Categories
NASIONAL SELANGOR

FOMCA : Harga barangan akan naik mendadak

fomca-beliblah

SHAH ALAM 20 OGOS : Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) bimbang akan berlakunya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan akan menaikkan kadar tarif elektrik.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kenaikan tarif elektrik akan memberikan kesan terhadap pihak industri yang akan melepaskan tanggungan kenaikan kos yang dialami kepada pihak pengguna dalam bentuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kenaikan itu yang kita bimbangi kesan yang akan berlaku kepada pengguna yang perlu menanggung kenaikan harga tarif elektrik di rumah pada masa yang sama perlu berhadapan dengan kenaikan barangan,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Mohd Yusof berkata pihak TNB perlu telus dan memberikan jawapan kepada rakyat berkenaan harga yang dibayar kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang mungkin menjadi antara faktor yang meningkatkan kos operasi TNB.

“Kalau kos membayar kepada IPP dapat dikurangkan maka kos operasi TNB dapat dikurangkan secara tidak langsung dan tidak akan membebankan TNB,” kata beliau.

Tambah beliau, pengguna tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah apabila berlaku kenaikan tarif elektrik kerana ia merupakan keperluan asas yang diperlukan dalam kehidupan seharian.

Katanya golongan yang berpendapatan rendah akan mengalami kesan teruk jika berlakunya kenaikan tarif elektrik.

Jelas beliau syarikat-syarikat yang berkepentingan sosial seperti TNB ini seharusnya tidak hanya menumpukan kepada keuntungan semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.