion pada Jun

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM10.26 bilion pada Jun iaitu 71 peratus lebih tinggi berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya dan merupakan lebihan dagangan bagi bulan ke-260 berturut-turut sejak November 1997.

“Pada asas bulan ke bulan (m-o-m), lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.1 peratus, manakala jumlah dagangan, eksport dan import masing-masing merosot sebanyak 10.8 peratus, 9.5 peratus dan 12.2 peratus,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan.

Bagaimanapun, dagangan Malaysia pada Jun menguncup sebanyak enam peratus daripada bulan yang sama pada 2018 kepada RM142.08 bilion.

Menurut MITI, eksport menurun sebanyak 3.1 peratus kepada RM76.17 bilion, dengan import 9.2 peratus lebih rendah pada RM65.91 bilion.

Katanya, dagangan lebih rendah dicatatkan dengan China, Hong Kong, Thailand, Singapura dan Jepun.

Sebaliknya, dagangan lebih tinggi dicatatkan dengan India, Filipina dan Amerika Syarikat.

Bagi tempoh enam bulan 1019, jumlah dagangan merosot sebanyak satu peratus kepada RM895.95 bilion berbanding bagi tempoh sama pada 2018, manakala eksport turun 0.2 peratus kepada RM481.53 bilion dan import susut sebanyak 1.8 peratus kepada RM414.42 bilion.

Bagi suku kedua sahaja, dagangan adalah 0.4 peratus lebih rendah pada RM460.78 bilion manakala import turun 1.2 peratus kepada RM215.32 bilion, dan sebaliknya, eksport meningkat 0.2 peratus kepada RM245.46 bilion.

MITI berkata, eksport barangan pembuatan pada Jun, yang menyumbang 83.7 peratus kepada jumlah eksport, susut lima peratus kepada RM63.79 bilion, terkesan oleh eksport lebih rendah produk elektrik dan elektronik (E&E), pengeluaran logam, jentera, peralatan dan alat ganti, produk getah dan produk kayu.

Eksport barangan pertanian (6.3 peratus saham) merosot sebanyak 0.8 peratus kepada RM4.82 bilion walaupun peningkatan dalam eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, terutamanya minyak sawit, yang meningkat 7.9 peratus kepada RM2.83 bilion berikutan jumlah yang lebih tinggi.

Bagi eksport utama pada bulan Jun, produk elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM28.08 bilion merangkumi 36.9 peratus daripada jumlah eksport, peningkatan enam peratus dari Jun 2018.

Produk petroleum pada RM6.10 bilion dan lapan peratus daripada jumlah eksport, menurun 2.4 peratus.

Bahan kimia dan produk kimia mencatatkan RM4.57 bilion atau enam peratus daripada jumlah eksport, peningkatan 1.3 peratus dan pembuatan logam mencatatkan RM3.37 bilion atau 4.4 peratus daripada jumlah eksport, menurun sebanyak 15.7 peratus.

Berhubung prestasi dagangan dengan pasaran utama, perdagangan Malaysia dengan ASEAN pada Jun menyumbang 26.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara dan susut 5.5 peratus tahun ke tahun kepada RM37.65 bilion.

Eksport ke ASEAN menurun 0.2 peratus kepada RM21.78 bilion berikutan pengurangan eksport E&E, produk petroleum, peralatan pengangkutan dan makanan yang diproses.

Import daripada ASEAN menurun 11.9 peratus kepada RM15.87 bilion.

Pada Jun, perdagangan dengan China yang merangkumi 16.5 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia atau RM23.51 bilion, menyaksikan penurunan 12.4 peratus tahun ke tahun.

Eksport berjumlah RM10.07 bilion, berkurangan sebanyak 12 peratus disebabkan oleh penurunan eksport produk E&E, dan pembuatan logam serta produk petroleum.

Import daripada China menguncup 12.6 peratus kepada RM13.44 bilion.

Jumlah perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang mencakupi 9.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Jun, turun sebanyak 2.9 peratus tahun ke tahun kepada RM14.12 bilion.

Eksport meningkat sebanyak satu peratus kepada RM7.74 bilion, disokong oleh eksport produk petroleum yang lebih tinggi dan produk pembuatan berasaskan minyak sawit.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat pada bulan Jun berkembang 5.8 peratus tahun ke tahun kepada RM12.8 bilion, yang menyumbang sembilan peratus daripada jumlah dagangan Malaysia. Eksport mencatatkan 8.8 peratus kepada RM7.65 bilion dan import naik 1.7 peratus kepada RM5.16 bilion. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

MITI: Duti Anti-Lambakan dikaji semula

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kementerian perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjalankan kajian semula duti dikenakan terhadap pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, kajian semula itu dilakukan selepas kerajaan menjalankan dan memuktamadkan penyiasatan kajian semula pentadbiran ke atas pengeluar dan pengimport di Malaysia, serta pengeluar atau pengeksport dari negara-negara tersebut.

Penyiasatan kajian semula pentadbiran itu adalah mengikut Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti anti-lambakan yang dikaji semula ini pada 8 Mei, 2019 hingga 23 Mei, 2021,” katanya.

Duti anti-lambakan dikenakan terhadap pengeluar keluli China, Bengang Steel Plates Co Ltd kini sebanyak 42.08 peratus, manakala BX Steel POSCO Cold Rolled Sheet Co Ltd (35.89 peratus), Jiangsu Shagang International Trade Co Ltd (42.08 peratus) dan pengeluar/pengeksport lain (42.08 peratus).

Bagi pengeluar keluli Korea Selatan, ia adalah sifar bagi POSCO , Hyundai Steel Company (11.55 peratus), dan pengeluar lain (21.64 peratus).

Bagi pengeluar keluli Vietnam, POSCO Vietnam Co Ltd (2.0 peratus), China Steel Sumikin Viet Nam Joint Stock Company (13.68 peratus) dan lain-lain (13.68 peratus).

Pada 9 Nov, 2018, kerajaan memulakan penyiasatan kajian semula pentadbiran berkenaan duti anti-lambakan yang telah dikenakan ke atas pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam

Penyiasatan kajian semula pendtabiran itu dibuat berdasarkan petisyen difailkan CSC Steel Sdn Bhd yang mewakili industri domestik yang mengeluarkan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk.

Pempetisyen mendakwa margin lambakan telah berubah secara substantif bagi import dagangan subjek oleh pengeluar atau pengeksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam sejak pengenaan duti anti-lambakan ke atas pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk pada 24 Mei 2016.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih banyak perjanjian dengan China susulan rundingan semula ECRL

KUALA LUMPUR, 16 APR: Pelarasan dan penambahbaikan dasar perdagangan Malaysia dijangka menyumbang kepada penglibatan yang lebih besar dengan syarikat-syarikat China, terutama selepas rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata perkembangan terkini mengenai ECRL itu akan menghapuskan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan syarikat China mengenai dasar perdagangan negara.

“(Sebelum ini), syarikat-syarikat ini mungkin mempunyai keraguan terhadap Malaysia, namun saya percaya akan ada lebih banyak syarikat China yang berhubung rapat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan rundingan semula itu baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar selepas forum bertajuk ‘PM Kembali ke China: Jangkaan dan Peluang”, di sini hari ini.

Forum itu diadakan sempena forum Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI) di Beijing, yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 April, yang turut dihadiri Dr Mahathir.

“(Kehadirannya) akan menghantar isyarat kuat kepada negara-negara lain yang mengambil bahagian dalam projek BRI,” kata Ong.

Beliau berkata menteri lain, iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darrell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, juga akan mengiringi perdana menteri ke China.

Sementara itu, seorang ahli panel forum, Dr Ngeow Chow Bing, dari Institut Pengajian Cina Universiti Malaya, berkata persetujuan Malaysia untuk menghadiri forum BRI melambangkan sokongan Malaysia ke atas inisiatif itu.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa China Communications Construction Co Ltd (CCCC) akan membayar balik RM1 bilion daripada bayaran pendahuluan RM3.1 bilion di bawah kontrak asal untuk Fasa 2 projek ECRL kepada kerajaan Malaysia dalam tempoh sebulan.

Pemulangan wang itu adalah susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan CCCC pada 12 April, dengan projek 640-km itu akan diteruskan pada kos yang lebih rendah sebanyak RM44 bilion berbanding harga asal sebanyak RM65.5 bilion.

Malaysia Rail Link dan CCCC akan melaksanakan projek itu secara usaha sama, dengan itu berkongsi kos operasi dan penyelenggaraan.

Ong berkata Malaysia juga perlu meneroka model pendanaan bersama bagi projek infrastruktur, dan model pemilikan dan operasi usaha sama antara Malaysia dan CCCC juga harus menjadi pilihan bagi projek-projek tertentu supaya kontraktor China bukan sekadar menjadi kontraktor pasang siap.

“Kemapanan jangka panjang projek-projek ini pelulah diambil kira dri sudut ekonomi,” katanya.

Ditanya sama ada China akan membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia pasca rundingan semula ECRL, beliau berkata komoditi itu, serta pertanian secara keseluruhannya, merupakan aspek penting dalam aktiviti dua hala untuk negara, dan kementerian itu berharap dapat melihat sokongan berterusan ke atas produk minyak sawit Malaysia.

“Bagaimanapun saya tidak mengetahui sama ada terdapat sasaran khusus dari segi angka eksport minyak sawit ke China,” katanya dan menambah beliau yakin perkara itu akan dibicangkan pada mesyuarat dua hala akan datang.

SUMBER: BERNAMA

Graduan KUIS buta mata, cerah minda

kuis buta

BANGI, 11 SEPT : Cacat penglihatan bukan penghalang buat Khairul Azwan Wahab untuk berjaya menggenggam segulung Ijazah Komunikasi (Penyiaran).

Khairul,25 merupakan antara 1,896 graduan daripada pelbagai bidang yang menerima sijil diploma dan Ijazah masing-masing pada Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

“Jangan jadikan kecacatan sebagai kekurangan dan pengahalang untuk kita berjaya, sebaliknya jadikanlah kecacatan itu sebagai satu kekuatan untuk kita berjaya pada masa akan datang.

“Tiada yang mustahil di dalam dunia ini, sekirannya kita berusaha dengan gigih, sesuatu yang gelap pasti menjadi cerah,”jelasnya.

Anak peneroka Felda dari selatan tanah air itu berkata, kurikulum berlandaskan Islam serta persekitaran pembelajaran yang tenang dan selesa di KUIS adalah faktor pendorong dan kekuatan untuknya berjaya seperti insan normal yang lain.

Khairul kini sedang berkhidmat sebagai pegawai sambilan di Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

Beliau adalah anak kedua daripada enam adik beradik dan mengalami cacat penglihatan sejak lahir.

Categories
NASIONAL SELANGOR

TERAS: Elak memperjudikan negara dengan TPPA

tppa

SHAH ALAM, 27 OGOS – Kerajaan tidak perlu perjudikan Malaysia dan nasib rakyatnya menerusi Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA) yang dikatakan untuk mewujudkan suasana dalam kegiatan “perdagangan dan pelaburan terkawal”, kata Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Hamid.

Azmi berkata, jelas menunjukkan keprihatinan rakyat langsung diketepikan kerajaan melalui elemen kerahsiaan perjanjian tersebut.

Tambahnya, analisis dan implikasi TPPA itu perlu dijelaskan segera agar rakyat tidak terjerat dan nasib negara tergadai begitu sahaja hanya dengan satu tandatangan.

“Pendirian saya bukan sahaja tidak perlu ditandatangani, malah keluar terus dari rundingan itu. Elemen kerahsiaan itu tidak masuk akal. Kenapa perlu rahsiakan dari rakyat sendiri. Ini kepentingan rakyat untuk mengetahui masa depan mereka,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Mengulas kenyataan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Azmi berkata penglibatan Malaysia dalam perjanjian ini bakal menyaksikan syarikat asing bakal mendominasi pasaran tempatan sedangkan Malaysia mampu hidup dan maju tanpa TPPA.

Tambah beliau, melalui TPPA juga memungkinkan Malaysia menghadapi situasi sama sepertimana dahulu Kerajaan Malaysia hampir menandatangai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama Amerika. Tindakan itu juga mendapat kecaman hebat pelbagai pihak.

“Sedangkan dulu di zaman Dato’ Seri Rafidah Aziz menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga memperlihat impak negatif dalam ekonomi Malaysia. Jadi TPPA juga memberi kesan sama malahan mungkin lebih buruk lagi.

“Percanggahan pendapat antara Mahathir dan anaknya (Mukhriz) melambangkan kita mempunyai pemimpin kerajaan yang tidak mempunyai polisi yang selaras tentang polisi perdagangan dan antarabangsa ini. Ini sangat dikesali sebab dipihak kerajaan pun tiada kata sepakat,”ujar Azmi.

Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bakal menyertai rundingan TPPA yang turut membabitkan 12 negara termasuk Amerika Syarikat,Jepun, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian ini dijangka dimeterai di Brunei pada Oktober 2013. – MZA

 

 

Categories
NASIONAL

TPPA : Larangan Cukai Eksport Bahan Mentah Lumpuh Ekonomi Malaysia

Wong-Chen

PETALING JAYA, 30 JUL : Larangan cukai ekspot ke atas bahan mentah yang bakal disyaratkan di dalam perjanjian perdagangan bebas TPPA antara Malaysia dengan negara lain boleh melumpuhkan ekonomi negara ini.

Ini kerana cukai ekspot yang dikenakan ke atas bahan mentah seperti bahan api dan minyak sawit, menjana pembangunan industri hiliran bagi memproses bahan itu.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, sekiranya Malaysia bersetuju dengan larangan itu di dalam TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik), ekonomi Malaysia akan merudum sehingga ia hanya tertumpu kepada perladangan asas dan pengeksportan komoditi.

Wong Chen berkata larangan itu akan menimbulkan kesan dahsyat kepada sektor pengilangan hiliran seperti petrokimia, produk kayu, getah dan minyak sawit.

Industri-industri tersebut menyumbang sebanyak RM 2.4 bilion tahun lalu kepada ekonomi negara dan menyediakan beribu peluang pekerjaan.

“Seperti negara-negara membangun yang lain, cukai eksport digunakan Malaysia untuk mengelakkan eksport bahan-bahan mentah yang tidak diproses.

“Tujuannya adalah untuk mengalakkan pembangunan industri hiliran tempatan yang menghasilkan penambahan nilai ekonomi dan menjana pekerjaan untuk warganegara Malaysia.

“Cukai ini sangat penting untuk memupuk perindustrian tempatan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi.

Isu TPPA mendapat perhatian serius Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang mendakwa perjanjian itu akan memberi hak yang lebih kepada pelabur asing dan boleh memudaratkan kepentingan rakyat.

Tambah Wong Chen, empat industri yang bakal terjejas mempunyai pendapatan bergabung yang dianggarkan berjumlah RM 225 bilion dengan hasil petroleum sebanyak RM 109 bilion, minyak sawit RM 80 bilion manakala getah dan kayu masing-masing RM18 bilion.

Wong Chen juga berkata walaupun teks perjanjian itu masih dirahsiakan Kerajaan Persekutuan, berdasarkan Perkara 2.11 FTA Peru-US ada menyebut bahawa perjanjian ini tidak membenarkan mana-mana pihak mengamalkan atau mengekalkan barang duti atau cukai ke atas barangan yang dieskport.

Katanya lagi, PKR akan mengadakan rundingan dengan sektor produk kayu, getah dan minyak sawit selain mendesak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menjelaskan bagaimana mereka hendak melindungi perniagaan Malaysia yang akan terjejas dengan TPPA.