Categories
SELANGOR

Banteras jenayah, Adun bina 5 pondok polis tanpa ‘polis’

pondok polis iskandarAMPANG 31 OGOS – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka, Iskandar Abdul Samad akan membina lima pondok polis di Taman Cempaka walaupun polis enggan menempatkan anggota di situ.

Beliau berkata, ia akan dimulakan secara berperingkat bermula Oktober ini bagi mempertingkat kawalan keselamatan sekali gus menangani kes jenayah yang
kian berleluasa.

Katanya, cadangan itu pernah diaju kepada Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar yang kini Ketua Polis Negara lima tahun lalu tetapi bekas Ketua Polis Selangor itu enggan memberi jaminan untuk menempatkan anggota di pondok berkenaan.

“Suasana hari ini menjadi tidak terkawal. Pembinaan akan dimulakan berperingkat-peringkat pada Oktober ini. Saya tidak akan tunggu polis. Saya akan bina sendiri pondok polis.

“Jika polis tidak menempatkan anggota, penduduk sanggup lakukan rondaan secara sukarela. Pejabat saya juga akan beri sokongan dan bantuan bagi memastikan keselamatan kawasan dan harta benda terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan media semalam. Baru-baru ini, seorang eksekutif sebuah syarikat penerbangan, Shahrinawati Abu Bakar meninggal dunia setelah disamun.

Bulan lalu, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian itu pula, penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang cuba menampal notis di sebuah gerai haram di Kampungg Pandan diserang dengan parang.

Iskandar berkata, tindakan drastik itu perlu bagi memastikan jenayah sedemikian tidak berulang, apatah lagi pejabatnya kerap menerima aduan berkaitan jenayah ragut, samun dan pecah rumah.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.